KUALA KRAI — Jambatan menghubungkan Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama, dekat sini, runtuh susulan hujan lebat dan arus deras Sungai Pahi, menyebabkan hampir 100 penduduk terputus hubungan.
Kejadian ketika hujan lebat berterusan pada Selasa lalu yang mengakibatkan paras air Sungai Pahi naik mendadak dan menenggelamkan jambatan yang akhirnya runtuh dibadai arus deras, malah jalan kampung yang menjadi laluan alternatif untuk ke bandar Kuala Krai turut terjejas akibat banjir.
Penduduk Kampung Temalir Lama, Cik Idris Isa, 43, hampir 100 penduduk kampung berkenaan terputus hubungan hingga menyukarkan mereka untuk keluar membeli barang keperluan.
“Kemungkinan besar sebahagian jambatan sudah dihanyutkan arus deras dan lebih membimbangkan paras air sungai juga menunjukkan trend menaik. Setiap kali musim tengkujuh, jambatan besi sepanjang 300 meter berusia lebih 20 tahun ini sering ditenggelami banjir.
“Lebih merisaukan lagi adalah hakisan tebing sungai juga semakin teruk terutamanya apabila hujan,” katanya menambah penduduk juga takut menggunakan bot untuk keluar kerana arus banjir sangat deras.
“Saya bimbang stok makanan yang ada ketika ini tidak mencukupi. Keadaan ketika ini menyukarkan kami untuk keluar mencari kelengkapan dapur,” katanya.
Katanya, sebelum ini, jambatan itu sudah beberapa kali dibaik pulih setiap kali runtuh akibat dibadai arus deras, malah selepas banjir surut, penduduk juga akan bergotong-royong menyambung kembali sebahagian jambatan yang runtuh.
“Kami sambung kembali bahagian jambatan yang runtuh menggunakan papan, kayu daripada pokok kelapa dan pokok durian bagi memudahkan urusan berulang alik.
“Jambatan berkenaan kini dalam proses naik taraf, namun dihentikan sementara disebabkan banjir. Selepas jambatan baharu siap dibina, barulah kami tidak perlu lagi berasa bimbang,” katanya.
BH ONLINE