Jurulatih silambam didakwa lakukan amang seksual dua anak perempuan tirinya

MELAKA — Jurulatih silambam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya, sejak November lalu.

Lelaki berusia 34 tahun itu didakwa di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu bapa tiri, didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun pada jam 9 pagi di sebuah rumah di Taman Perkota, di sini, pada awal November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap adik mangsa berusia 13 tahun kira-kira jam 2 pagi pada 17 Disember lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan boleh dihukum berpandukan seksyen sama dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTK 2017.

Sabit kesalahan Seksyen 14(a) dan 14(b) tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan selain penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan bagi Seksyen 16(1).

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain, tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara membenarkannya.

Beliau juga memohon syarat tambahan ditetapkan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri kepada pengawai penyiasat sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam R Reena Nair merayu jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan dan hanya bergantung kepada yuran bulanan sebagai jurulatih selain mempunyai tiga anak kecil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat dipohon pendakwaan dan menetapkan 28 Januari ini untuk sebutan semula kes.

BH ONLINE