Category: Malaysia

  • Juruwang wanita maut ditikam di restoran

    KUALA LUMPUR — Seorang juruwang wanita maut ditikam di restoran tempatnya bekerja di sebuah pusat beli-belah di Cheras, dekat sini.

    Kejadian menimpa wanita warga China berusia 49 tahun itu dianggarkan antara jam 3 hingga 4 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, berkata setakat ini, tujuh suspek terdiri rakan sekerja mangsa sudah ditahan untuk membantu siasatan.

    “Mangsa dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian badan dengan pisau dan pemeriksaan awal menemukan antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuhnya.

    “Dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Aidil, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui senjata tajam yang digunakan untuk menikam mangsa.

    “Buat masa ini kita menahan tujuh suspek yang terdiri daripada rakan sekerja mangsa untuk siasatan. Kita juga masih menyiasat motif pembunuhan selain mengesan saksi-saksi yang dapat membantu siasatan polis,” katanya.

    Tambah Aidil, mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    BH ONLINE

  • Jambatan runtuh dibadai arus banjir, penduduk tak dapat keluar beli barang keperluan

    KUALA KRAI — Jambatan menghubungkan Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama, dekat sini, runtuh susulan hujan lebat dan arus deras Sungai Pahi, menyebabkan hampir 100 penduduk terputus hubungan.

    Kejadian ketika hujan lebat berterusan pada Selasa lalu yang mengakibatkan paras air Sungai Pahi naik mendadak dan menenggelamkan jambatan yang akhirnya runtuh dibadai arus deras, malah jalan kampung yang menjadi laluan alternatif untuk ke bandar Kuala Krai turut terjejas akibat banjir.

    Penduduk Kampung Temalir Lama, Cik Idris Isa, 43, hampir 100 penduduk kampung berkenaan terputus hubungan hingga menyukarkan mereka untuk keluar membeli barang keperluan.

    “Kemungkinan besar sebahagian jambatan sudah dihanyutkan arus deras dan lebih membimbangkan paras air sungai juga menunjukkan trend menaik. Setiap kali musim tengkujuh, jambatan besi sepanjang 300 meter berusia lebih 20 tahun ini sering ditenggelami banjir.

    “Lebih merisaukan lagi adalah hakisan tebing sungai juga semakin teruk terutamanya apabila hujan,” katanya menambah penduduk juga takut menggunakan bot untuk keluar kerana arus banjir sangat deras.

    “Saya bimbang stok makanan yang ada ketika ini tidak mencukupi. Keadaan ketika ini menyukarkan kami untuk keluar mencari kelengkapan dapur,” katanya.

    Katanya, sebelum ini, jambatan itu sudah beberapa kali dibaik pulih setiap kali runtuh akibat dibadai arus deras, malah selepas banjir surut, penduduk juga akan bergotong-royong menyambung kembali sebahagian jambatan yang runtuh.

    “Kami sambung kembali bahagian jambatan yang runtuh menggunakan papan, kayu daripada pokok kelapa dan pokok durian bagi memudahkan urusan berulang alik.

    “Jambatan berkenaan kini dalam proses naik taraf, namun dihentikan sementara disebabkan banjir. Selepas jambatan baharu siap dibina, barulah kami tidak perlu lagi berasa bimbang,” katanya.

    BH ONLINE

  • Banjir di 9 negeri masih buruk, lebih 132,000 mangsa di 712 PPS

    KUALA LUMPUR — Jumlah mangsa banjir di sembilan negeri terus meningkat 132,554 orang daripada 38,874 keluarga yang ditempatkan di 712 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.

    Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor yang mana ia membabitkan 39 daerah.

    Kelantan masih kekal negeri paling teruk dilanda banjir kali ini dengan sebanyak 285 PPS diaktifkan untuk menempatkan 86,733 orang daripada 26,806 keluarga yang terjejas di 10 daerah.

