Category: Malaysia

  • Calon SPM miliki video pornografi dihantar ke Henry Gurney

    BATU PAHAT — Seorang pelajar yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan didakwa dengan 63 pertuduhan memiliki video pornografi juniornya diarah dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka selama tiga tahun.

    Majistret Suhaila Shafi’uddin memerintahkan demikian kerana tertuduh yang berusia 17 tahun adalah juvana selain mengarahkan ibu bapa pelajar itu melawatnya sebulan sekali.

    Majistret turut mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun serta melapor diri di balai polis berhampiran sebaik menjalani perintah di sekolah itu.

    “Bertaubatlah, jadikan hukuman ini untuk kamu bermuhasabah diri,” kata Suhaila sebelum mengeluarkan perintah ke sekolah berkenaan.

    Keputusan itu berkuat kuasa hari ini mengikut Seksyen 91 (1) (f) Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan tertuduh dikategorikan pesalah juvana.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh supaya dilihat oleh tertuduh.

    Perbuatan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa dalam daerah ini, Kluang dan Tangkak.

    Semua kejadian itu berlaku antara jam 10 pagi hingga 11 malam, bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu membabitkan mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun.

    Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua, bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

    Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba di sebuah rumah pada jam 2.30 pagi, 11 November lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK dan boleh dipenjara selama lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh meminta mangsa melakukan aksi tidak senonoh serta memintanya merakam.

    Selepas selesai melakukan aksi itu, semua mangsa diminta menyerahkan rakaman video terbabit kepada mangsa.

    Kejadian itu berlaku beberapa kali malah ada pelajar diminta membuat aksi itu sehingga 12 kali.

    Mangsa juga diminta oleh tertuduh mengulangi perkara sama, serta diugut untuk disebarkan video atau menyerahkan wang jika enggan menuruti arahannya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Sharif.

    Terdahulu, Pegawai Akhlak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Batu Pahat, Silanoraismawati Mhd Zain dalam pembentangan laporan akhlak mencadangkan agar tertuduh ditempatkan di sekolah sama.

    BH ONLINE

  • Rogol anak hingga hamil, bapa kena penjara 25 tahun dan 10 sebatan

    MUAR — Seorang lelaki warga Kemboja dihukum penjara 25 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merogol anak kandungnya berusia 13 tahun sehingga hamil empat bulan.

    Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman berkenaan selepas bapa berusia 38 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Batu Pahat antara jam 3 hingga 4 pagi Ogos lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

    Selain hukuman penjara dan sebat, mahkamah juga memerintahkan tertuduh untuk menjalani sesi kaunseling ketika dalam penjara serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik saja selesai hukuman, selari dengan Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    “Saya kesal terhadap apa yang dilakukan. Saya minta maaf,” kata tertuduh dalam rayuannya di hadapan hakim.

    Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bahawa seorang pesakit bawah umur didapati hamil ketika menerima rawatan.

    Hasil siasatan polis mendapati terdahulu mangsa mengalami sakit perut sebelum tertuduh membawanya untuk menjalani pemeriksaan di HSNI.

    Berdasarkan hasil siasatan, mangsa dipercayai dirogol bapanya sejak berusia sembilan tahun dengan kali terakhir kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di dalam bilik pada Ogos lalu.

    Sejak itu, tertuduh dikatakan berhenti melakukan perbuatan terkutuk berkenaan selepas mangsa kerap muntah dan sakit perut.

    Mangsa turut mendakwa bahawa dia dirogol antara empat hingga lima kali seminggu tanpa menceritakan kejadian kepada sesiapa sebelum itu.

    Tertuduh yang juga pemegang kad pengenalan sementara, dilaporkan berkahwin dengan seorang wanita warga tempatan tetapi hidup berjauhan kerana isterinya bekerja dan menetap di Australia sejak tujuh tahun lalu.

    Susulan laporan diterima daripada HSNI, polis menahan tertuduh di rumahnya kira-kira jam 4 pagi 17 Disember lalu untuk membantu siasatan.

    BH ONLINE

  • Bakal pengantin, tunang antara didakwa cabul remaja bergilir-gilir

    MUAR — Dua lelaki masing-masing yang bakal melangsungkan pertunangan Sabtu ini dan berkahwin Mei depan, antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas tuduhan amang seksual secara bergilir-gilir terhadap remaja perempuan, di Tangkak, lima tahun lalu.

