Category: Malaysia

  • Mayat wanita ditemukan terapung di Taiping

    IPOH — Mayat seorang wanita ditemukan terapung di lombong Tekah Permai, Taiping, dekat sini hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.13 pagi hasil maklumat polis.

    “Mangsa adalah seorang wanita dewasa namun identitinya masih tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping mengambil masa 15 minit untuk menarik mayat mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Penyamun mati dalam rumah mangsa, 2 rakan ditahan

    KLUANG — Seorang suspek pecah rumah ditemui mati, manakala dua lagi rakan sejenayah ditahan polis di sebuah rumah dekat Jalan Laksamana Sunrise Park di sini malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin, berkata dalam kejadian jam 7.12 malam itu, suspek yang mati ditemui dengan kesan kecederaan pada tangan kanannya dan punca kematiannya itu sedang disiasat.

    “Si mati didapati cedera pada salur darah utama kerana banyak kesan darah dijumpai di lokasi. Punca kecederaan itu masih dalam siasatan, sama ada akibat terkena pagar besi rumah atau objek lain ketika pecah masuk rumah atau hendak melarikan diri apabila menyedari penduduk setempat dan polis sampai.

    “Sebelum itu, si mati bersama tiga lagi suspek yang berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun memecah masuk sebuah rumah dan polis menerima panggilan memaklumkan hal itu dari orang awam.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai polis yang tiba di lokasi berjaya menahan dua suspek dan menemui si mati yang telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Nik Mohd Azmi berkata, susulan kejadian itu juga, polis kini giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Mohamad Sahli Talib, 39, dengan alamat terakhir di Kampung Belukar Gunong Bachok Kelantan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Katanya, bedah siasat terhadap mayat sedang dibuat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan jenis objek yang menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematiannya.

    “Ketika ini siasatan mengikut kes mati mengejut,” katanya sambil memaklumkan bahawa semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.

    “Saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang ditangkap didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    BH ONLINE

  • Tragedi berakit: 3 lemas disahkan kakitangan JKR

    KAMPAR — Identiti tiga mangsa lemas semasa melakukan aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng, petang tadi dikenalpasti sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Dua mangsa lelaki ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang bertugas di JKR Langkawi, manakala mangsa wanita iaitu Suhaili Mat Saad, 47, berkhidmat di JKR Seberang Perai Tengah.

    Identiti ketiga-tiga mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi malam ini.

    Beliau berkata, mangsa wanita berasal dari Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

    “Mohamad Khairul Hakim berasal dari Ayer Hangat, Langkawi manakala Muhammad Ikram berasal dari Taman Permata, Jitra, Kedah,” katanya.

    Berdasarkan tinjauan di Hospital Kampar, mayat ketiga-tiga mangsa tiba di Unit Forensik sekitar jam 9.55 malam dengan dibawa kenderaan polis.

    Terdahulu, dilaporkan mangsa adalah antara 22 peserta yang menyertai aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng sempena program ‘Team Building’ yang diiringi enam pemandu pelancong.

    Difahamkan, kesemua peserta turun ke kawasan sungai bermula jam 3.30 petang yang mana jarak perjalanan ‘rafting’ adalah enam kilometer (km) menyusuri sungai.

    Dikatakan, mangsa dihanyutkan arus di selepas empat km perjalanan menyusuri sungai.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dipetik berkata, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.56 petang.

    Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, tiga mangsa terbabit sudah dinaikkan orang awam ke tebing sungai dan disahkan meninggal dunia.

    BH ONLINE

  • Disangka hilang, rupanya mayat dalam semak

    HULU SELANGOR — Seorang polis bantuan di sebuah agensi yang disangka hilang ditemui meninggal dunia dalam kawasan semak di lereng bukit di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Lembah Beringin hari ini.

    Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui pada jarak kira-kira 300 meter dari motosikalnya, jam 7.50 pagi tadi.

    Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata polis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 6.02 pagi.

    “Siasatan awal mendapati pada jam 11.30 malam tadi, sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa.

    “Kereta itu kemudian terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke lereng bukit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala kenderaan yang terbabit nahas ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Budak 2 tahun maut, motosikal dinaiki bersama 3 ahli keluarga rempuh lori keluar simpang

    LAHAD DATU — Seorang budak perempuan berusia dua tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabit nahas dengan sebuah lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, di sini.

    Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian disebabkan kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang semalam itu.