    Di Terengganu, banjir melanda lapan daerah membabitkan 36,564 mangsa daripada 10,287 keluarga di 334 PPS.

    Mangsa banjir di Kedah juga naik dengan mendadak apabila seramai 5,510 orang daripada 1,732 keluarga di tujuh daerah di Kedah ditempatkan di 52 PPS manakala di Negeri Sembilan pula, 20 PPS di empat daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 2,161 mangsa daripada 614 keluarga.

    Sementara di Perlis pula, seramai 492 mangsa daripada 146 keluarga ditempatkan di empat PPS yang dibuka di tiga daerah terjejas banjir.

    Selain itu, bilangan mangsa banjir di Selangor kekal 468 orang daripada 105 keluarga yang diberi perlindungan di dua PPS membabitkan satu daerah.

    Keadaan banjir di Johor pula merekodkan 383 mangsa membabitkan 115 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah terbabit manakala di Melaka, sebanyak lima PPS diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada 226 mangsa daripada 63 keluarga di tiga daerah.

    Manakala, sebanyak enam keluarga membabitkan seramai 17 mangsa terjejas banjir di satu daerah dipindahkan ke sebuah PPS di Perak.

    BH ONLINE

  • Dua beradik maut tanah runtuh di Ajil, Terengganu

    KUALA BERANG — Dua beradik maut manakala seorang lagi cedera selepas kediaman mereka di Kampung Bukit Apit di sini dihempap tanah runtuh petang tadi.

    Dua mangsa, Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya Siti Fatimah, 13, masing-masing ditemukan jam 6.32 petang dan 6.59 petang.

    Sementara mangsa yang terselamat Uzair, 17, ditemukan jam 5.17 petang.

    BH ONLINE

  • Banjir: 20 Jalan Persekutuan ditutup babit 6 jajahan di Kelantan – JKR

    KOTA BHARU — Sebanyak 20 Jalan Persekutuan membabitkan enam jajahan di Kelantan telah ditutup, setakat ini, susulan banjir yang melanda sejak Rabu lalu.

    Enam jajahan terbabit ialah Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok.

    Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub, berkata 12 daripada jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan, manakala lapan lagi ditutup kepada kenderaan ringan sahaja.

    “Lapan Jalan Persekutuan yang ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan di Pasir Mas ialah jalan berhampiran Kedai Tanjung, Kampung Tok Deh, Culvert 5 di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang, Kubang Rambutan, AADK Lubok Jong, Jambatan Lubok Jong-Risda Gaung, Jambatan Tersang dan lampu isyarat Rantau Panjang.

    “Di Tumpat pula membabitkan Kampung Telaga Bata-Kampung Pauh Sebanjar dan Terowong Pasir Pekan, manakala di Tanah Merah dekat Kampung Pepuyu-Kampung Kajang dan Kota Bharu di McDonald’s Kok Lanas,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, lapan Jalan Persekutuan yang ditutup kepada kenderaan ringan saja ialah masing-masing dua jalan di Kampung Badak dan Kampung Gaung Jalan Bypass (Pasir Mas), Caltex Padang Melintang-Petron Beris Kubu Besar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu (Bachok), lampu isyarat Jerus dan Panggong Tiga Daerah (Pasir Puteh) serta SK Tiong dan selekoh culvert, Jalan Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu).

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Polis tahan bekas peserta rancangan lawak disyaki rogol gadis

    JOHOR BAHRU — Bekas peserta program realiti komedi sebuah stesen televisyen berbayar, ditahan polis dipercayai berkaitan kes rogol seorang gadis berusia 20-an.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan penangkapan itu ketika dihubungi, hari ini.

    Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan di sekitar bandar raya ini awal pagi tadi.

    “Suspek ditahan awal pagi tadi dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

    “Kes dalam siasatan dan telah benarkan ditahan reman selama lima hari mulai hari ini hingga 2 Disember depan,” katanya.

