Disangka hilang, rupanya mayat dalam semak

HULU SELANGOR — Seorang polis bantuan di sebuah agensi yang disangka hilang ditemui meninggal dunia dalam kawasan semak di lereng bukit di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Lembah Beringin hari ini.

Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui pada jarak kira-kira 300 meter dari motosikalnya, jam 7.50 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata polis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 6.02 pagi.

“Siasatan awal mendapati pada jam 11.30 malam tadi, sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa.

“Kereta itu kemudian terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke lereng bukit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala kenderaan yang terbabit nahas ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

BH ONLINE