    Motosikal ditunggang bapanya berusia 47 tahun turut membawa abang mangsa berusia tiga tahun dan ibu mereka berusia 29 tahun.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum nahas berkenaan, motosikal dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

    Katanya, sebaik memasuki bulatan jalan, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang jalan di sebelah kiri.

    “Akibat jarak terlalu dekat, bapa mangsa gagal mengelak lalu terus merempuh tayar hadapan lori berkenaan. Susulan itu, mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga tercampak dari motosikal ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, bapa, ibu dan abang mangsa mengalami kecederaan lalu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

    “Sampel darah pemandu dan penunggang motosikal sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol serta dadah. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Dzulbaharin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan menghubungi Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881225 untuk membantu siasatan.

    BH ONLINE

  • Malaysia zahir komitmen bantu pembangunan umat Islam di Peru

    LIMA, Peru — Malaysia menzahirkan komitmen untuk membantu pembangunan umat Islam di Peru termasuk memudahkan urusan pensijilan halal.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dinyatakan beliau dalam pertemuan bersama Persatuan Islam Peru, di sini.

    “Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bertemu dan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Islam Peru diketuai Presidennya, Murad Hamida.

    “Dalam pertemuan ini, kami telah membincangkan soal pembangunan umat Islam di Peru.

    “Turut dibangkitkan adalah komitmen Malaysia dalam memudahkan urusan pensijilan halal serta membantu pendidikan Islam dan dakwah dalam kalangan komuniti Islam di Peru,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

    Mengulas lanjut, menurut Anwar, dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Persatuan Islam Peru turut memuji usaha Malaysia yang sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin dan Lubnan yang ditindas rejim Zionis Israel.

    Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Peru, selain menyerahkan 50 naskah Al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam bahasa Sepanyol.

    Semalam, ketika sidang media bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra selepas mesyuarat dua hala, Anwar dilaporkan berkata Malaysia bercadang membangunkan zon ekonomi halal di Peru dalam usaha menembusi pasaran Amerika Latin.

    Katanya, Pelabuhan Chancay di republik itu boleh dimanfaatkan sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara.

    Perdana Menteri berada di ibu negara Peru sempena lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin, selain menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 dari 14 hingga 16 November ini.

    BH ONLINE

  • Kemalangan maut kedua babit treler selang 3 hari, kali ini di Machap

    KLUANG — Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk treler di Kilometer 69.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Machap, kira-kira 7.40 pagi tadi.

    Ini adalah kemalangan maut kedua membabitkan treler dalam tempoh tiga hari selepas di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam yang menyaksikan seorang wanita terbunuh akibat dihempap kontena.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I KUP Abd Rahim Razali berkata penunggang Yamaha MT09 berusia 33 tahun itu disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

    Katanya, pemandu kereta Honda Civic dikesan tersepit di tempat duduk, sebelum berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) peralatan khas.

    “Kemalangan membabitkan sebuah lori treler jenama Volvo seberat 40 tan dengan sebuah kereta Honda Civic dan motosikal Yamaha MTO9.

    “Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian mangsa dan kemudian mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Pemandu lori treler Volvo, seorang lelaki berusia 40 tahun, selamat tanpa sebarang kecederaan.

    “Dua lelaki dewasa berusia 25 dan 26 tahun yang menaiki Honda Civic mengalami kecederaan. Mereka dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Abd Rahim berkata operasi menyelamat dilakukan oleh 12 anggota dengan kekuatan dua jentera bomba jenis FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan BBP Ayer Hitam.

    Terdahulu, PKO tiba di tempat kejadian pada jam 8.36 pagi dan berjaya menamatkan operasi pada jam 9.11 pagi.

    BH ONLINE

  • Kes ‘cinta ditolak’: Pekerja pembersihan didakwa bunuh Siti Zulaila dan bapa

    GEORGETOWN — Seorang pekerja pembersihan sebuah kilang didakwa, hari ini, atas dua pertuduhan membunuh Zulkifli Ibrahim dan anaknya, Siti Zulaila Zulkifli, di sebuah pangsapuri di Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam, di sini, Khamis lalu.

    Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32, mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi pada prosiding yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, berikutan tertuduh sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian ke atas Zulkifli, 62.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Blok 1 Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana, antara jam 12.54 hingga 1.25 tengah hari 7 November lalu.

    Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Siti Zulaila, 30, di lokasi dan pada waktu yang sama.