    Mereka ialah Muhammad Amirul Aiman Sahrrol, 20; Muhammad Azizi Shamsor Kamar, 23, dan kembarnya, Muhammad Azizan, 23; Muhammad Asraf Rosli, 23; Hafsyal Sufian Kamaluddin, 23, dan Muhammad Hafize Abd Rahim.

    Namun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah Tangkak, antara jam 1.30 hingga 2 pagi, 20 Januari 2019.

    Justeru, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Berdasarkan laporan dibuat, mangsa ketika itu bertandang ke rumah seorang daripada kenalan lelaki itu sebelum berehat dalam bilik tingkat atas rumah.

    Ketika itu, terdapat sembilan lelaki di rumah terbabit dan mereka secara berdua-dua naik ke tingkat atas sebelum melakukan perkara itu.

    Bagaimanapun, mangsa tidak tahan dengan perbuatan mereka bertindak menangis dan menjerit hingga didengari jirannya.

    Jiran kemudian keluar rumah sebelum dimaklumkan mangsa dia dicabul tertuduh. Susulan itu, jiran menghubungi polis sebelum kesemua tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap setiap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan dua syarat tambahan.

    Selepas mendengar rayuan dan hujahan, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa ataupun saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Kes disebut semula 27 Januari ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam semua tertuduh.

    BH ONLINE

  • Warga Indonesia maut disambar buaya di Kuala Baram

    KUCHING — Dua insiden serangan buaya berlaku di negeri ini minggu ini dengan terbaru lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang di Kuala Baram, Miri, Khamis lalu disahkan menjadi mangsa serangan reptilia itu.

    Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Salim, 49, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 11.15 pagi ini di lokasi kira-kira enam kilometer dari pos kawalan bomba (PKB).

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kehilangan mangsa pada jam 4.50 petang, Khamis lalu.

    Beliau berkata, pemanggil memaklumkan mangsa dikhuatiri disambar buaya ketika sedang memancing berdekatan Jambatan ASEAN di Kuala Baram.

    Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang bergegas ke lokasi menemui pancing dipercayai milik mangsa di tebing sungai berdekatan jambatan itu.

    Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sehinggalah mayat mangsa ditemui pada hari keempat pencarian, hari ini.

    “Selain lima anggota bomba, SAR turut disertai lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta tiga orang awam.

    “Sebaik tiba di PKB, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,’ katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam insiden pertama juga pada petang Khamis lalu, seorang lelaki maut selepas disambar reptilia itu di Kampung Sampun Tebun, Asajaya.

    Mayat mangsa, Gindek Julau, 41, ditemui oleh abangnya tidak lama selepas dia dilaporkan disambar buaya di Sungai Sampun itu.

    BH ONLINE

  • Penjual kelapa didakwa rogol anak saudara teman wanita

    JOHOR BAHRU — Penjual kelapa didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah hotel di Tampoi, Julai lalu.

    Tertuduh, Loong Kam Faht, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol remaja perempuan yang juga anak saudara teman wanitanya di sebuah hotel di Taman Munsyi Ibrahim, Tampoi, di sini.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada kira-kira jam 10.30 pagi pada 2, 9 dan 29 Julai lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika disabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili, Syufri A Samad.

    Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh susulan kesalahan yang dilakukan berat selain dibimbangi mengganggu saksi pendakwaan.

    “Namun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan,” kata Timbalan Pendakwa Raya.

    Bagaimanapun, Syufri yang mewakili anak guamnya memohon jaminan rendah susulan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung ibunya berusia 68 tahun, yang menderita menghidap kencing manis dan sakit jantung.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

    Hakim turut memerintahkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menganggu mana-mana saksi pendakwaan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Februari ini bagi serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Kes pecah rumah, curi, rogol di Kelantan meningkat

    KOTA BHARU — Indeks jenayah di negeri ini mencatatkan peningkatan dengan 2,212 kes dilaporkan sepanjang tempoh Januari hingga November, berbanding 1,921 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kes pecah rumah mencatatkan peratusan paling tinggi iaitu 64.4 peratus diikuti curi (53.1 peratus), manakala rogol (21.8 peratus).

