KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan peningkatan dalam trend penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan murid sekolah dengan 20,000 golongan itu terjebak kegiatan terbabit tahun lalu.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata angka itu diperoleh berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Berdasarkan data itu, beliau mendapati trend penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah di bawah KPM menunjukkan peningkatan.
“Bagi vape kami tidak menafikan bahawa menandakan satu trend yang meningkat. Pada 2024, sebanyak 19,450 murid dilaporkan terbabit.
“Ini merupakan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah KPM,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta KPM menyatakan statistik pembabitan murid sekolah dengan rokok elektronik atau vape.
Tambah Kah Woh lagi, pada tahun lalu juga, trend merokok dalam kalangan murid sekolah mencatatkan penurunan.
Mengikut data SSDM, beliau berkata 3,704 murid bersamaan 0.07 peratus daripada keseluruhan murid dikesan terjerumus dalam kegiatan merokok.
“Untuk semua kes yang saya nyatakan, boleh nampak bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape adalah meningkat.
“Untuk semua kes terbabit ini juga, (KPM) melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan terhadap murid berkenaan dengan berpandukan garis panduan dan juga surat siaran yang sedia ada.
“Saya mohon kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa agar bantu KPM dalam meningkatkan kesedaran tentang keburukan bahaya rokok elektronik dan vape ke atas anak-anak kita,” katanya.
BH ONLINE