    Kedua-dua pertuduhan terbabit dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 kali sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

    Majistret kemudian menetapkan 15 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes.

    Terdahulu, Nadratun tiba di pekarangan HPP pada jam 11.38 pagi dan hadir sama ialah Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Azrul Azizan Mat Rawi.

    Sebelum ini, media melaporkan polis mengesahkan insiden pembunuhan seorang wanita dan bapanya di Lengkok Angsana pada Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada ‘cinta ditolak’.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, dipetik berkata hasil siasatan mendapati suspek warga tempatan berusia 32 tahun itu dipercayai menaruh perasaan terhadap wanita berkenaan tetapi mangsa dikatakan tidak berminat dengan lelaki terbabit.

    Swee Sake memaklumkan sebelum kejadian, suspek juga didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap keluarga mangsa di kediaman mereka.

    Dalam kejadian itu, Siti Zulaila dan Zulkifli dilaporkan maut akibat ditikam di hadapan lif sebuah pangsapuri.

    Difahamkan ketika kejadian, mangsa wanita itu baru pulang dari tempat kerja sebelum didatangi suspek yang didakwa bersenjatakan pisau dan menikamnya.

    Bapa mangsa yang menyedari kejadian itu dipercayai cuba meleraikan tindakan suspek tetapi turut ditikam.

    Suspek didakwa turut mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

    BH ONLINE

  • Wanita maut dihempap kontena terbalik

    BUKIT MERTAJAM — Wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas kenderaan dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh daripada sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Bukit Tengah, di sini, pagi tadi.

    Dalam kejadian jam 9.16 pagi itu, mangsa, Lee Zi Rou, 21 meninggal dunia di lokasi kemalangan ekoran kecederaan parah dialaminya.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, PBK II Mohd Nor Azamuddin Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung nahas berkenaan.

    “Kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu tiga kereta dan dua lori termasuk sebuah treler.

    “Mangsa lelaki berusia 25 tahun dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala anggota kita menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Mohd Nor Azamuddin berkata, bagaimanapun wanita itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang berada di lokasi.

    “Mayat wanita berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pengalihan kontena yang terjatuh dengan menggunakan dua kren sebelum menamatkan operasi berkenaan,” katanya.

    Terdahulu tular video dan beberapa keping gambar di media sosial memaparkan deretan kenderaan yang berada di persimpangan lampu isyarat Jalan Persekutuan di Bukit Tengah di sini dikejutkan dengan insiden kontena yang terjatuh dari sebuah treler sehingga menyebabkan seorang dilaporkan terbunuh manakala seorang lagi cedera.

    Menerusi rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan dekat situ mendapati pemandu treler membelok kenderaannya sebelum kontena yang dibawanya telah terbalik dan menimpa beberapa kenderaan yang sedang menunggu di lampu isyarat terbabit.

    Difahamkan, mangsa yang maut dalam perjalanan ke tempat kerja dan memandu kenderaan itu seorang diri.

    BH ONLINE

  • Suami isteri maut motosikal bertembung lori

    KOTA TINGGI — Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori di hadapan Muzium, Jalan Laksamana Kota Tinggi di sini awal pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Shawaludin Ami Nordin, berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Md Raus Kamaludin, 40 dan Noorain Tohit, 33.

    Katanya pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden ini pada jam 6.04 pagi.

    “Setibanya di tempat kejadian, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino dan sebuah motosikal Honda Wave yang dinaiki mangsa.

    “Mangsa ditemukan dalam keadaan tersepit di bawah lori. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas, namun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Pemandu lori, seorang lelaki dewasa, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Selepas proses menyelamat, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    BH ONLINE

  • Tun Daim meninggal dunia

    KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini, hari ini pada usia 86 tahun.

    Pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan itu disahkan peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, sebentar tadi.

    Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sejak dua minggu lalu.

    Sementara itu, portal Malaysiakini memetik Gurdial sebagai berkata, pengebumian Allahyarham akan dibuat pagi ini.

    “Ya. Benar dia meninggal dunia. Dia mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Belum ada maklumat lanjut,” katanya lagi.

    Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah di Persiaran Bukit Tunku sebelum solat jenazah dijangka selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta, di sini.

    Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

    Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.

    Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.

    BH ONLINE

  • Azlan Man mengaku tak salah pertuduhan pilihan salah guna wang RM1.06 juta

    KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik kerajaan Perlis.