    BH ONLINE

  • ‘YTL paling corot, minta maaf saya terpaksa sebut’

    KUALA LUMPUR — YTL Communications Sdn Bhd diletakkan dalam senarai syarikat paling corot menyiapkan projek menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam tempoh ditetapkan.

    Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata syarikat berkenaan sebelum ini menerima sebanyak 51 menara JENDELA fasa satu dan semuanya belum beroperasi.

    Malah, katanya, sebanyak 17 daripada 51 menara itu sudah melebihi tempoh sasaran sembilan bulan yang ditetapkan untuk beroperasi.

    “Maksudnya, YTL yang paling corot. Minta maaf, saya terpaksa sebut di sini. Daripada 51 menara diterima, semua 51 tidak siap.

    “Jadi saya sudah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti menara yang menghadapi kelewatan,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) berhubung status pelaksanaan projek menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan tindakan dikenakan terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek di bawah JENDELA mengikut tempoh masa ditetapkan.

    Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap kontraktor sama ada di bahagian pertama atau kedua.

    Katanya, penalti boleh dikenakan mengikut notis pemberitahuan penamaan kepada pembina menara atas kegagalan menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan.

    “Antara penalti adalah liquidated damages' (ganti rugi tertentu), mengambilperformance bond’ (bon prestasi), penolakkan tuntutan dan tindakan undang-undang dibawah Akta Komunikasi dan Mulitmedia.

    “Pada masa ini, tindakan yang sedang dipertimbangkan adalah mengenakan liquidated damages kepada pihak yang terbabit,” katanya.

    Fahmi berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak 1,385 daripada 1661 menara JENDELA berjaya disiapkan dan daripada jumlah itu hanya 808 menara sudah beroperasi.

    Katanya, CelcomDigi menerima 866 menara dan 366 masih dalam pelaksanaan manakala 193 menara sudah lebih sembilan bulan siap, namun belum beroperasi.

    “Umobile pula 143 menara siap dan 19 dalam pelaksanaan manakala dua melebihi tempoh sasaran sembilan bulan yang ditetapkan untuk beroperasi,” katanya.

    BH ONLINE

  • Taikun Tan Sri Ananda Krishnan meninggal dunia

    PETALING JAYA — Hartawan dan tokoh perniagaan terkemuka Malaysia, Tan Sri T Ananda Krishnan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.

    Usaha Tegas Sdn Bhd, firma pegangan pelaburan yang diketuai oleh Ananda, mengesahkan pemergiannya hari ini.

    “Dengan rasa sedih kami mengumumkan pemergian Pengerusi kami, T Ananda Krishnan, yang meninggal dunia secara tenang pada 28 November 2024.

    “Mendiang telah membuat sumbangan besar kepada pembinaan negara dan dunia korporat dan inisiatif dermawannya telah menyentuh banyak kehidupan.

    “Kami dengan rendah hati meminta agar hasrat keluarga untuk berkabung secara tertutup dihormati,” kata Usaha Tegas dalam satu kenyataan.

    Ananda yang sering dirujuk sebagai ‘AK’ adalah antara individu terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih dianggarkan lebih AS$5 bilion.

    Terkenal dengan sikap rendah dirinya, mendiang membina empayar yang pelbagai merangkumi telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.

    Dilahirkan pada 1938 di Brickfields, Kuala Lumpur, Ananda memperoleh ijazah dalam sains politik dari University of Melbourne dan kemudiannya menamatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School.

    Perjalanannya dalam perniagaan bermula dengan usaha dalam perdagangan minyak, yang akhirnya berkembang menjadi pelaburan dalam teknologi dan media.

    Antara pegangan kepentingannya termasuk dalam syarikat telekomunikasi Maxis, Astro Malaysia Holdings Bhd dan Bumi Armada Bhd.

    Mendiang juga melancarkan MEASAT, perintis industri satelit Malaysia.