    Beliau berkata, jenayah seksual dalam kalangan remaja berada di tahap serius dengan 148 kes dilaporkan bermula Januari hingga November.

    “Jumlah kes membabitkan mangsa berusia 16 tahun ke bawah adalah 131 kes (88.5 peratus), manakala mangsa 17 tahun ke atas pula 17 kes (21.5 peratus).

    “Biasanya yang berlaku adalah suka sama suka dan faktor utama disebabkan penggunaan telefon pintar yang tidak terkawal yang dapat mengakses pelbagai laman web lucah sekali gus mempengaruhi remaja untuk mencuba.

    “Tanggungjawab polis untuk mengambil tindakan jika ada laporan tapi peranan sepenuhnya adalah di pihak ibu bapa yang perlu sentiasa memeriksa telefon pintar anak masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Beliau berkata, kes rogol atau suka sama suka tidak banyak membabitkan penyalahgunaan dadah, sebaliknya dipengaruhi nafsu.

    “Bagi kes pecah rumah atau curi pula, biasanya membabitkan penagih dadah kerana desakan kewangan untuk mendapatkan bekalan dadah,” katanya.

    Terdahulu, Mohd Yusoff hadir di Masjid Raudhatul Muttaqin Mukim Kemumin, di sini, sempena program ‘KP Bersama Komuniti’ dan ceramah isu-isu semasa.

    Mohd Yusoff berkata, kes penipuan dalam talian turut mencatatkan peningkatan tahun ini dengan 987 kes membabitkan nilai kerugian kira-kira RM25 juta.

    “Sindiket ‘scammer’ ini ada yang membabitkan pelajar sekolah dengan menjadikan akaun pelajar sebagai keldai akaun dan digunakan untuk memasukkan wang hasil penipuan.

    “Modus operandi sindiket ‘phone scam’ adalah membuat panggilan secara rambang dengan mendakwa mewakili mana-mana institusi kewangan dan agensi kerajaan seperti PDRM.

    “Scammer ‘love scam’ pula memancing cinta mangsa menggunakan kata-kata romantik dan janji palsu sebelum memperdaya mangsa seterusnya memasukkan wang ke dalam akaun suspek,” katanya.

    BH ONLINE

  • Jurulatih silambam didakwa lakukan amang seksual dua anak perempuan tirinya

    MELAKA — Jurulatih silambam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya, sejak November lalu.

    Lelaki berusia 34 tahun itu didakwa di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai amanah iaitu bapa tiri, didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun pada jam 9 pagi di sebuah rumah di Taman Perkota, di sini, pada awal November lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap adik mangsa berusia 13 tahun kira-kira jam 2 pagi pada 17 Disember lalu.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan boleh dihukum berpandukan seksyen sama dibaca bersama Seksyen 16(1) AKSTK 2017.

    Sabit kesalahan Seksyen 14(a) dan 14(b) tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan selain penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan bagi Seksyen 16(1).

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain, tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara membenarkannya.

    Beliau juga memohon syarat tambahan ditetapkan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri kepada pengawai penyiasat sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Peguam R Reena Nair merayu jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan dan hanya bergantung kepada yuran bulanan sebagai jurulatih selain mempunyai tiga anak kecil.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat dipohon pendakwaan dan menetapkan 28 Januari ini untuk sebutan semula kes.

    BH ONLINE

  • Lelaki maut disambar buaya

    KUCHING — Buaya mengganas lagi dengan terbaharu serangan berlaku di Asajaya, Samarahan dalam kejadian petang membabitkan seorang lelaki.

    Lelaki tempatan berusia 41 tahun maut selepas disambar reptilia itu di Kampung Sampun Tebun, Asajaya.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 petang.

    Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

    “Setibanya anggota di lokasi kejadian, komander operasi mengesahkan insiden lelaki dewasa yang dilaporkan disambar buaya,” katanya.

    Beliau berkata, mayat mangsa, Gindek Julau ditemui di Sungai Sampun oleh abangnya sebelum ketibaan anggota bomba.

    “Anggota bomba kemudian mengambil mayat mangsa menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pengetua dituduh kes komunikasi, amang seksual pelajar perempuan

    MARANG — Pengetua sebuah sekolah menengah di daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuan pada Julai lalu.

