Category: Malaysia

  • 65.6 peratus cecair vape dirampas 2023, 2024 ada dadah berbahaya

    KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan mengesahkan 65.6 peratus cecair vape yang dirampas pada 2023 dan 2024 mengandungi dadah berbahaya.

    Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata berdasarkan laporan analisis kimia dijalankan, antara jenis dadah dikesan dalam cecair vape seperti Butinaca, MDMB-4en-PINACA dan MDMA.

    “Setakat ini tiada pengesanan dadah jenis Psilocybin di dalam cecair vape yang dirampas oleh pihak polis,” katanya selepas merasmikan Kembara Sihat Sejahtera HePiLI Bersama Didi & Friends Zon Sabah di pusat beli-belah Suria Sabah, di sini, hari ini.

    Psilocybin sebahagian daripada kumpulan ubat dipanggil psychedelics atau halusinogen, yang mana ia dikaitkan dengan penyalahgunaan perisa ‘Magic Mushroom’ dalam cecair vape.

    Dalam pada itu, Lukanisman memaklumkan sejumlah 32 kertas siasatan terkini dibuka berkaitan kes cecair vape di seluruh negara.

    “Setakat September 2024 pula, sebanyak 90 kertas siasatan telah dibuka bagi kes sama,” katanya.

    Ditanya mengenai isu ‘Magic Mushroom’, Lukanisman menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) bagi menjalankan penguatkuasaan lebih kerap.

    “Kita juga mahu pihak media memainkan peranan dengan membuat penulisan berita memberikan fokus lebih komprehensif berkenaan penjualan cecair vape ini.

    “Ini kerana kadang-kadang kementerian tidak dapat melaksanakan penguatkuasaan lebih spesifik tanpa maklumat yang jelas,” katanya.

    BH ONLINE

  • Dua bergelar Datuk, antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri ditahan SPRM

    KUALA LUMPUR – Dua bergelar Datuk adalah di antara empat bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran negara diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Sumber berkata, penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)

    “Tiga daripada mereka direman sehingga Selasa ini manakala seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang Datuk dibebaskan hari ini,” katanya.

    BH difahamkan, beberapa kes ketika ini sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan tangkapan empat pegawai kanan terbabit.

    Perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Putrajaya, Irza Zulaikha, selama lima hari bermula Jumaat lalu terhadap tiga individu.

    Seorang lagi suspek direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.

    BH ONLINE

  • Dipenjara dua bulan dan denda RM1,000 curi baju, tudung serta selipar

    KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah dipenjara dua bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri beberapa barangan bernilai lebih RM200 di sebuah pasar raya.

    Rosnurdalila Yusop, 33, turut diarah dipenjara satu bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

    Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh didakwa mencuri sehelai baju, empat helai tudung dan sepasang selipar bernilai RM204.40 milik sebuah pasar raya.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di daerah ini, jam 7 malam pada 18 Februari lalu.

    Mahkamah mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh sabitan iaitu hari ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Azlina Jaafar.

    BH ONLINE

  • Kereta rempuh pembahagi jalan, pemandu rentung

    JOHOR BAHRU – Seorang pemandu sebuah rentung dalam kenderaannya yang terbakar selepas terbabit kemalangan di Kilometer 5.6 susur keluar Setia Tropika, dekat Kempas di sini, hari ini.

    Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Taufiq Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.58 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

    “Kebakaran membabitkan sebuah Honda City yang terbakar kira-kira 90 peratus, dengan kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

    “Terdapat seorang mangsa rentung. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis,” katanya menerusi kenyataan.

    BH ONLINE

  • Tumbuk kepala bapa tiri, lelaki dipenjara lapan bulan

    KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menumbuk kepala bapa tirinya.

    Ahmad Najmi Mohd, 26, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

    Tertuduh didakwa menyebabkan cedera ke atas mangsa berusia 59 tahun dengan menumbuk kepalanya.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di daerah ini, jam 1.30 tengah hari pada 27 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan.

    Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu 29 Januari lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus.

    BH ONLINE

  • Lelaki cabul anak saudara ditahan

    TAWAU – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul kehormatan anak saudara perempuannya berumur 14 tahun, di sebuah rumah di Merotai Besar di sini, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 9.12 pagi semalam.

    Beliau berkata, susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai diketuai Sarjan Gegerahman Mohammad menahan suspek yang berusia 30 tahun pada jam 3.30 petang hari sama.

    “Berdasarkan keterangan mangsa, kanak-kanak itu dipercayai dicabul oleh bapa saudaranya semasa dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah neneknya di Merotai Besar di sini.

    “Suspek didakwa mendekati mangsa lalu bertindak mencabul budak itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini

    .

    Jasmin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan.

    “Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.

    BH ONLINE

  • ‘Anak melecur kena air panas, ibu pula maut nahas jalan raya’

    KLUANG – Perjalanan seorang ibu menghantar barang keperluan anak lelaki berusia setahun yang dirawat dalam wad Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, berakhir tragedi apabila terbunuh dalam nahas membabitkan empat motosikal dan sebuah kereta tengah malam tadi.

    Nahas yang berlaku di Jalan Kota Tinggi berdekatan HEBHK itu, menyebabkan dua penunggang motosikal maut di lokasi.

    Wanita yang terbunuh itu adalah isteri anggota tentera yang pulang ke rumah di Kem Tentera Batu 4, mengambil keperluan anak lelakinya berusia setahun yang ditahan di wad kerana mengalami lecur akibat terkena air panas.