    Ananda juga komited dalam membantu kebajikan kemasyarakatan dengan melalui Yayasan Ananda Krishnan, mendiang memberi sumbangan besar kepada pendidikan, seni, sukan dan inisiatif kemanusiaan.

    Aktiviti amalnya telah memberikan biasiswa dan sokongan kepada individu yang tidak terkira banyaknya, mencerminkan dedikasinya untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

    BH ONLINE

  • Banjir di Kelantan: 60 rumah di Kampung Tersang hanya nampak bumbung

    RANTAU PANJANG — Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Itu situasi dialami lebih 300 penduduk di Kampung Tersang di sini, apabila 60 rumah di kawasan itu ditenggelami banjir hingga paras bumbung.

    Situasi di kampung itu semakin buruk sejak malam tadi selepas paras air Sungai Golok semakin meningkat dan kini mencecah 11.63 meter iaitu rekod tertinggi setakat ini.

    Penduduk, Mohd Irwan Faizal, 40, berkata ketika dia sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh Ahad lalu, keadaan paras air belum masuk ke dalam rumah.

    Bagaimanapun, katanya, sejak semalam air semakin meningkat secara mendadak dan hari ini tinjauan dilakukan di kawasan Kampung Tersang mendapati semua rumah hanya nampak bumbung.

    “Ada rumah bumbung pun tenggelam. Melihat keadaan rumah, saya hilang kata-kata kerana terlalu sedih namun sudah menjangka situasi ini akan berlaku.

    “Bayangkan bulan Januari tahun ini rumah kami di sini sudah tenggelam, tidak sampai setahun rumah tenggelam sekali lagi.

    “Mungkin lama-lama rumah boleh roboh akibat reput disebabkan ditenggelami banjir dalam tempoh agak lama,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, melihat kepada keadaan rumah dengan paras air yang begitu tinggi sudah tentu barangan berharga yang ditempatkan di atas para turut tenggelam.

    “Kami penduduk di Kampung Tersang semua berpindah di PPS SK Gual To’ Deh dan kini hanya mampu memandang keadaan rumah dengan linangan air mata,” katanya.

    BH ONLINE

  • Tiga rentung kereta terbakar rempuh tembok jambatan

    MELAKA — Tiga individu rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh tembok jambatan di Jalan Kampung Seri Lanchang, Merlimau, di sini, pagi tadi.

    Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.09 pagi.

    Beliau berkata, sepasukan 11 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

    “Sejurus tiba jam 9.16 pagi di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati sebuah kereta Proton Iswara terbabas melanggar tembok jambatan dan terbakar 90 peratus.

    “Terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini.

    BH ONLINE

  • Tiga terselamat, bot terbalik dipukul ombak

    BACHOK — Tiga nelayan terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak di pesisir pantai Kampung Perupok, di sini, pagi tadi.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Lokman Yusoh, kejadian itu berlaku selepas mereka yang berusia di antara 40 hingga 50 tahun dalam perjalanan pulang dari mengambil pukat di laut.

    Katanya, akibat keadaan bergelora, bot yang dinaiki mereka terbalik pada jarak 200 meter dari pesisir pantai.

    “Pihak kami menerima panggilan dari Sistem MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 10.45 pagi dan seramai lapan anggota termasuk pegawai dari BBP Bachok bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, tiga nelayan itu sudah diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.34 pagi.

    BH ONLINE

  • Mekanik didakwa memandu mabuk sebabkan kematian suami isteri

    JOHOR BAHRU — Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri, 16 November lalu.

    Tertuduh, S Nageshvaran, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Farhana Mohd Ishak.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah Perodua Alza dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 170 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian seorang pembonceng motosikal, Linda Mohd A Aziz.

    Tertuduh juga didakwa memandu kenderaan sama dengan kandungan alkohol sama dalam badan dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohamad Redzwan Mohd Rusdi.

    Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pusat Bandar Pasir Gudang, kira-kira jam 4.15 pagi, 16 November lalu.

    Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor S Vikineswary manakala tertuduh diwakili K Sarawanakumar.

