Jasad budak lelaki ditemui di Sungai Kupang dipercayai Fayyad Affan

BALING – Penemuan mayat seorang budak di Sungai Kupang, hari ini dipercayai jasad Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, yang hilang sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata berdasarkan keadaan fizikalnya dipercayai adalah Fayyad dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Mayat ditemui jam 3.15 petang tadi oleh ahli keluarga Fayyad Affan yang melakukan pencarian di tepi tebing Sungai Kupang.

“Mayat ditemui pada jarak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa di kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya, Kupang.

“Bedah siasat mayat berkenaan dijangka di HSB esok,” katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata pihaknya turut melakukan pemantauan di kawasan Sungai Kupang hari ini meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan semalam.

Pihaknya bertemu ahli keluarga mangsa di kediaman mereka sejak pagi tadi untuk mengetahui perkembangan lanjut berhubung Muhammad Fayyad.

“Sebaik menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak, kami terus ke lokasi.

Zulkhairi berkata, sebelum ini pihak Bomba turut menggunakan khidmat anjing pengesan K9 JBPM serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani untuk melakukan pencarian di lokasi sejak Jumaat lalu.

Dengan penemuan mayat mangsa, operasi tamat jam 4.52 petang hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak autistik, Muhammad Fayyad dilaporkan hilang ketika keluar rumahnya di Kuarters JPS, Kampung Landak Paya, Kupang, Jumaat lalu.

Kejadian itu disedari keluarganya selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka yang menunjukkan kanak-kanak itu berjalan sendirian jam 12.50 tengah hari.

Keluarga mangsa membuat laporan polis sebelum operasi SAR dilakukan pada hari sama membabitkan pelbagai agensi termasuk Bomba, polis dan APM.

BH ONLINE

ad