    Suami mangsa mahu dikenali sebagai Al Fatah, berkata sebelum kejadian dia dan isteri, Nur Azreen Najwa Roslan, 25, serta anak bongsu mereka menaiki kereta milik rakannya yang menghantar mereka ke HEBHK pada jam 12 tengah malam.

    “Pada mulanya saya ingin membawa anak pulang tetapi doktor memaklumkan anak memerlukan rawatan lanjut dan perlu ditahan dalam wad.

    “Isteri kemudian meminta rakan mengambilnya dengan motosikal untuk pulang ke rumah kami di kuarters di Kem Batu 4 bagi mengambil keperluan anak.

    “Isteri saya kemudiannya menunggang motosikal bersendirian kembali HEBHK. Ketika menelefonnya pada jam 1.30 pagi, saya terkejut kerana panggilan itu disambut pegawai polis yang memaklumkan isteri saya meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

    Difahamkan jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Batu Kurau Perak untuk dikebumikan.

    Sementara itu, tular di Instagram KHI, mengenai dakwaan seorang pengguna ismi.auz_02 yang mendakwa sebelum kemalangan terbabit, kereta peronda polis mengejar kumpulan penunggang motosikal bermula di persimpangan lampu isyarat Taman Seri Impian

    “Masa ini saya nampak mereka kena kejar polis dan lari. Agaknya mereka panik, boleh jadi mereka terbabit kemalangan,” dakwa seorang lagi pengguna danish2009.

    Dalam pada itu, pihak polis yang dihubungi akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kes itu.

    BH ONLINE

  • Pencabul kanak-kanak ketika solat Subuh sudah ditahan polis

    HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun sudah ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak dalam sebuah masjid dekat Batang Kali awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung video yang tular kejadian itu di media sosial pada jam 8.19 pagi.

    “Suspek berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok untuk dipohon reman.

    Pada masa sama, maklumat yang boleh dikongsikan hanya berdasarkan kenyataan media kerana polis tertakluk mengikut Akta Kanak-kanak 2001 yang menitikberatkan privasi mangsa dan keluarganya,” katanya menerusi kenyataan.

    Ahmad Faizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    Terdahulu, media melaporkan seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan yang sedang bersolat Subuh.

    Kejadian itu berlaku ketika budak perempuan terbabit sedang sujud bersolat Subuh di belakang barisan jemaah wanita.

    Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) masjid terbabit kini tersebar di media sosial, memaparkan kejadian itu.

    Wakil masjid itu mengesahkan kejadian terbabit ketika dihubungi sebuah portal berita termasuk tangkapan suspek yang sudah dibuat tetapi enggan mengulas lanjut.

    Berdasarkan rakaman CCTV yang tersebar, seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah dan membawanya keluar dari ruangan berkenaan.

    Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri, justeru menyebabkan tindakan itu tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud.

    Dalam rakaman berasingan, lelaki itu dilihat bergelut, meraba, memeluk dan cuba melondeh seluar mangsa.

    Bagaimanapun suspek melarikan diri selepas mangsa melawan perbuatan terbabit.

    BH ONLINE

  • Budak tercekik gula-gula kenyal meninggal dunia

    GEORGETOWN – Kanak-kanak berusia 10 tahun yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata meninggal dunia.

    Khabar duka itu disahkan ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, ketika dihubungi sebentar tadi.

    “Fahmi (Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin) sudah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 malam, ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang ( HPP).

    “Jenazah dijangka dibawa pulang ke rumah neneknya di Permatang Binjai, Penaga.

    “Jenazah akan diuruskan di rumah dan dijangka dikebumikan pada esok pagi,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan mengenai keadaan kanak-kanak terbabit yang kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

    Kanak-kanak itu dikatakan rebah di Kelas -Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA), di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira jam 2.30 petang Selasa.

    BH ONLINE

  • Suri rumah mengaku salah bersubahat kes suami didakwa rogol sepupu

    KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan bersubahat dalam kes rogol sepupunya yang didakwa membabitkan suami tertuduh.

    Wanita berusia 29 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa bersubahat dengan suaminya berusia 25 tahun melakukan kesalahan merogol mangsa berusia 15 tahun enam bulan di sebuah rumah di Marang antara jam 7.30 malam hingga 1 pagi pada 8 hingga 9 Februari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 376(2)(c) KK yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

    Sejurus pengakuan bersalah itu direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

    Mahkamah turut membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Sementara itu di mahkamah sama, suaminya yang bekerja sebagai buruh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa remaja berkenaan dalam kehadiran orang lain, iaitu tertuduh wanita (isteri), di alamat, masa dan hari yang sama.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh lelaki itu.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad, manakala kedua-dua tertuduh tiada diwakili peguam.

    BH ONLINE

  • Kes Zayn Rayyan: Hakim, pendakwa, peguam bela tinjau lokasi kejadian

    KUALA LUMPUR – Hakim dan semua pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes pengabaian anak yang dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, hari ini melawat lokasi kejadian kanak-kanak autistik itu ditemukan mati di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.

    Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh, tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10 pagi diiringi beberapa kenderaan polis serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

    Turut serta dalam lawatan itu ialah pihak pendakwa raya serta peguam, Haresh Mahadevan, yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf.

    Pihak media tidak dibenarkan masuk ke kawasan blok R apartmen itu dan hanya dibenarkan merakam gambar serta mengambil video di kawasan sekitar yang tidak berdekatan dengan lokasi kejadian.