    Pegawai Pendakwa memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh selain perlu melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan, lesen memandunya digantung selain pasportnya diserah pada mahkamah.

    Namun peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua dan sakit selain empat adik beradiknya.

    “Tertuduh menanggung kesemua ahli keluarganya dengan gaji sebagai mekanik hanya RM2,000 sebulan malahan ini adalah kesalahan pertamanya,” kata peguam.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan, lesen memandunya digantung selain pasportnya diserah pada mahkamah.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Januari depan untuk serahan dokumen.

    Pada 16 November, Mohamad Redzwan, 37, dan isterinya, Linda, 35, dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pasir Gudang, kira-kira 4.15 pagi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

    Nahas membabitkan motosikal jenis Honda Vario dengan kereta Perodua Alza itu menyebabkan pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    Insiden berkenaan mengakibatkan lima anak pasangan terbabit, Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3, menjadi yatim piatu dan kini dijaga datuk, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 dan neneknya, Ramlah Kasiran, 56.

    BH ONLINE

  • Lelaki dilapor hilang ditemui lemas

    KOTA BELUD — Lelaki yang dilapor hilang ketika menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh, di sini, kelmarin ditemukan lemas, tengah malam tadi.

    Mangsa Noordin Punjuh, 51, ditemui penduduk kampung jam 12.56 tengah malam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dipecahkan kepada tujuh kumpulan.

    Katanya, pasukan operasi terdiri daripada bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA) dan penduduk kampung.

    “Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan (surface searching) menggunakan bot.

    “Selain itu, pencarian di kawasan tebing sungai dan pencarian menggunakan bot dan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilakukan dengan jarak keseluruhan lapan Kilometer,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, mangsa berjaya ditemui penduduk kampung pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

    Mangsa dikatakan keluar rumah untuk menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

    Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah dan kira-kira jam 8 malam kelmarin, adik mangsa mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan jala, beg pinggang, telefon bimbit, selipar dan baldi dipercayai milik mangsa.

    BH ONLINE

  • Tiga beranak maut kereta bertembung pikap

    SETIU — Tiga beranak maut, seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pikap di Kilometer 53, Kampung Sungai Lerek, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu di sini jam 4.50 pagi tadi.

    Mangsa maut membabitkan pemandu Perodua Axia, Nur Ardiena Kamarudin, 30, beralamat Jalan Telipot, Kota Bharu serta kedua ibu bapanya yang juga penumpang hadapan, Kamarudin Ibrahim, 55, serta penumpang belakang, Maimumah Mat Isa, 54.

    Nur Ardiena dan Maimunah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Kamarudin meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Setiu.

    Seorang lagi penumpang belakang Perodua Axia, Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21, parah pada bahagian paha sebelah kanan.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Axia dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala Kota Bharu, Kelantan manakala pikap Toyota Hilux dalam perjalanan dari Tunjong, Kota Bharu, Kelantan menghala ke Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu.

    Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu pikap hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

    “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat,” katanya.

    Mohd Zain berkata, pemandu pikap berusia 24 tahun cedera pada kedua-dua belah kaki dan bahu kiri sementara penumpang hadapan berusia 18 tahun cedera pada kedua-dua lutut dan bahu kiri.

    Katanya, dua mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Setiu manakala penumpang belakang Axia dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • Polis Kulai buru lelaki disyaki cabul anak asuhan isteri

    KULAI — Polis memburu seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak asuhan kepada isterinya.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu tahun lalu.

    “Kira-kira jam 6.40 petang, Rabu lalu, kita menerima satu laporan polis mengenai kejadian seorang kanak-kanak tempatan berusia 12 tahun telah dicabul.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa hadir ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat mengalami kemurungan.

    “Dalam pertemuan dengan pegawai perubatan ketika itu, mangsa memberitahu dia telah dicabul oleh suspek iaitu suami kepada pengasuh yang menjaganya,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

    Seng Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama.