    Tertuduh, Mohd Tajudin Mokhtar, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 16 tahun di pejabatnya di sekolah berkenaan pada jam 8.30 pagi, 2 Julai lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan foto perempuan seksi melalui telefon bimbitnya kepada mangsa di tempat, tarikh dan waktu sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(e) AKSTKK 2017 (Akta 792) berdepan hukuman penjara maksima 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

    Mahkamah menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

    Zur Azureen membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu.

    Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan melaporkan diri setiap 19 hari bulan di balai polis berdekatan.

    BH ONLINE

  • Anak lelaki, menantu pengasas Al-Arqam didakwa kes hina Islam, fatwa mufti

    AYER KEROH — Anak lelaki dan menantu pengasas Al-Arqam, As’aari Muhammad didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba dan bersubahat menghina Islam dengan memiliki tiga penerbitan difatwakan haram oleh Mufti Melaka, pada September lalu.

    Muhammad ‘Athoullah As’aari, 39 dan isteri, Ummu Habibah Raihan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin.

    Berdasarkan pertuduhan, Muhammad ‘Athoullah didapati memiliki buku berjudul Politik Islam Membawa Kasih Sayang dan Pendidikan Rasulullah serta satu bingkai bergambar As’aari.

    Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (EKS) Negeri Melaka (1991) iaitu cuba menghina Islam dengan cara menghina fatwa dikeluarkan mufti melalui warta bertarikh 11 Ogos 1994 dan 2 Ogos 2007.

    Ummu Habibah pula didapati bersubahat dengan kesalahan dilakukan Muhammad ‘Athoullah apabila menyimpan bahan penerbitan berkenaan dan didakwa mengikut Seksyen 37 EKS Negeri Melaka 1991 yang dibaca bersama Seksyen 63 enakmen sama.

    Kesalahan dilakukan di sebuah rumah Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, pada 21 September lalu jam 1.15 tengah hari.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya.

    Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 13 Februari 2025 dan membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM3,000 atau dengan dua penjamin masing-masing selepas dipohon Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin.

    Terdahulu, pendakwaan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan 14 pertuduhan hari ini terhadap lapan orang yang disyaki (OYDS) iaitu tiga anak lelaki As’aari dan lima menantunya yang ditahan menerusi Op Global pada 21 September lalu.

    Namun, seorang OYDS tidak hadir hari ini kerana sedang berpantang.

    Mahkamah menangguhkan pertuduhan terhadap semua enam OYDS pada 13 Februari depan serta menetapkan jaminan sama.

    Peguam Syarie, Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad mewakili semua tertuduh tidak membantah permohonan itu.

    BH ONLINE

  • Kes 1BestariNet: Tiada pertuduhan, siasatan SPRM dapati tiada unsur jenayah tender projek

    KUALA LUMPUR — Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak September lalu mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

    SPRM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya juga sudah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet.

    Bagaimanapun, Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM mengambil langkah susulan dengan memberi tumpuan kepada siasatan dari aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak di antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.

    “TPR telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil siasatan kepada KPM. Selain itu, SPRM turut disaran mengeluarkan syor-syor penambahbaikan,” menurutt suruhanjaya berkenaan.

    Antara langkah utama yang disyorkan ialah KPM kembali ke meja rundingan bersama YTL Communications untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui.

    Semalam, media melaporkan YTL Communications bebas daripada sebarang salah laku dalam siasatannya terhadap projek 1BestariNet.

    Terdahulu pada 4 September lalu, SPRM dilapor menyerbu pejabat YTL Communications di Kuala Lumpur serta sebuah pejabat kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap projek bernilai RM4 bilion itu.

    Sumber SPRM dipetik berkata, siasatan tertumpu kepada dakwaan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion serta unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.

    Projek 1BestariNet yang dimulakan oleh KPM pada 2011, bertujuan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah serta memperkenalkan sistem pembelajaran maya.

    Projek itu pada awalnya dirancang untuk tempoh 15 tahun dengan peruntukan sebanyak RM4.07 bilion, namun kemudian dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan. YTL Communications hanya menyelesaikan dua fasa pertama projek yang berakhir pada Jun 2019.

    BH ONLINE

  • Lelaki cuba rakam bawah kain wanita di Banting ditahan

    SHAH ALAM — Polis berjaya menangkap seorang lelaki disyaki berkelakuan tidak sopan cuba merakam dari bawah kain seorang wanita dalam kejadian di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat, minggu lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan yang berumur 30an itu tidak bekerja.