    Pada prosiding perbicaraan sebelum ini, Hakim Syahliza menetapkan hari ini untuk pihak terlibat dalam kes itu termasuk saksi pendakwaan melawat lokasi kejadian bagi membuat pengecaman.

    Hal ini selepas pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan persekitaran apartmen itu bagi membolehkan saksi pendakwaan yang telah memberikan keterangan mengenal pasti tempat mayat Zayn Rayyan ditemukan.

    Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

    Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Tiga sekeluarga maut bersama dalam kebakaran tengah malam tadi

    LABUAN – Seorang warga emas dengan dua cucunya berusia lapan dan 11 tahun, maut bersama selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Lazenda Villa 2 Kerupang di sini, tengah malam tadi.

    Mangsa, Morris Chong Hoon Cheung, 65, ditemui rentung di dapur rumah, manakala cucunya, Shayviann Kyrona Ruby Chong Shamioon, 8, dan Shahwin Kind Chong Shahmioon, 11, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas kedua-duanya berjaya dikeluarkan.

    Dua lagi kanak-kanak lelaki iaitu Shayven Keinth Chong Shamioon, 12, dan Shayden Ken Ruby Chong Abdullah, 13, cedera dan kini menerima rawatan di hospital.

    Empat lagi mangsa terdiri dua wanita berusia 32 dan 61 tahun, seorang lelaki berusia 35 tahun dan bayi berusia setahun terselamat dalam kejadian itu.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah rumah dua tingkat, pada jam 12.27 tengah malam tadi.

    Katanya, sepasukan 23 anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari balai bomba.

    “Setiba di lokasi, sebuah rumah jenis kekal sedang terbakar 30 peratus dan terdapat sembilan mangsa. Tiga mangsa telah berjaya keluar sendiri melalui tingkap menuju ke bumbung rumah berhampiran.

    “Seorang bayi lelaki berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Menurutnya, lima lagi mangsa terperangkap di dalam rumah iaitu empat kanak-kanak dan seorang dewasa.

    “Empat mangsa kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

    “Tiga kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pihak KKM seterusnya membuat rawatan awal di lokasi kejadian menggunakan teknik bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun dua mangsa disahkan meninggal dunia.

    “Dua lagi kanak-kanak dihantar ke hospital menggunakan EMRS dan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

    Katanya lagi, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran empat pancutan sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

    “Hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang mangsa dewasa rentung di dapur rumah dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi selesai selepas memastikan tiada lagi punca yang boleh mendatangkan bahaya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.22 pagi,” katanya.

    Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan bomba.

    BH ONLINE

  • Melihat anak bulan Ramadan ditetapkan petang 28 Februari

    KUALA LUMPUR – Petang Jumaat minggu depan atau tanggal 28 Februari ini bersamaan 29 Syaaban 1446H, ditetapkan sebagai tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk perisytiharan tarikh permulaan ibadah puasa umat Islam di negara ini.

    Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja telah bersetuju cara menetapkan tarikh permulaan itu adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

    Pada malam hari sama, katanya, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh awal Ramadan melalui siaran radio dan televisyen.

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Jumaat, 28 Februari 2025 bersamaan 29 Syaaban 1446H,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi seluruh negara.

    Lokasi terbabit ialah Pontian Kecil, Johor, dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.

    Selain itu, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

    Seterusnya, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

    Lokasi lain ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu; serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.

    Selain itu, Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; serta Menara Kuantan 188.

    Turut menjadi lokasi melihat anak bulan Ramadan kali ini ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

    BH ONLINE

  • KWSP catat pendapatan pelaburan RM102 juta jual saham MAHB

    KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023 selepas penjualan beli saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata saham MAHB dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, sekali gus menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.

    Beliau berkata, prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi terbabit.

    “Tuduhan KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas, dan ini jelas ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Februari lalu.

    “Berdasarkan kenyataan ini, jelas bahawa KWSP mencatat keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

    “Ia berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan shariah,” katanya pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai jumlah keuntungan atau kerugian dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.

    Amir Hamzah berkata, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB mencapai RM650 juta sejak 2014.

    Beliau menegaskan, pengisytiharan dividen KWSP adalah mengikut prestasi sebenar pelaburan dibuat agensi itu, berdasarkan Seksyen 27 Akta KWSP 1991 (Akta 452).

    “Dalam erti kata lain, kadar dividen hanya berdasarkan pendapatan yang direalisasikan menerusi penjualan sesuatu pelaburan bagi tahun terbabit.

    “Pada 2023, prestasi saham MAHB mengatasi prestasi FBMKLCI sebanyak 11.47 peratus, sekali gus menyediakan peluang bagi KWSP merekodkan keuntungan daripada penjualan pegangan sahamnya dalam MAHB.

    “Keuntungan ini secara langsung menyumbang kepada jumlah pendapatan pelaburan bersih RM63.48 bilion yang direkodkan bagi 2023,” katanya.

    Beliau berkata, Jabatan Ekuiti Awam KWSP mula menjual pegangannya dalam MAHB bermula Januari 2023 yang mana ketika itu KWSP memiliki 15.5 peratus pegangan saham dalam MAHB.

    Katanya, ia untuk merealisasikan peluang keuntungan tercipta daripada harga pasaran saham MAHB, yang ketika itu mengatasi prestasi indeks komposit FBMKLCI.