    BH ONLINE

  • Dua anggota parah, kereta polis bertembung pikap

    MARAN — Dua anggota polis cedera parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan polis dengan sebuah pikap di kilometer 74.5 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur pada 3.25 awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Maran, Supritenden Wong Kim Wai berkata dalam kemalangan membabitkan kenderaan polis Honda City dengan sebuah pikap di Kilometer 74.5 Jalan Kuantan – Kuala Lumpur.

    Mangsa Koperal Mohd Razif Hamzah, 38, seorang jurugambar Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Maran yang memandu cedera parah dirawat di Hospital Temerloh.

    Penumpang hadapan Sarjan Mohd Azzuhair Hafifi Azman, 29, cedera di dada dan kepala turut dirawat di hospital sama.

    Pemandu pikap, Mohd Johan Che Par, 48, dari Kampung Baru Sungai Chedong, Maran cedera di dada.

    “Kenderaan polis dalam perjalanan dari Balai Polis Maran ke Jengka 19 untuk menyiasat satu kes kemalangan.

    “Sampai di KM74.5 Jalan Kuantan – Kuala Lumpur, sebuah pikap dari arah bertentangan telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan polis.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku atas kecuaian pemandu pikap,” katanya.

    BH ONLINE

  • Tun M sokong keputusan ICC

    KUALA TERENGGANU — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyokong keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Israel Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.

    Menyifatkan ia sebagai tindakan wajar, Dr Mahathir berkata kedua-dua pemimpin Israel itu adalah penjenayah perang yang telah melakukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin dan patut dihukum.

    “Ini penjenayah perang. Dia (Netanyahu dan Gallant) adalah penjenayah. Dia (Netanyahu dan Gallant) telah melakukan pembunuhan. Pembunuhan satu orang pun adalah jenayah (tetapi) dia telah membunuh 44,000 orang Islam. Ini penjenayah besar, yang patut dihukum gantung,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2024 di sini hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan keputusan ICC dan menyifatkan tindakan badan kehakiman dunia itu adalah berlandaskan hukum, bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan oleh rejim Zionis berkenaan.

    ICC pada Khamis mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

    Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel terhadap Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Doktor didakwa rakam video punggung, badan pekerja kedai penjagaan kecantikan

    TELUK INTAN — Seorang doktor perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan merakam video punggung dan badan seorang wanita pada Julai lalu.

    Tertuduh, Dr Amirul Haqim Ayub, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mengaibkan kesantunan seorang pekerja kedai penjagaan kecantikan dan kesihatan berusia 27 tahun secara merakam video punggung dan bahagian badan mangsa dengan menggunakan telefon bimbit.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai tempat mangsa bekerja dalam sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, dekat sini, pada jam 6.30 petang 12 Julai lalu.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad, menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 kepada tertuduh.

    Namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah membenarkan ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri.

    Naidatul Athirah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Disember depan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

    Berdasarkan laporan polis yang dibuat, kejadian itu didakwa berlaku ketika wanita terbabit sedang menyusun barang di kedai tempat mangsa bekerja.

    Hasil pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh disyaki mendekati dan merakam video punggung mangsa.

    BH ONLINE

  • Mahkamah Taiwan arah pembunuh pelajar Malaysia bayar pampasan kepada keluarga

    TAIPEI — Sebuah mahkamah dalam prosiding sivil pada Khamis memutuskan bahawa seorang lelaki Taiwan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Januari 2024 kerana membunuh seorang pelajar Malaysia, perlu membayar lebih NT$6 juta (AS$196,020) sebagai pampasan kepada keluarga mangsa, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

    Mahkamah Daerah Shilin memerintahkan Chen Po-yen untuk membayar NT$3,010,355 dan NT$3,369,999 masing-masing kepada ibu dan bapa pelajar universiti wanita yang dicekiknya sehingga mati, dengan faedah tahunan lima peratus dikira mulai Ogos 2023.

