JOHOR BAHRU — Tiga mangsa maut dalam kebakaran di Jalan Limau Manis, Kampung Dato Bentara yang lebih dikenali sebagai Kampung Oren, di sini, membabitkan seorang warga emas, anak serta cucunya, lapor BH Online.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, dipetik sebagai berkata, mangsa yang ditemui maut dikenal pasti sebagai Ng Geok Choo, 63; Lee Chiw Yong, 30, serta Chen Si Jing, 11.
Seorang lagi mangsa yang berjaya diselamatkan, Chen Yu Rong, 12, juga cucu warga emas terbabit.
Terdahulu, BH Online melaporkan tiga maut termasuk seorang kanak-kanak apabila kediaman mereka di kampung itu terbakar awal pagi tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Faiz Ramli, dipetik sebagai berkata, seramai 24 anggota dan empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Limau Manis, Kampung Oren selepas mendapat panggilan kecemasan orang awam jam 2.46 pagi.