    Amir Hamzah berkata, penilaian dan perbincangan bagi tawaran am sukarela (VGO) hanya bermula pada Julai 2023 manakala pengurus dana di Jabatan Ekuiti Awam KWSP tidak mempunyai maklumat atau akses kepada maklumat berhubung tawaran ke atas MAHB ini.

    Katanya, tawaran sukarela oleh konsortium dianggotai KWSP untuk mengambil alih semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 setiap saham adalah pelaburan baharu jangka panjang KWSP.

    “Mengapa KWSP sanggup membeli saham MAHB pada harga ini? Pembabitan KWSP pada kali ini mengambil kira aspek penciptaan nilai tambah yang lebih strategik dan strategi baharu.

    “Ia juga mengambil kira pelaksanaan pelan pemulihan dan penambahbaikan MAHB yang akan memastikan ia berada di landasan tepat untuk disenaraikan semula pada harga lebih tinggi,” katanya.

    “Ini hanya boleh dikecapi melalui transformasi operasi MAHB,” katanya.

    Amir Hamzah berkata, sejurus penyahsenaraian ini selesai, konsortium akan memberi sepenuh perhatian untuk meningkatkan infrastruktur, ketersambungan serta pengalaman penumpang.

    Secara kasarnya, tegasnya, perkara itu seperti tidak berperanan penting kepada pemulihan MAHB tetapi sebenarnya, perubahan berkenaan menjadi asas kepada transformasi strategik MAHB.

    “Dalam meningkatkan pelaburan dan menambah baik pengalaman penumpang rakyat dan pelancong, usaha tidak hanya tertumpu kepada lapangan terbang antarabangsa utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

    “Sebaliknya, penambahbaikan akan juga dilaksanakan di lapangan terbang lain antaranya di Tawau, Kota Bharu dan Ipoh,” katanya.

    BH ONLINE

  • MAVCOM: Syarikat penerbangan perlu bayar balik pelanggan jika lewat lebih 5 jam

    KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini sekali lagi menegaskan bahawa penumpang syarikat penerbangan mempunyai pilihan untuk mendapatkan kembali bayaran tiket mereka sekiranya penerbangan mereka terlewat lebih lima jam.

    Pengarah hal ehwal pengguna dan MAVCOM, Pushpalatha Subramaniam, berkata syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa perlu menyediakan bayaran balik kepada penumpang dalam kaedah pembayaran asal.

    “Ini adalah pilihan baharu untuk pengguna atau penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka atau jika tujuan perjalanan mereka tidak lagi relevan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Perubahan ini adalah sebahagian daripada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang telah ditambah baik baru-baru ini dan berkuat kuasa pada 1 September 2024.

    “Walaupun syarikat penerbangan masih boleh memberikan kredit penerbangan dan baucar perjalanan, pilihan pertama yang dikemukakan mestilah bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal. Pilihan mesti diserahkan kepada pengguna.

    “Perubahan ini juga terpakai kepada gangguan penerbangan di luar kawalan syarikat penerbangan, seperti keadaan cuaca buruk, sekatan kawalan trafik udara (ATC) dan bencana alam seperti letusan gunung berapi atau gempa bumi, atau keadaan lain yang menghalang perjalanan ke destinasi,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas program temu bual The Nation di Bernama TV hari ini yang dihoskan oleh Jessy Chahal.

    Kod yang ditambah baik itu mengandungi beberapa perubahan penting untuk mengukuhkan hak pengguna dan memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam industri penerbangan.

    Pushpalatha berkata sekiranya pengguna memilih untuk tidak meneruskan perjalanan mereka, syarikat penerbangan perlu memberikan bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, yuran dan caj seperti levi berlepas, caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan fi karbon.

    “Ini terpakai kepada kedua-dua tiket yang boleh dibayar balik dan tidak boleh dikembalikan,” katanya.

    Beliau juga berkata pengguna kini perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal tentang sebarang perubahan pada waktu berlepas yang dijadualkan (STD).

    “Syarikat penerbangan dibenarkan membuat perubahan pada STD yang disebabkan oleh isu teknikal dan cuaca buruk.

    “Bagaimanapun, atas sebab komersial, mereka tidak lagi dibenarkan membuat perubahan pada STD dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh berlepas,” katanya.

    Beliau berkata MAVCOM memantau pematuhan terhadap peraturan ini melalui aduan pengguna dan data yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan, dan dikehendaki melaporkan kepada suruhanjaya tersebut secara bulanan.

    “Di bawah Seksyen 22 MACPC, jika syarikat penerbangan tidak mematuhi peraturan ini, penalti kewangan boleh dikenakan.

    “Syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan 10 kali ganda penalti bagi kesalahan kedua atau seterusnya,” katanya.

    Beliau berkata MAVCOM telah mengenakan penalti kewangan secara kumulatif berjumlah RM4.85 juta ke atas syarikat penerbangan kerana tidak mematuhi MACPC.

    Kod tersebut juga mewajibkan semua penerbangan yang dibatalkan dikeluarkan segera daripada semua platform tempahan, termasuk yang dikendalikan oleh ejen pelancongan dalam talian dan luar talian.

    Langkah ini adalah untuk melindungi pengguna daripada membeli tiket untuk penerbangan yang tidak tersedia, katanya.

    Sekiranya berlaku isu terlebih tempahan tiket, syarikat penerbangan perlu memaklumkan pengguna di kaunter daftar masuk atau pintu berlepas jika mereka tidak dibenarkan menaiki penerbangan tersebut, namun dilarang untuk memaksa penumpang keluar sekiranya mereka sudah menaiki pesawat.