    “Siasatan awal mendapati, suspek mengaku bahawa dia adalah individu terbabit sebagaimana dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    “Semakan mendapati, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau juga mengakui pertama kali melakukan perbuatan itu.

    “Suspek yang ditangkap di Banting, ditahan reman selama dua hari sehingga esok” katanya kepada media.

    Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita warga tempatan pada jam 10.36 pagi, 9 Disember lalu.

    Mohd Akmalrizal berkata, wanita berkenaan melaporkan dia dirakam seorang lelaki tempatan ketika membeli belah di sebuah pasar raya di Jenjarom.

    Katanya, selepas sedar dirakam, mangsa kemudian membuat pemeriksaan menerusi CCTV di tempat kejadian dan melihat lelaki itu mengangkat kainnya seterusnya merakam dari arah bawah kain.

    Susulan itu katanya, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

    BH ONLINE

  • 2 lelaki guna parang larikan Myvi

    MUAR — Polis memburu dua lelaki yang disyaki merompak sebuah rumah dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Sri Treh, Bakri, di sini, petang kelmarin.

    kedua-dua suspek lelaki yang memakai pelitup muka, turut melarikan sebuah kereta Perodua Myvi milik mangsa sebelum kenderaan itu ditemui di Jasin, Melaka, 11.30 pagi kelmarin.

    Rakaman perbuatan kedua-dua suspek dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang kini tular menunjukkan dua suspek lelaki memasuki rumah ketika pemiliknya sedang berehat dan mengambil barangan berharga.

    Sebelum itu, suspek dilihat bersembunyi di sebalik tembok pagar sebaik menyedari mangsa pulang ke rumah.

    Tidak lama kemudian, dua suspek keluar dari rumah dengan keluarga mangsa cuba menghalang, namun gagal menyekat mereka masuk dalam kereta dan melarikan kenderaan itu.

    Difahamkan, salah seorang ahli keluarga mangsa cedera selepas dipukul suspek ketika pergelutan di luar rumah.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ketika ini usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan menggunakan senjata.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Seventhi Panner di talian 011-1625 1909.

    “Mereka juga boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian 06-9526001 bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.

    BH ONLINE

  • Murid lelaki Tahun Enam maut terkena renjatan elektrik

    SERDANG — Murid lelaki Tahun Enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, AA Anbalagan berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 6.30 petang.

    “Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan.

    “Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),”katanya.

    Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan.

    BH ONLINE

  • Kes bunuh perlu wang tengok Harimau Malaya di Kemboja: Mayat reput sah Nurul Asikin

    Polis mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, Kuching Ahad lalu adalah Nurul Asikin Lan.

    KUCHING — Polis mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Tabuan Jaya, Ahad lalu adalah Nurul Asikin Lan, 26.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) petang ini.

    “Identiti mayat yang dijumpai di Jalan Setia Raja telah dikenal pasti dan disahkan adalah mangsa Nurul Asikin,” katanya ringkas menerusi WhatsApp, hari ini.

    Allahyarham Nurul Asikin dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenalinya.

    Pada Ahad lalu, mayat wanita yang sudah reput ditemui di dalam longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya.

    Mancha berkata, lelaki berusia 20-an iaitu suspek utama yang ditahan pada Sabtu membawa polis ke lokasi itu dan menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang.

    Menurut Mancha, suspek turut membuat pengakuan dia membunuh wanita itu.

    “Ketika dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu (membunuh mangsa) dan mengambil barang kemas mangsa untuk digadai kerana dia memerlukan wang untuk perbelanjaan menyaksikan kejohanan bola sepak di Kemboja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati seorang wanita dipercayai ahli keluarga mangsa memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, esok.

    Beliau turut meminta orang ramai agar tidak menghubungi keluarga mangsa ketika ini kerana tidak mahu mengganggu emosi mereka.

    “Sesiapa mahu datang melihat, boleh terus ke Tanah Perkuburan Samariang esok. Minta tolong jangan hubungi keluarga sepupu saya buat masa ini,” katanya.

    BH ONLINE/8:16pm

  • UM sahkan terima aduan ahli akademik kongsi gambar bogel bersama pelajar

    KUALA LUMPUR — Universiti Malaya (UM) mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung dakwaan seorang ahli akademik berkongsi gambar bogel dirinya dengan beberapa pelajar.

