Keluarga Palestin saman kerajaan AS atas bantuan ketenteraan kepada Israel

WASHINGTON – Lima keluarga Palestin pada Selasa menyaman Jabatan Negara berhubung bantuan ketenteraan berbilion Washington kepada Israel, menuntut penguatkuasaan peraturan Amerika Syarikat (AS) bagi mengekang pengaliran senjata atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia.

Aduan itu, yang difailkan pada Selasa dan Jabatan Negara mempunyai 60 hari untuk bertindak balas, menggesa pelaksanaan Undang-undang Leahy, yang menurut plaintif dan kumpulan hak asasi manusia Israel telah dikecualikan secara tidak sah.

Undang-undang melarang pemberian bantuan keselamatan kepada unit yang menghadapi dakwaan boleh dipercayai mengenai pelanggaran hak asasi manusia.

Sejak permulaan perang Israel terhadap Hamas pada Oktober 2023, AS telah menggubal undang-undang untuk menyediakan lebih daripada $12.5 bilion bantuan ketenteraan terus kepada sekutu strategiknya.

Perang itu dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel yang mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 1,208 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel yang termasuk tebusan yang terbunuh dalam tahanan.

Kempen balas dendam Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 45,059 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas yang dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh dipercayai.

Sebahagian besar kawasan Palestin telah menjadi runtuhan dalam proses itu.

Pada sidang akhbar di Washington pada Selasa, plaintif Palestin-Amerika Said Assali berkata ibu saudaranya dan enam anaknya terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza City, dengan mendakwa senjata AS digunakan untuk melakukan serangan itu.

“Keluarga kami membayar harga yang tidak tertanggung kerana keengganan Jabatan Negara untuk menguatkuasakan undang-undangnya sendiri,” kata Assali.

Dua bekas kakitangan Jabatan Negara memberitahu wartawan pihak berkuasa AS menggunakan “pengecualian Israel” tidak rasmi apabila menilai tindakan ketenteraan negara itu.

“Realitinya ialah Israel beroperasi di bawah satu set peraturan yang berbeza. Jabatan Negara telah mencipta proses peringkat tinggi yang unik, membebankan, untuk menentukan (yang) hanya terpakai kepada Israel,” kata Charles Blaha, bekas pegawai Jabatan Negara yang mengusahakan penentuan sedemikian.

Josh Paul, yang meletak jawatan dari Jabatan Negara tahun lepas sebagai protes terhadap dasar AS ke atas Gaza, menawarkan penilaian yang sama.

Jabatan Negara enggan mengulas mengenai pemfailan aduan itu.

Awal bulan ini, kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menuduh Israel “melakukan genosid” terhadap rakyat Palestin di Gaza sejak permulaan perang.

Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant kerana disyaki melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Kerajaan Israel menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, dan telah merayu waran tersebut.

Ahmed Moor, seorang plaintif dalam tuntutan mahkamah pada Selasa, berkata tujuh ahli keluarganya di Gaza hidup “di bawah ketakutan yang berterusan terhadap pengeboman,” dan seorang telah terbunuh.

“Ahli keluarga saya adalah orang seperti anda dan saya, dan kehidupan mereka telah dimusnahkan oleh senjata Amerika secara langsung melanggar undang-undang Amerika,” katanya.

“Keluarga saya mengalami mimpi ngeri.”

AN-AFP/17 Dis 2024/20:21