    Selain itu, tempoh masa untuk pengguna mengemukakan aduan telah dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun, dan ini membolehkan lebih banyak masa untuk pengguna mendapatkan penyelesaian bagi isu berkaitan perjalanan udara mereka.

    Pengguna bagaimanapun digalakkan untuk membuat aduan sebaik sahaja mereka mengalami gangguan penerbangan, kata MAVCOM.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Anjing K9 tak dapat kesan Zayn Rayyan di tempat mayat ditemukan – saksi

    PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu bahawa Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin ketika melakukan pencarian di sekitar kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pagi hari kedua kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang.

    Saksi pendakwaan ke-20 iaitu anggota Unit K9 Bukit Aman, Lans Koperal Aznizam Bah Jada, 29, memaklumkan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian pada perbicaraan hari kelapan kes pengabaian ibu bapa Zayn Rayyan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

    Ketika memberi keterangan, Aznizam memberitahu mahkamah, dia bersama-sama tiga lagi anggota Unit K9 dan dua anjing, tidak menemui sebarang hasil ketika pencarian di sekitar tebing aliran air sungai sehingga ke kawasan takungan air berdekatan Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023.

    “Pada 11 pagi (6 Disember 2023) saya bersama seorang lagi anggota dan dua pegawai daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya melihat kawasan dikatakan ada orang hilang yang lari masuk ke hutan.

    “Kami lakukan pencarian di kawasan tebing sungai hingga ke titi hulu sungai sebelum melintasi ke blok R apartmen itu, namun tiada sebarang indikasi (petunjuk) oleh anjing saya.

    “Ketika itu lebih kurang 20 penduduk yang kebanyakan budak, orang dewasa, orang tua sentiasa mengikut kami dari belakang untuk mencari orang hilang,” katanya.

    Menurutnya, ketika misi pencarian kanak-kanak terbabit, keadaan cuaca terang, panas dan tiada gangguan untuk pihaknya menjalankan tugas di kawasan itu termasuk blok R.

    Sementara itu, ketika ditanya peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri itu mengapa tidak membuat pemeriksaan menggunakan anjing pengesan di setiap tingkat pangsapuri, saksi itu memberitahu dia hanya menerima arahan hanya kawasan bahagian bawah rumah.

    Katanya, dia bersama pasukannya hadir ke lokasi kejadian di apartmen berkenaan sekitar jam 10.30 pagi sebelum berjumpa pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip, yang memaklumkan kepadanya berhubung maklumat penduduk yang ternampak Zayn Rayyan lari memasuki kawasan hutan dekat apartmen itu.

    “Saya kemudian meminta dengan beliau (Nor Zaharuddin) pakaian kanak-kanak (Zayn Rayyan) hilang itu yang masih belum dicuci. Saya kemudian memasukkan baju itu ke dalam plastik ‘wrapping’ selama 30 minit untuk mengeluarkan wap peluh baju itu.

    “Kemudian saya beri anjing kendalian saya untuk cium bau baju itu dan mengikut ke mana K9 saya bawa. Saya bersama seorang lagi anggota unit K9 dan dua lagi pegawai dari IPD Petaling Jaya menjejaki (tracking) kawasan yang dikatakan Orang Hilang (OH) lari masuk ke dalam hutan.

    “Selepas itu, kami melakukan pencarian di kawasan tebing sungai sehingga ke tempat air longkang jatuh. Kemudian saya patah balik dan pergi ke tempat yang ada tanaman pokok nanas, dan pokok pisang,” katanya.

    Kamarul Iman: Apa hasil pencarian pada hari itu?

    Aznizam: Hasil pencarian, anjing saya tidak memberikan sebarang indikasi positif di kawasan itu.

    Kamarul Iman: Berapa lama pencarian dibuat oleh kamu ketika itu?

    Aznizam: Lebih kurang sejam lebih

    Kamarul Iman: Keadaan cuaca dan sekeliling ketika itu?

    Aznizam: Cuaca terang dan panas, dan kawasan itu sunyi. Tiada apa-apa yang mengganggu urusan saya melakukan tugasan.

    Kamarul Iman: Keadaan orang ramai ketika itu? Lebih kurang berapa ramai?

    Aznizam: Lebih kurang 20 orang yang sentiasa mengikut kami dari belakang untuk mencari OH. Kebanyakan budak-budak dan dewasa lelaki.

    Menurutnya lagi, anjing kendaliannya turut tidak memberikan sebarang indikasi positif ketika melakukan pencarian di sekitar bawah tebing sungai sehingga ke kawasan pagar zink berwarna biru serta pagar yang membahagikan kawasan perumahan berdekatan apartmen itu, di sekitar titi di bahagian hulu aliran anak sungai berkenaan dan di kawasan perumahan di sebelah Apartmen Idaman.

    Ketika disoal Kamarul Iman berhubung punca anjing pengesan gagal menunjukkan sebarang indikasi positif, saksi yang bertugas sebagai anggota Unit K9 sejak lapan tahun lalu, berkata kawasan itu sudah tercemar dengan kehadiran orang awam dan anggota lain yang membantu mencari kanak-kanak hilang itu pada hari pertama pencarian.

    Sementara itu, saksi pendakwaan ke-19 yang juga anggota unit K9, Lans Koperal Afendy Anak Henry ke lokasi kejadian sekitar 11.30 malam hari sama, memberitahu mahkamah pencariannya yang bermula dari kawasan belukar kira-kira 20 meter dari Blok R sehingga ke anak sungai turut tidak membuahkan hasil.