    Pertuduhan itu dibacakan ke atas Azlan, 65, selepas Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi bahawa pihaknya mengemukakan lima pertuduhan pilihan terbabit.

    Azlan didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM1.06 juta milik kerajaan Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, melalui invois serta pesanan Kerajaan Negeri Perlis Tahun Kewangan 2014, 2015, 2016 dan 2017 dengan mengarahkan wang itu dimasukkan ke dalam akaun Maybank dan CIMB miliknya melalui empat keping cek dan secara tunai.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu, turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas lima pertuduhan utama iaitu sebagai ejen kerajaan negeri Perlis iaitu Menteri Besar Perlis didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut terbabit.

    Dokumen itu antaranya invois dan sebut harga tiket penerbangan pergi balik dan hotel penginapan yang dikeluarkan Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel, selain Pesanan Kerajaan Negeri Perlis yang didakwa digunakan bagi membuat tuntutan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan.

    Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan di Kangar, antara Disember 2013 hingga Disember 2017, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Noralis berkata lapan saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah dan berdasarkan Seksyen 162 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) pihak pembelaan boleh memanggil semula mana-mana saksi berkenaan untuk disoal balas.

    Peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan berkata pihaknya mahu meneliti kesemua pertuduhan terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memanggil semula saksi.

    Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan CIMB Bank Cawangan KLCC Mohd Nazrie Mohmad Kahar, 50, memberitahu mahkamah bahawa Aidil Travel mengeluarkan sekeping cek berjumlah RM222,811.95 atas nama penerima Azlan Man, tujuh tahun lalu.

    “Cek ini adalah transaksi pengeluaran bagi 3 April 2017 dengan butiran pada penyata akaun CIMB Aidil Travel tercatat HOUSE CHQ DR, yang transaksi itu bermaksud pengeluaran secara cek ke dalam akaun CIMB Bank,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu ketika membacakan penyataan saksinya hari ini.

    Mohd Nazrie berkata syarikat pelancongan itu mengeluarkan lima keping cek secara tunai berjumlah RM225,772.40 di CIMB bank cawangan Kampung Baru pada 28 Disember 2017.

    Mahkamah menetapkan 3 Februari 2025 untuk sambung perbicaraan dan 6 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak peguam memaklumkan sama ada ingin memanggil semula saksi untuk disoal balas atau sebaliknya.

    Azlan turut berhadapan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel serta Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.

    Semua wang itu diterima tertuduh melalui tiga keping cek Maybank dan sekeping cek CIMB yang dibayar ke dalam akaun Maybank dan CIMB milik tertuduh serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan terbabit dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    BH ONLINE

  • Wanita mengaku sebar Ajaran Cahaya

    SEREMBAN — Suri rumah dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,500 di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini atas pertuduhan mengajar dan bersubahat menyampaikan ajaran sesat iaitu Ajaran Cahaya, tahun lalu.

    Tertuduh, Noridayu Hashim, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa sejurus pertuduhan dibacakan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah kepada seorang wanita berusia 59 tahun dan seorang lelaki berumur 65 tahun yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan menganjurkan dan menyatakan bahawa berpelukan berbeza jantina dan bukan mahram adalah dibolehkan kerana Kumpulan Ajaran Cahaya adalah malaikat dan tidak mempunyai nafsu.

    Wanita itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 35 yang dibaca bersama Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

    Pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah bersubahat dengan Idris Ami, 60, menyampaikan ajaran salah kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya.

    Justeru, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

    Kedua-dua kesalahan dilakukan dari September 2023 hingga Disember 2023 bertempat di sebuah rumah yang beralamat Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah.

    Jika disabitkan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Dalam rayuannya, Noridayu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia dan suami tidak mempunyai kerja tetap dan hanya menjana pendapatan dengan berniaga makanan.

    Tertuduh juga memohon maaf atas kesilapannya dan mengakui sudah insaf atas perbuatan itu.

    Media pada 4 Oktober lalu melaporkan seorang individu mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat yang tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

    Ajaran yang dikenali sebagai Ajaran Cahaya didalangi seorang lelaki ini lebih banyak disebar menerusi media sosial yang mana ahlinya di aplikasi Telegram mencecah 5,000 orang.

    BH ONLINE

  • Tuduhan ke atas Rosmah ikut undang-undang: Pendakwaan

    KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan menegaskan 12 kes pengubahan wang haram dan lima tuduhan mengelak cukai yang dikenakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam hujahannya berkata, 17 pertuduhan jenayah itu sah dan mengandungi butiran mencukupi bagi memaklumkan Rosmah mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya.