    Keputusan mahkamah itu boleh dirayu.

    Chen yang berusia 30 tahun ketika kejadian, kini menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh pelajar universiti dikenali dengan nama keluarga Chai pada Oktober 2022.

    Mahkamah Daerah Shilin mendapati Chen bersalah atas tuduhan membunuh pada Januari, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Taiwan pada Jun lalu.

    Chen mengaku mencekik Chai sehingga mati di rumah sewanya selepas mangsa enggan memulangkan sebahagian daripada NT$99,999 yang telah dipindahkan ke dalam akaunnya, menurut kenyataan Mahkamah Daerah Shilin pada Januari.

    Chai yang berusia 24 tahun ketika kejadian sedang menuntut di sebuah universiti di Taipei dan bekerja sebagai model sambilan serta penstrim langsung di media sosial, menurut polis.

    BH ONLINE – BERNAMA-CNA

  • Dua parah, empat cedera ringan, nahas tujuh kenderaan di KM274.9 berhampiran Seremban

    SEREMBAN — Dua parah manakala empat lagi cedera ringan dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 274.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Ainsdale, dekat sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata kemalangan jam 6.50 pagi itu dipercayai berpunca daripada sebuah lori yang terbabas ke lorong kanan selepas hilang kawalan.

    Katanya, dua yang parah itu dikenalpasti sebagai pemandu serta penumpang kenderaan Perodua Ativa dan mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah lori jenis Daihatsu yang dipandu seorang lelaki berumur 74 tahun bersama kelindan berumur 60 tahun sedang dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Kajang, Selangor.

    “Apabila sampai di KM274.9, lori berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu pengendali Lebuh Raya Utara Selatan, The PLUS Expressway Berhad (PLUS) melaporkan kemalangan di KM274.9 menyebabkan kesesakan sejauh kira-kira 10 kilometer.

    Abdul Malik berkata siasatan mendapati lima kereta dan sebuah lori yang datang dari arah belakang kemudian cuba mengelak, sebelum terlanggar sesama sendiri.

    “Tiga penumpang kenderaan jenis Perodua Myvi serta kelindan lori jenis Daihatsu cedera ringan dan sedang menerima rawatan di HTJ,” katanya.

    Abdul Malik berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 0196990142.

    BH ONLINE

  • Lakukan amang seksual terhadap pelajar perempuan, pekerja kantin sekolah didakwa di mahkamah

    TELUK INTAN — Seorang pekerja kantin sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar perempuan, dua minggu lalu.

    Tertuduh, Muhammad Zulhakimi Husaini Zulkifli, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dengan cara meraba dan memegang buah dada mangsa di simpang tiga Jalan Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai, di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 10 November lalu.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal, manakala tertuduh diwakili peguam Faustina Francis.

    Norhamizah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan 23 Disember depan.

    Sementara itu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya dengan cara menyalahi undang-undang.

    Perbuatan itu dilakukannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini, pada jam 10.20 malam, 12 November lalu.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

    Pendakwaan itu dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang memperuntukkan tertuduh menjalani pengawasan antara dua hingga lima tahun.

    Pendakwaan dilakukan Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad, manakala tertuduh diwakili peguam, S Kumaresan.

    Naidatul Athirah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 21 Januari tahun depan untuk serahan laporan patologi.

    BH ONLINE

  • Lans Koperal tak mengaku curi barang kemas mayat

    KUALA LUMPUR — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencuri dua barangan kemas daripada jasad seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta, bulan lalu.

    Tertuduh, Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M S Arunjothy.

    Mengikut pertuduhan, bapa lima anak itu didakwa mencuri masing-masing seutas rantai leher dan tangan milik si mati bernama Nur Farhana Nisha Syazwan, 26, dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju pada jam 2.40 pagi, 1 Oktober lalu.

    Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin tidak menawarkan jaminan berikutan ia adalah kesalahan tidak boleh dijamin.