    Afendy menambah, dia diarahkan untuk ke lokasi sekali lagi sekitar jam 10 malam pada 6 Disember 2023 namun mendapati kanak-kanak hilang itu ditemukan sejurus tiba di Apartment Idaman.

    Kamarul Iman: Selepas kamu tiba, apa yang ditugaskan kepada kamu?

    Afendy: Pada hari itu, saya ditugaskan untuk mencari stoking mangsa.

    Kamarul Iman: Apa hasil pencarian?

    Afendy: Hasil pencarian di sepanjang sungai dari tempat mangsa dijumpai, jarak lebih kurang 100 meter, saya bersama K9 saya tidak menjumpai stoking itu.

    Ketika pemeriksaan balas oleh Haresh, beliau meminta pengesahan daripada Aznizam sama dia ada melakukan pencarian bersama anjing pengesannya di persekitaran Blok R, saksi itu menjawab, “betul,”.

    Haresh: Tapi tidak membuat pengesanan dari aras ke aras blok itu?

    Aznizam: Tidak.

    Bagaimanapun, dalam pemeriksaan semula oleh Kamarul Iman yang meminta penjelasan Aznizam kenapa tidak membuat pencarian ke setiap aras Blok R, saksi itu memberitahu bahawa pihaknya perlu mendapatkan kebenaran daripada Nor Zaharudin.

    “Jika beliau beri arahan untuk kesan tingkat ke tingkat, di sana ramai penduduk Muslim, dan kami tak mahu sebarang isu timbul,” katanya.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung lagi Jumaat ini, sementara hakim dan pihak-pihak terbabit akan ke lokasi kejadian di Apartmen Idaman pada esok.

    BH ONLINE

  • Wabak kusta: Dua kampung Orang Asli di Kuala Pilah dikuarantin

    SEREMBAN – Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, Kuala Pilah kini dikuarantin selepas kedua-dua kampung berkenaan dijangkiti wabak kusta yang menyebabkan seorang penduduk meninggal dunia, Isnin lalu.

    Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga menutup Pusat Reakreasi Jeram Tengkek bagi mengelakkan penularan wabak.

    Katanya pejabat kesihatan daerah telah mengesahkan jumlah bilangan pesakit di kampung berkenaan dan saringan secara agresif sudah dijalankan kepada semua penduduk di kedua-dua kampung terbabit.

    “Bagaimanapun hanya 65 peratus penduduk yang sudah menjalani pemeriksaan dan saringan itu.

    “Pada Sabtu lalu, KKM sudah membuat saringan dan bagi mereka yang belum menjalani saringan akan dibuat pada Sabtu ini

    “Sepanjang kuarantin, segala bekalan makanan serta keperluan untuk penduduk di kedua-dua kampung itu akan diuruskan oleh wakil rakyat kawasan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di Wisma Negeri di sini, hari ini.

    Terdahulu, Aminuddin memaklumkan seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu akibat dijangkiti wabak kusta, manakala lapan lagi penduduk di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, Kuala Pilah masih lagi dalam rawatan.

    Beliau maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya mula mengesan mengenai penularan wabak terbabit pada 2 Januari lalu, selepas sembilan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan dijangkiti kusta.

    Daripada sembilan penduduk itu, lima dikesan dari Kampung Orang Asli Chergun manakala empat dari Kampung Guntur.

    “Mangsa yang meninggal dunia di rumahnya selepas mengalami demam selama seminggu, manakala yang lain kini diarah kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pengasuh dengar suara Zayn Rayyan seolah-olah cuba lepaskan diri

    PETALING JAYA – Pengasuh kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dia mendengar suara kanak-kanak autistik itu seolah-olah cuba melepaskan diri daripada seseorang ketika hari pencarian arwah sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023.

    Saksi pendakwaan ke-17, Auni Afiqah Abas, 30, berkata, dia terdengar suara anak asuhannya itu pada hari Zayn Rayyan hilang kira-kira jam 6.30 petang.

    Auni Afiqah yang mengasuh Zayn Rayyan sejak 2022 dan tinggal di Blok F apartmen sama memaklumkan perkara berkenaan ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, pada hari kelapan prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa arwah Zayn Rayyan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

    Haresh: Soalan saya amat penting, ada atau tak Auni masa terbabit pencarian Zayn Rayyan pada petang 5 Disember, ada mendengar suara arwah Zayn datang dari kawasan Blok R, ada atau tidak?

    Auni: Ya

    Haresh: Ini adalah lebih kurang waktu di mana Isma, suami dan Mateen (Zahin Mateen) pergi ke balai buat laporan polis?

    Auni: Betul

    Haresh: Sebagai pengasuh kepada Zayn, anda kenal pasti suara Zayn, dah biasa?

    Auni: Betul

    Haresh: Suara arwah Zayn didengar bukan saja Auni, tapi adik kamu dan beberapa budak-budak di situ, betul?

    Auni: Betul

    Haresh: Setuju saya cadangkan suara yang anda dengar petang itu, suara seolah-olah dia (Zayn Rayyan) cuba melepaskan diri daripada seseorang?

    Auni: Saya tidak pasti

    Haresh: Ada atau tidak beri temuramah dengan pihak media yang disiarkan di TikTok, bahawa anda ada dengar suara arwah Zayn mahu melepaskan diri daripada seseorang?