    Ahmad Akram yang berhujah bagi menjawab permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua tuduhan itu, berkata, ia bagi memboleh isteri bekas perdana menteri itu mengemukakan pembelaan sewajarnya.

    Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

    Bagi pertuduhan berkaitan LHDN pula, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

    Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

    Sementara itu, Ahmad Akram menyangkal hujahan peguam bela Rosmah bahawa pertuduhan yang dihadapi tertuduh adalah cacat kerana ia bertindih, dengan alasan membabitkan subjek yang sama.

    Ahmad Akram berkata, hujahan pembelaan itu bagaimanapun, gagal mengiktiraf prinsip undang-undang asas yang mengawal kaedah pertuduhan dirangka dalam prosiding jenayah.

    “Pertuduhan yang dipersoalkan itu tidak bertindih, dan juga tidak cacat, sebaliknya ia mencerminkan tindakan jenayah yang berbeza.

    “Setiap satunya berlaku pada masa yang berbeza, dan setiap satu memerlukan pertuduhan berasingan untuk menangani sepenuhnya skop kelakuan tertuduh,” katanya.

    Ahmad Akram berkata, jika pihak pendakwaan ingin menyatukan semua pertuduhan ini,ia tidak menggambarkan kesalahan yang didakwa dan menjejaskankeperluan undang-undang bagi merangka.dakwaan yang tepat dan berasingan bagi setiap perbuatan salah laku.

    Sementara itu, Peguam, Amer Hamzah yang mewakili Rosmah, menghujahkan bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya itu cacat dan salah di sisi undang-undang, serta menegaskan bahawa Rosmah harus dibebaskan.

    Ahmad Akram bagaimanapun membalas hujahan itu dengan menyatakan. apa sahaja yang dibangkitkan oleh pembelaan adalah pra-matang pada peringkat ini dan sepatutnya dipertimbangkan oleh mahkamah ketika perbicaraan berlangsung.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim K Muniandy kemudian menetapkan pada 19 Disember ini untuk membuat keputusan.

    BH ONLINE

  • Bekas juruterbang AirAsia dapat pampasan RM268,620 kerana dipecat secara konstruktif

    KUALA LUMPUR — Bekas juruterbang syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad berjaya mendapatkan pampasan RM268,620 selepas Mahkamah Perusahaan memutuskan beliau dipecat secara konstruktif daripada pekerjaannya.

    Pemecatan konstruktif ialah istilah undang-undang menggambarkan situasi yang mana pekerja meletakkan jawatan dalam protes kerana tindakan majikan yang melanggar syarat asas kontrak pekerjaan.

    Juruterbang terbabit, Eric Koh Kim Lai yang bekerja dengan syarikat penerbangan itu bermula Julai 2018 meletak jawatan selepas digantung kerja pada 2022 akibat pandemik COVID-19.

    Ketika itu, syarikat memotong gaji asas Kim Lai sebanyak 75 peratus, dengan mengaitkan pengurangan itu kepada penerbangan yang dibatalkan disebabkan oleh sekatan sempadan.

    Kim Lai mendakwa dia terpaksa meletakkan jawatan kerana keputusan untuk mengurangkan gaji menjejaskan mata pencariannya.

    Bagaimanapun, AirAsia menyatakan bahawa Kim Lai (pihak penuntut) mengemukakan peletakan jawatannya secara sukarela pada 27 April 2022 dan memaklumkan hari terakhirnya bekerja berkuat kuasa pada 4 Mei 2022.

    Syarikat itu juga mendakwa gaji terakhir Kim Lai ialah pada RM3,630.00.

    Mahkamah Perusahaan pada 7 November lalu, bagaimanapun membenarkan tuntutan Kim Lai dan memerintahkan AirAsia membayar pampasan itu selepas memutuskan bahawa, meletakkan pekerja dengan cuti tanpa gaji dan mengurangkan gaji sehingga tempoh yang tidak ditentukan, bukan amalan buruh yang adil.

    Dalam keputusannya, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Vanithamany Sivalingam memerintahkan AirAsia membayar gaji tertunggak Kim Lai selama 24 bulan dan pampasan sebagai ganti pengembalian semula gaji sebulan untuk setiap tahun perkhidmatan.

