Kebakaran apartmen ragut nyawa seorang penghuni, dua selamat

KUALA LUMPUR — Seorang maut manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas kediaman mereka di sebuah apartmen di Sunway Damansara, Petaling Jaya dekat sini, terbakar pagi tadi.

Kebakaran membabitkan sebuah unit kediaman di tingkat 14 apartmen dengan laporan kebakaran diterima pihak bomba pada jam 8.30 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata mangsa seorang wanita tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat lejadian.

Katanya, dua lagi penghuni, masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 24 tahun berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara yang ke lokasi.

“Mangsa yang meninggal dunia ditemui di dalam bilik air di kediaman dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, kita mendapati ada berlaku kebakaran pada kotak suiz di kediaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kebakaran sedang dijalankan.

BH ONLINE