    Katanya, laporan itu dibuat Kelab Feminisme UM (UMFC) yang kemudiannya dilaporkan oleh beberapa agensi media.

    “Ketika ini, UM tidak dapat mengulas lanjut memandangkan ia sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

    “UM akan sentiasa memantau perkembangam kes dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak bertanggungjawab bagi memastikan isu ini ditangani secara betul,” katanya.

    Semalam media melaporkan, Kelab Feminisme UM menggesa pihak pengurusan memperketatkan polisi gangguan seksual selepas insiden berkenaan.

    Kelab itu mendakwa gambar berkenaan dicetak dan dipamerkan di sekitar kampus bagi memberi peringatan kepada pelajar lain sebelum ia diturunkan.

    Ia mendakwa, beberapa profesor lain cuba untuk melindungi pelaku itu yang juga seorang profesor.

    BH ONLINE

  • PU Azman dipenjara tujuh tahun, dua sebatan

    SEREMBAN — Penceramah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman, 43, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur, dua tahun lalu.

    Hakim, Datuk Surita Budin turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas Azman Syah mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan pada prosiding sebutan semula kes, hari ini.

    Terdahulu, Surita memaklumkan dia membuat keputusan itu dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan awam melebihi faktor kepentingan tertuduh sendiri.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai antara jam 8.30 malam hingga 5 pagi pada 5 Februari 2022 dan 6 Julai 2022.

    Peguam, Mohamad Zahid Ahmad dalam rayuannya berkata, pengakuan salah anak guamnya menjimatkan masa semua pihak dan tidak perlu lagi menyambung perbicaraan.

    Jelasnya, tertuduh, seorang duda memohon ampun dan maaf atas kesalahan dilakukan serta mengaku sudah insaf selain tiada kesalahan lain dan tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan di mahkamah sebelum ini.

    “Tertuduh mohon hukuman pemenjaraan yang paling minimum dari tarikh beliau dijamin iaitu 9 Oktober lalu.

    “Beliau telah dipenjara dari 27 September lalu dan sehingga kini masih menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan di Mahkamah Klang,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi berkata, pengakuan salah tertuduh bukanlah satu faktor peringanan yang harus diberi kepada tertuduh.

    Rasyidah Murni juga memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran bukan saja harus diberikan kepada tertuduh malah kepada masyarakat secara amnya.

    “Tertuduh adalah pendakwah selebriti yang mana perbuatan itu tidak harus dilakukan oleh tokoh pendakwah seperti beliau terhadap kanak-kanak.

    “Pendakwaan memandang kesalahan ini bukanlah satu perkara mudah yang harus diambil keringanan dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh,” katanya.

    Pada 27 September lalu, Azman Syah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.

    Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Azman dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.

    BH ONLINE

  • Pelajar menangis di kandang tertuduh ketika mengaku salah cabul junior

    Pelajar madrasah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan kes amang seksual. NSTP

    MUAR — Pelajar sebuah madrasah di Batu Pahat menangis dalam kandang tertuduh sejurus mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual terhadap junior lelaki, bulan lalu.

    Tertuduh, Muhammad Aqmal Md Radzi, 18, menitiskan air mata ketika membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

    Mengikut pertuduhan, dia dakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 12 tahun di sebuah madrasah dalam daerah Batu Pahat antara jam 3 hingga 4 pagi, November lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, yang mebabitkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur dalam bilik bersama tiga lagi rakan sebelum tertuduh datang dan baring di sebelahnya.

    Ketika itulah tertuduh melakukan perbuatan amang seksual sehingga menyebabkan mangsa terjaga dari tidur.

    Selepas melakukan perbuatan itu, tertuduh meminta mangsa tidak menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapapun selain berjanji untuk belanja makan.

    Mangsa ketakutan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada 12 Disember lalu.

    Bertindak atas maklumat diterima, polis menahan tertuduh pada hari sama dan dia mengaku melakukan perbuatan itu terhadap mangsa.

    Dalam pada itu, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu untuk sebutan kes bagi pembentangan laporan sosial oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan juga hukuman memandangkan tertuduh dikategorikan pesalah muda,

    Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 20 Januari depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    BH ONLINE

  • Tiga beranak maut nahas dua kereta bertembung

    MERSING — Tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di kilometer 45, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya, jam 8.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata nahas membabitkan kereta model Toyota Vios dan Proton Persona.