    Berdasarkan kepada kes Kim Lai, pada 1 Julai 2020, syarikat mengeluarkan surat kepadanya untuk mengesahkan secara unilateral pengenaan lapan hari cuti tanpa gaji bermula Jun 2020 dan seterusnya sehingga diberitahu kelak.

    Dengan itu, gaji beliau telah dikurangkan daripada RM13,000 kepada RM9,000 iaitu penurunan sebanyak 31 peratus.

    Pada 6 Oktober 2020, syarikat mengeluarkan satu lagi surat kepadanya untuk mengesahkan secara unilateral pengenaan 15 hari cuti tanpa gaji sehingga diberitahu kelak, di mana gajinya dikurangkan lagi daripada RM9,000 kepada RM5,500 iaitu penurunan sebanyak 57 peratus.

    Dalam penghakimannya, Vanithamany berkata, mahkamah mengambil maklum bahawa ia bukan sebahagian daripada syarat kontrak (kontrak pekerjaan pertama) bahawa gaji pihak penuntut adalah berdasarkan bilangan dia melakukan penerbangan.

    Beliau berkata, bukan Kim Lai yang enggan melaksanakan tugasnya, tetapi ia disebabkan oleh pandemik bahawa pesawat itu dilarang beroperasi.

    Katanya, bagi syarikat untuk membayangkan bahawa ia telah cukup bermurah hati untuk membayar (gaji) walaupun penuntut tidak melakukan penerbangan pada tempoh tertentu, adalah hujahan yang tidak boleh dipertahankan.

    “Ia adalah terma asas kontrak bahawa syarikat membayar kepada pihak penuntut, gaji yang dipersetujui dengan segera mengikut terma dan syarat yang dibentangkan dalam kontrak pertama,” katanya.

    Pengerusi Mahkamah Perusahaan itu selanjutnya berkata, pihak penuntut memberi kerjasama dan bertolak ansur dengan cuti tidak berbayar dan pengurangan gaji sebanyak 75 peratus.

    Vanithamany berkata, tambahan pula beliau juga tidak dibayar gaji selama 11 bulan yang diakui syarikat mulai Jun 2020.

    Menurut pengerusi itu, Kim Lai juga tidak mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaan atas sebab lain, dan beliau meletak jawatan selepas dua minggu dari tarikh perjumpaan ‘townhall’ diadakan.

    Katanya, syarikat itu gagal membuktikan sebab mengapa ia melaksanakan penggantungan kali ketiga dan mengapa gaji pihak penuntut dikurangkan kepada 30 peratus dengan cuti tanpa gaji.

    “Sebaliknya, pihak yang menuntut telah membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa sebab dia meninggalkan syarikat adalah kerana tindakan syarikat.

    “Pekerjaan adalah sebahagian daripada rezeki seseorang.

    “Jika pekerja memutuskan untuk meninggalkan syarikat kerana layanan tidak adil, penindasan atau penganiayaan, dia pasti memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusannya kerana ia mungkin menjejaskan mata pencarian dan komitmennya,” katanya.

    Vanithamany berkata, Kim Lai perlu memilih antara meneruskan pekerjaan tanpa gaji atau mengambil risiko kehilangan pekerjaan.

    Beliau berkata, apabila syarikat memungkiri janji yang dibuat dalam perjumpaan townhall pada 25 November 2021, Kim Lai memutuskan bahawa dia tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan pekerjaan itu kerana dia tidak dapat mengekalkannya lagi.

    Jelasnya, pada masa itu, pihak yang menuntut meneruskan pekerjaannya dengan syarikat terbabit selama hampir dua tahun dengan gaji minimum dan tanpa sebarang gaji selama 11 bulan.

    Beliau berkata syarikat itu dalam hujahannya bagaimanapun menyatakan bahawa sebab penuntut meninggalkan syarikat adalah kerana dia memperoleh pekerjaan lain.

    Katanya, pihak penuntut telah mendapat pekerjaan lain untuk menyara hidupnya dan tidak ada yang salah mengenainya.

    BH ONLINE

  • Polis tahan 4 lelaki berkait kes rogol remaja 14 tahun

    BALIK PULAU — Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir remaja perempuan berusia 14 tahun di Sungai Ara, dekat sini kelmarin.

    Mereka berusia 20 hingga 25 tahun ditahan di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas semalam selepas mangsa membuat laporan polis.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata mangsa masih bersekolah, mendakwa keluar rumah jam 12.30 pagi dan mengikut suspek pertama bersiar-siar dengan menaiki motosikal di sekitar kawasan Relau, di sini.