    Auni: Betul

    Haresh: Jadi itulah suara arwah Zayn yang anda dengar petang, 5 Disember 2023?

    Auni: Ya

    Haresh: Anda kata dengar suara arwah Zayn pada petang 5 Disember, ada atau tidak memberitahu pihak polis semasa rakaman percakapan?

    Auni: Ada

    Haresh: Semasa ditanya DPP (Timbalan Pendakwa Raya), ada apa-apa nak beritahu perkara penting, anda kata tiada, kenapa tak beritahu ada mendengar suara Zayn pada petang itu kepada mahkamah?

    Auni: Tiada jawapan

    Saksi sama turut memberitahu mahkamah, dia mengenali Ismanira sejak di zaman kolej dan seorang penyayang khusus kepada anak-anaknya.

    Auni Afiqah juga mengesahkan dia diambil kenyataan oleh polis banyak kali di rumahnya.

    Haresh: Berapa kali beri kenyataan kepada polis?

    Auni: Tidak ingat, tapi banyak kali

    Haresh: Setiap kali polis datang, Auni beri jawapan yang sama?

    Auni: Betul

    Haresh: Alasan mereka (polis) kerap datang kerana tak puas hati jawapan sebelum ini?

    Auni: Betul

    Haresh: Tetapi walaupun polis datang kerap kali dengan ketidakpuasan jawapan anda, anda masih berpegang pada apa yang benar?

    Auni: Betul

    Haresh: Sebentar tadi Auni beritahu mahkamah, Zayn selalu sebut Mommy?

    Auni: Betul

    Haresh: Setuju saya cadangkan dunia dia adalah Mummy, dunia Mommy adalah Zayn?

    Auni: Betul

    Ketika sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mengenai suara Zayn Rayyan itu, Auni Afiqah berkata, dia mengenali suara Zayn Rayyan kerana kanak-kanak itu pernah membuat suara sama di rumahnya.

    Aqharie: Polis ambil percakapan sebab tak puas hati, Auni jawab betul, boleh jelaskan, macam mana Auni tahu polis tidak puas hati?

    Auni: Polis tanya berkenaan penjagaan, soalan sama setiap kali polis datang

    Aqharie: Kemudiannya soalan ada dengar suara Zayn sebelah petang, apa maksud dengar suara belah petang ini?

    Auni: Suara mcm ‘errrrrrrrrrr’, dengar itu saja

    Aqharie: Macam mana tahu itu suara Zayn?

    Auni: Sebab saya pernah jaga dia dan Zayn pernah buat suara itu di rumah.

    Aqharie: Dicadangkan daripada peguam, yang kamu ditemubual dalam satu siaran langsung TikTok, Auni menyatakan temubual itu suara ingin melepaskan diri daripada seseorang, kenapa buat kenyataan sedemikian?

    Auni: Saya rasa itu suara Zayn

    Aqharie: Rasa sajalah?

    Auni: Ya

    Terdahulu, saksi itu memberitahu dia menjaga Zayn dan adiknya sejak Jun 2022 yang mana ketika itu Zayn berusia lima tahun.

    Katanya, Ismanira akan menghantar anak sulungnya itu pada jam 1 tengah hari dan akan mengambil semula Zayn pada jam 4 petang.

    Bagaimanapun pada 5 Disember 2023, Ismanira tidak menghantar Zayn kerana memaklumkan anaknya itu hilang pada jam 1 tengah hari menerusi WhatsApp.

    Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Prosiding bersambung pada petang.

    BH ONLINE

  • Jururawat maut motosikal rempuh lori di lorong kecemasan, digilis 2 kenderaan

    SEPANG – Seorang jururawat maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan, sebelum tercampak dan digilis dua kenderaan lain di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), dekat sini, semalam.

    Mangsa, Nurul Ilham Nordin, 29, yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan, berkata nahas dilaporkan berlaku kira-kira jam 1 tengah hari membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 28.2 Lebuh Raya SILK.

    Katanya, kemalangan berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Cheras ke Cyberjaya menghala ke tempat kerja.

    Setiba di lokasi, beliau berkata, mangsa dipercayai terlanggar belakang lori tiga tan yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal.

    “Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke sebelah kanan jalan sebelum digilis dua kenderaan jenis Perodua Bezza dan Perodua Alza,” katanya dalam satu kenyataan.

    Bagaimanapun, Shan Gopal berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Orang ramai yang ada sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau menghubungi Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin melalui talian 019-6488474.

    Polis turut menasihati orang ramai agar mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna lain.

    BH ONLINE

  • Imam etnik Rohingya didakwa lakukan amang seksual di masjid

    KOTA BHARU – Seorang imam warga etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki di sebuah masjid di Kampung Paya Bemban, di sini, Rabu lalu.

    Tertuduh, Solim Abdul Jalil, 60, yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia sembilan tahun lapan bulan, pada waktu asar kira-kira jam 5 petang 12 Februari lalu di sebuah masjid di Kampung Paya Bemban.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Muhamad Fikri Muhamad.

    Ahmad Faiz tidak menawarkan sebarang ikat jamin, namun Muhamad Fikri memaklumkan pihaknya sudah membuat permohonan bertulis untuk permohonan jaminan.

    Mahkamah kemudian tidak menawarkan ikat jamin dan menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    BH ONLINE

  • Lelaki maut dibaham buaya ketika menangkap ikan

    BINTULU – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di Sungai Nyigu di sini, petang semalam, ditemui mati hari ini dipercayai dibaham buaya.