    Bagaimanapun, peguam Lavinia Raj yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan berikutan mempunyai tanggungan lima anak masih kecil dan bersekolah berusia 12, 10, 8, 6 dan dua tahun.

    “Anak guam berpangkat Lans Koperal dengan pendapatan hanya RM2,500 sebulan, sekiranya jaminan tinggi ditetapkan, tertuduh akan mengalami kesusahan untuk menampung keluarga,” katanya yang memohon jaminan minimum RM1,000.

    Mendengar hujah kedua-dua pihak, Arunjothy membenarkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 22 Januari depan.

    Sebelum ini, media melaporkan bapa mangsa, Syazwan Abddulah, 59, mendakwa barang kemas dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak di sini pada 1 Oktober lalu, hilang.

    Syazwan yang juga pesara polis dilapor berkata dia dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anaknya yang berusia 26 tahun itu berhubung penemuan mayatnya pada awal pagi, 1 Oktober lalu.

    Difahamkan anaknya ditemukan anggota polis peronda yang membuat rondaan selepas menyedari kereta Proton Saga dinaikinya diparkir di kawasan terbabit dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup dan lampu menyala.

    Sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Banting, Selangor, dia terdetik untuk mencari rantai, loket serta gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.

    Susulan pendedahan bapa mangsa, empat anggota polis ditahan berhubung kehilangan barang kemas milik wanita yang meninggal dalam kereta.

    Kes itu juga mengundang kemarahan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang menyifatkan tindakan mencuri barang kemas daripada jasad seorang wanita yang sudah tidak bernyawa adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

    “Perbuatan ini sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja terbabit dalam jenayah seumpama ini.

    “Peringatan ini bukan sahaja untuk semua pegawai dan anggota tetapi ia juga kepada diri saya,” katanya hari ini.

    BH ONLINE

  • 3 maut termasuk wanita hamil, Perodua Viva terbabas

    PUTRAJAYA — Seorang wanita hamil antara tiga maut manakala seorang lagi wanita hamil parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas berhampiran pusat beli-belah IOI City Mall di sini, tengah malam tadi.

    Mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, Nurulhuda Ramli, 41, dan Amizan Sapiie, 27, manakala mangsa yang parah dikenal pasti sebagai Nizasuhana Ujang, 28.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan kemalangan pada jam 12.10 tengah malam.

    Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva yang dipercayai terbabas sendiri.

    “Terdapat empat mangsa masing-masing dalam kereta, dua lelaki dan dua perempuan hamil. Seorang wanita hamil cedera parah dan sudah dihantar ke Hospital Putrajaya.

    “Dua lelaki dan seorang lagi wanita hamil disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Mukhlis berkata mayat ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.

    BH ONLINE

  • Terjerat cinta ‘kekasih Korea’, wanita rugi lebih RM80,000

    SIBU — Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an kerugian RM86,841 selepas menjadi mangsa penipuan cinta lelaki warga Korea yang dikenali menerusi aplikasi “Tinder” pada Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asistan Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata dalam laporan polis pada Khamis, pekerja swasta berkenaan memaklumkan pada 19 Jun lalu suspek telah berjanji akan bertemu dengannya selepas permohonan visa suspek diluluskan.

    “Pada awal Julai lalu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia telah membuat beberapa penghantaran barang kepada mangsa namun barang berkenaan ditahan pihak kastam Indonesia sebelum transit ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkipli berkata selepas berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai kastam pada 25 Julai, mangsa diminta untuk membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan sijil pelepasan supaya barangan berkenaan dihantar ke Malaysia.

    Mangsa membuat 25 transaksi pindahan wang ke lapan akaun tempatan berjumlah RM86,841 sebelum berasa ragu-ragu dan menyedari dirinya ditipu apabila masih diminta untuk membuat pelbagai pembayaran. Suspek juga tidak dapat dihubungi mangsa selepas itu.

    “Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    BH ONLINE – BERNAMA