    Katanya, mangsa kemudian mendakwa dibawa ke rumah sewa suspek berkenaan pada jam 2 pagi sebelum dirogol lelaki terbabit dan selepas itu, suspek kedua dan ketiga yang tidak dikenalinya datang dan melakukan perbuatan sama.

    “Tiga suspek berkenaan bersama mangsa kemudian keluar menonton lumba motosikal di Bayan Baru sebelum remaja itu dirogol sekali lagi secara bergilir-gilir oleh mereka sebaik pulang ke rumah sama,” katanya dalam satu kenyataaan, hari ini.

    Katanya, mangsa mengenali suspek pertama pada April lalu menerusi kenalan, tapi tidak mengenali suspek lain.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Anak lapor polis selepas simpan mayat ibu dalam kotak ais sejak 2021

    KUALA LUMPUR — Polis menemui mayat seorang wanita yang disimpan dalam kotak ais selepas dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

    Terdahulu anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis sebelum memaklumkan kejadian itu.

    Sumber berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek turut berada bersebelahan kotak ais berkenaan ketika polis tiba di lokasi kejadian.

    Menurut sumber anak mangsa yang juga suspek memaklumkan kepada polis dia membunuh ibunya pada 2021 sebelum menyimpannya dalam dalam kotak ais.

    Pada masa ini sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika dihubungi BH mengesahkan kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

    BH ONLINE

  • Wanita maut terjatuh bangunan di Bukit Bintang

    KUALA LUMPUR — Wanita maut selepas terjatuh dari bangunan bersebelahan pusat beli-belah terkenal di Jalan Bukit Bintang, di sini, hari ini.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 pagi dan menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian.

    Komander Operasi JPBM, Md Fuad Selamat berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dibantu BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi.

    Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, seorang wanita terjatuh di atas bumbung bangunan dari tingkat yang tidak dikenal pasti.

    “Mangsa dikeluarkan pada jam 7.48 pagi dengan bantuan skylift pihak bangunan sebelum anggota bomba menurunkan mangsa ke bawah dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    BH ONLINE

  • Suami isteri didakwa perdagang wanita Malaysia ke Yaman

    KUALA LUMPUR — Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan ke Yaman, tahun lalu.

    Mohd Azfar Abd Ghafar, 37, dan Khadijah Yusoff, 31, didakwa bersama-sama memperdagangkan tiga wanita berusia 19, 27 dan 38 tahun bagi maksud eksploitasi di sebuah rumah tidak bernombor di Tarim, Yaman, antara 25 Mei 2023 hingga 4 Julai lalu.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antiperdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya Amir Haniff Ahijman tidak menawarkan jaminan atas alasan kes berkenaan melibatkan tiga mangsa warga tempatan yang dieksploitasi ke luar negara.

    “Sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan,” katanya.

    Peguam, Datuk Adnan Seman yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan keluarga mereka tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan hasil sewaan rumah.

    “Saya mohon supaya anak guam tidak perlu melaporkan diri di balai polis, memadai syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

    Hakim Rosli Ahmad membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan kes.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • ‘Inspektor Sheila’ dilepas, dibebaskan dari tuduhan hina peguam

    SELAYANG — Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ atas pertuduhan menghina kesopanan seorang peguam, tahun lalu.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu selepas mangsa, P Taneswaran, 41, yang juga saksi tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, ketika mahu memberi keterangan dalam perbicaraan pertama hari ini.

    Pada 26 Jun tahun lalu, wanita itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menghina kesopanan Taneswaran dengan berkata, “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu.”

    Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Sri Gombak di sini, pada 1 tengahari, 15 Jun 2023.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, Manoharan ketika dihubungi berkata anak guamnya dibebaskan selepas Taneswaran memaklumkan tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila.

    “Perbicaraan kes sepatutnya dijadualkan bermula hari ini, namun mangsa tidak mahu meneruskan prosiding. Mendengar perkara itu, majistret kemudiannya membebaskan anak guam saya,” katanya.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Azmal.