    Katanya, penumpang Proton Persona, Md Yusuf Mukhtar, 71, dan isterinya, Rosnah Salleh, 65 maut di lokasi kejadian manakala anak mereka yang juga pemandu kereta, Muhamad Izuddin Md Yusof, 36, meninggal dunia di Hospital Mersing.

    “Siasatan awal mendapati Toyota Vios berkenaan dipandu lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dari arah Kuantan menuju Johor Bahru.

    “Toyota Vios berkenaan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dari arah Kota Tinggi.

    “Berikutan pertembungan itu, pemandu Toyota Vios parah di perut serta patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

    “Dua penumpang Proton Persona berumur 65 tahun dan 71 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di kepala.

    “Anak lelaki mereka yang memandu Proton Persona itu meninggal dunia di Hospital Mersing akibat cedera parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang turut berada dalam Proton Persona berkenan dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di HSI, Johor Bahru.

    “Kanak-kanak itu adalah anak pemandu berkenaan dan dilaporkan stabil.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing bergegas ke lokasi nahas pada jam 8.42 malam selepas menerima panggilan pada jam 8.03 malam.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba II Zainuddin Ahmad, berkata mangsa yang cedera dikeluarkan oleh orang awam.

    BH ONLINE

  • Penduduk gempar buaya 3 meter muncul di sawah Kampung Nechang

    TUMPAT — Seekor buaya sepanjang tiga meter muncul di kawasan sawah di Kampung Nechang, di sini, petang semalam sekali gus mengejutkan penduduk berikutan kejadian itu tidak pernah berlaku.

    Buaya berkenaan dipercayai datang dari kawasan sungai berhampiran, sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak bomba.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Zamri Omar berkata beberapa anggota yang kebetulan melakukan pemantauan paras air di kawasan sekitar kemudian dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan.

    “Memang ada seekor buaya di dalam sawah kampung itu dan dipercayai ia datang dari sungai berhampiran.

    “Pasukan kami menghalaunya masuk semula ke Sungai Pengkalan Nangka dan usaha itu memakan masa kira-kira 10 minit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, tidak dapat dipastikan dari mana buaya itu datang memandangkan kejadian sebegitu kali pertama berlaku di kawasan terbabit sekali gus mencetus kegemparan penduduk sekitar.

    “Kita nasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan berisiko banjir berhati-hati terhadap ancaman haiwan liar yang mungkin datang sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pelancong China ditemui mati lemas

    SEMPORNA — Seorang pelancong warga China yang dilaporkan hilang ditemukan lemas selepas disyaki terjun ke laut di kawasan perairan Pulau Mabul, di sini semalam.

    Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang pada kedalaman 17 meter selepas operasi pencarian dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dengan bantuan penyelam dari resort berhampiran.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, ketika ditemui mangsa masih memakai beg galas (back pack) warna kelabu mengandungi tiga bongkah batu bata kira-kira 11.35 pagi.

    Katanya, polis membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

    “Proses bedah siasat akan dijalankan dalam tempoh 48 jam jika tiada individu atau waris yang tampil untuk menuntut mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan media di sini lewat malam tadi.

    Sehubungan itu, Mohd Sabri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa supaya segera menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Ali Amat di talian 013-2120852 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

    BH ONLINE

  • Polis tembak mati lelaki ada 24 kes jenayah lampau selepas berbalas tembakan

    PASIR PUTEH — Polis menembak mati seorang lelaki paling dikehendaki yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau selepas berbalas tembakan di Jalan Jeram Pasu pada jam 5.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta memiliki 17 rekod jenayah dan tujuh kes berkaitan narkotik.

    BH ONLINE

  • Hampir 500 pegawai penguat kuasa dituduh rasuah sejak 2020

    KUALA LUMPUR — Hampir 500 pegawai penguat kuasa dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terbabit rasuah sejak Januari 2020 hingga September 2024.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam tempoh berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 8,067 maklumat membabitkan agensi penguat kuasa yang meliputi pelbagai kesalahan.