    Tertuduh bagaimanapun masih berdepan dua lagi kes iaitu mengugut seorang wanita, M Silverkoomarie, 70, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa pada jam 12 tengah hari, pada tarikh dan lokasi sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyebut pangkat polis dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, di lokasi sama pada jam 1.25 tengahari 15 Jun tahun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    BH ONLINE

  • 2 beranak dalam perjalanan ke tabika maut nahas motosikal, kereta

    KUALA BERANG — Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut, manakala bapanya meninggal dunia kira-kira empat jam kemudian selepas motosikal dinaiki mereka untuk ke tabika kemalangan dengan sebuah kereta, pagi tadi.

    Muhammad Daim Irfanshah Saiful Azrin dilapor maut di tempat kejadian di Kilometer 15 Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, kira-kira jam 7.45 pagi itu.

    Bapanya, Saiful Azrin Awang, 42, pula dilapor meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.

    Beliau berkata, pemandu Proton Saga itu dari rumahnya di Kuala Terengganu untuk ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Tengkawang.

    Ketika kereta mahu membelok masuk ke simpang kanan, katanya, motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dinaiki dua beranak datang dari arah bertentangan dan dikatakan melanggar bahagian tepi sebelah kiri kereta.

    “Kejadian menyebabkan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang yang alami pendarahan dalam paru-paru serta patah tulang tengkorak dibawa ke HHT untuk rawatan lanjut.

    “Bagaimanapun, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.

    Zainul Mujahidin berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik HHT untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    BH ONLINE

  • Jumlah mangsa bah di Pahang meningkat kepada 441 orang, Lipis daerah terbaharu dilanda bencana

    LIPIS — Lipis menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir dengan jumlah mangsa bencana itu di negeri ini dilaporkan terus meningkat.

    Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi tadi, memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kechaui Tui dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui.

    Keseluruhan seramai 218 penduduk daripada 61 keluarga dipindahkan dengan PPS di sekolah berkenaan menempatkan 133 orang daripada 34 keluarga dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui menempatkan 85 orang daripada 27 keluarga.

    Dengan pembukaan PPS di Lipis dan tiga PPS baharu di Raub, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat.

    Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.

    Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan KEMAS Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.

    Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pahang, melibatkan Lipis dan Raub setakat 9 pagi adalah 441 orang daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS.

    Sementara itu, laman sesawang infobanjir.water.gov.my menyenaraikan enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada.

    Ia membabitkan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan).

    BH ONLINE

  • Pelajar UTP maut, Bezza terbabas langgar pembahagi jalan

    SERI ISKANDAR — Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta mereka naiki terbabas di Jalan Teknologi 1, di sini, malam tadi.

    Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa berusia 19 tahun dari Sabah meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata anggota pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan Perodua Bezza pada jam 8.19 malam.

    “Nahas membabitkan empat orang berusia 19 tahun, seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian, manakala tiga yang lain cedera ringan,” katanya, hari ini.

    Terdahulu, tular video memaparkan Perodua Bezza terlanggar pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali dan masuk ke arah bertentangan.

    Video terbabit turut memaparkan seorang mangsa tercampak keluar dari kenderaan terbabit.

    BH ONLINE

  • Hajat balik rumah tak kesampaian, dua beranak maut dilanggar kereta

    TAMPIN — Perjalanan pulang dua beranak ke rumah di Pulau Sebang tidak kesampaian apabila terbunuh selepas motosikal mereka bertembung sebuah kereta di Kilometer (KM) 12, Jalan Tampin- Gemas, di sini, pagi tadi.

    Penunggang lelaki berusia 38 tahun dan pembonceng wanita yang juga ibunya berusia 72 tahun, disahkan maut di lokasi dalam kejadian jam 9 pagi itu.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Savy berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung motosikal ditunggang dua beranak itu.

    “Hasil siasatan mendapati kemalangan ketika pemandu kereta seorang mekanik berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan dari Pulau Sebang, di sini, ke Palong, Jempol.

    “Apabila sampai di tempat kejadian dekat kawasan selekoh, kereta berkenaan difahamkan hilang kawalan lalu termasuk laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak itu,” katanya di sini, hari ini.

    Amiruddien berkata penunggang dan ibunya disahkan meninggal ditempat kejadian akibat parah manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

    Katanya, dua beranak itu difahamkan dalam perjalanan pulang dari Gemencheh ke rumah mereka di Pulau Sebang.

    “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tampin, di sini, untuk proses bedah siasat.

    “Kertas siasatan dibuka mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu motokar ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Amiruddien meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk tampil ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aqwa di talian 013-9515011 atau 064431999.

    BH ONLINE