    Beliau berkata daripada keseluruhan maklumat, sebanyak 4,972 maklumat adalah maklumat yang berunsur rasuah dan 3,095 adalah maklumat yang tidak berunsur rasuah.

    “Daripada maklumat berunsur rasuah, sebanyak 1,192 Kertas Siasatan telah dibuka dan selebihnya iaitu 3,780 diambil tindakan lain seperti tindakan perisikan dan lain-lain tindakan operasi.

    “Sepanjang tempoh yang sama SPRM telah membuat sebanyak 485 pertuduhan dan 238 telah disabitkan kesalahan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

    Beliau menjawab soalan dikemukakan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meminta menyatakan berapa jumlah kes siasatan dan dakwaan terhadap unsur rasuah pegawai penguat kuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan sejak 2018.

    Azalina berkata daripada jumlah Kertas Siasatan yang dibuka melibatkan agensi penguat kuasa, sebanyak 104 Kertas Siasatan adalah berkaitan penyeludupan yang membawa kepada 154 tangkapan dan 54 pertuduhan.

    BH ONLINE

  • Dua ahli kumpulan samun mati ditembak

    TANJUNG MALIM — Polis menembak mati dua lelaki disyaki ahli kumpulan samun bersiri selepas mengejar kereta suspek sejauh empat kilometer (km) dan berbalas tembakan berhampiran susur keluar Jalan Proton City-Tanjung Malim di sini, awal pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata kejadian jam 5.20 pagi tadi menyaksikan polis menembak mati dua suspek masing-masing berusia 29 dan 37 tahun, bagi mempertahankan diri.

    Terdahulu, katanya, pasukan rondaan cegah jenayah Op Casa Muallim dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengarahkan sebuah kereta Proton Persona dinaiki suspek berhenti untuk pemeriksaan, selepas dikesan dipandu secara mencurigakan.

    Bagaimanapun, jelasnya, pemandu enggan berbuat demikian, sebaliknya terus memecut.

    Zulkafli berkata, pasukan polis terus mengejar suspek sehingga Proton Persona terbabit terbabas, disusuli seorang daripada suspek melepaskan satu das tembakan dari dalam kenderaan dan mengenai kereta polis.

    “Suspek berumur 29 tahun kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan satu lagi das tembakan yang terkena lampu kereta polis.

    “Ia disusuli suspek kedua yang keluar dari kereta dengan memegang sebilah parang panjang dan cuba menyerang anggota polis di belakang.

    “Polis bertindak mempertahankan diri dengan melepaskan dua das tembakan ke arah suspek pertama dan satu lagi tembakan pada suspek kedua yang menyebabkan kedua-dua suspek mati di tempat kejadian,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Slim River di sini, hari ini.

    Hadir sama Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir.

    Zulkafli berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis SIG Sauer, sebutir peluru 9mm dalam kelopak dan sebutir dalam ‘chamber’ (silinder peluru), dua bilah parang panjang, dua pasang sarung muka dan sarung tangan.

    Turut dirampas, katanya, dua plat pendaftaran kenderaan dalam but, enam butir kelongsong peluru saiz 9mm dan satu pemotong besi.

    Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek adalah palsu manakala semakan mendapati suspek berusia 29 tahun mempunyai 20 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala suspek 37 tahun mempunyai tiga rekod jenayah.

    “Polis masih meneruskan usaha mengesan beberapa rakan jenayah suspek yang masih bebas.

    “Kita mengenal pasti kumpulan ini dianggotai empat ahli yang menjadi ‘mastermind’ (dalang) yang betul-betul aktif.

    “Daripada empat ahli aktif ini, mereka akan bawa lagi orang lain membuat kerja secara berasingan untuk mengelak dikesan polis, dengan semuanya adalah warga tempatan,” katanya.

    Zulkafli berkata, polis yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah rumah sekitar Tanjung Malim susulan tumpasnya ahli kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak awal 2023.

    “Ketika melakukan samun ahli kumpulan ini dilapor sering kali mengeluarkan dialog antaranya ‘call (hubungi) polis, aku tak takut. Dia bukan boleh tangkap aku’ dan ‘jangan report polis, kalau report kami akan datang cari di tempat kerja kamu’.

    “Dialog seperti itu bertujuan mengugut mangsa, maka ada kemungkinan mangsa terkesan dengan amaran atau ugutan ini,” katanya.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

    BH ONLINE