    Mayat David Gira, 49, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat jam 2.32 petang tadi, kira-kira 1.8 kilometer dari kawasan dilaporkan hilang.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata pemeriksaan ke atas mayat mangsa menemui bekas gigitan reptilia itu.

    Menurutnya, sejurus mayat dibawa ke darat, ahli keluarga dipanggil untuk proses pengecaman sebelum ia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar menjala ikan seorang diri jam 5.30 petang semalam sebelum gagal pulang ke rumah.

    Ia kemudian mencetuskan kebimbangan di kalangan ahli keluarganya yang kemudian melaporkan kehilangan itu kepada pihak berkuasa termasuk JBPM.

    BH ONLINE

  • Ibu Zayn Rayyan pakai baju berbeza selang 20 minit – Saksi

    PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ke-16 memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa dia ada terserempak dua kali dengan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dalam pakaian berbeza pada hari kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang, 5 Disember 2023.

    Suri rumah, Rashidah Rajali, 37, yang tinggal di aras sama dengan ibu bapa arwah Zayn Rayyan di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai berkata, kali pertama dia berselisih dengan Ismanira Abdul Manaf pada jam 12.15 tengah hari ketika mahu menghantar anak sulung ke sekolah.

    Rashidah yang tinggal di blok berkenaan sejak 2013 memaklumkan perkara berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

    Raja Zaizul: Apa berlaku pada 5 Disember?

    Rashidah: Pada hari itu lebih kurang jam 12.15 tengah hari saya buat rutin macam biasa hantar anak pertama ke sekolah, saya terserempak ibu Zayn Rayyan (Ismanira) di tangga, selepas itu saya terus hantar anak ke sekolah, dalam jam 12.35 tengah hari saya balik dan terjumpa ibu Zayn Rayyan nak turun ke tingkat satu.

    Raja Zaizul: Selepas itu?

    Rashidah: Saya berselisih dari tingkat paling bawah ke tingkat atas, lepas itu saya terus balik ke rumah. Saya dihubungi suami jam 12.45 tengah hari dan diberitahu adik Zayn Rayyan hilang.

    Saksi itu berkata, dia melihat Ismanira dalam dua pakaian berbeza selang 20 minit kemudian.

    Raja Zaizul: Masa puan jumpa mula-mula pada 12.15 tengah hari, puan ingat pakaian dia?

    Rashidah: Dia pakai tudung warna hitam, baju warna putih, kain atau seluar macam palazzo warna hitam

    Raja Zaizul: Kali kedua ingat tak pakai baju apa?

    Rashidah: Saya tak ingat keseluruhan, tudung bercorak yang warna sedikit gelap

    Raja Zaizul: Adakah pakaian pada jam 12.15 tengah hari dan 12.35 tengah hari sama?

    Rashidah: Tak sama, lain.

    Raja Zaizul: Masa dia berhenti bagi laluan ada tengok muka dia?

    Rashidah: Dia tunduk

    Raja Zaizul: Dia ada bawa apa-apa?

    Rashidah: Dia galas beg sekolah warna biru merah.

    Perkara itu dimaklumkan saksi itu pada hari ketujuh prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa arwah Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

    Saksi sama juga memberitahu mahkamah, dia tidak pernah melihat arwah Zayn Rayyan bermain di taman permainan di sekitar apartmen itu.

    Raja Zaizul: Kenal adik Zayn Rayyan?

    Rashidah: Kenal tak kenal, tapi pernah nampak.

    Raja Zaizul: Anak-anak puan pernah main dengan dia?

    Rashidah: Tak pernah, Zayn tak pernah bermain di luar.

    Raja Zaizul: Puan tahu ke kenapa Zayn Rayyan tak pernah main kat luar?

    Rashidah: Saya tak pasti

    Raja Zaizul: Kenapa cakap Zayn tak pernah main di luar, boleh terangkan kenapa kata begitu?

    Rashidah: Anak saya selalu main basikal di luar koridor, tetapi saya tak pernah nampak Zayn main.

    Raja Zaizul: Anak puan ada main dekat taman permainan?

    Rashidah: Pernah, anak selalu main dan saya teman main kat luar.

    Raja Zaizul: Selalu main jam berapa?

    Rashidah: Petang.

    Raja Zaizul: Masa main petang pernah tak tengok Zayn main di taman permainan itu?

    Rashidah: Tak pernah.

    Raja Zaizul: Masa puan kata rutin harian hantar dan ambil anak sekolah, ada tak nampak Zayn di taman permainan?

    Rashidah: Tak pernah.

    Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Prosiding bersambung esok.

    BH ONLINE

  • Kerugian akibat jenayah siber tahun lalu cecah lebih RM1.5 bilion

    KUALA LUMPUR – Lebih RM1.5 bilion nilai kerugian akibat kes jenayah siber direkodkan sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatatkan peningkatan sejak 2022.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,368 kes dilaporkan tahun lalu, iaitu meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan nilai kerugian berjumlah RM1,574,203,951.82.

    “Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2022 adalah sebanyak 25,479 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM851,121,636.62.

    “Jumlah ini terus menunjukkan peningkatan pada dua tahun berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 35.4 peratus iaitu 34,495 kes pada tahun 2023 dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,218,839,783.59,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan perkembangan terkini mengenai jenayah siber dan penipuan dalam talian.

    Sivakumar juga ingin tahu langkah bersepadu dilaksanakan untuk membanteras sindiket antarabangsa yang semakin berkembang termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

    Pada masa sama, Saifuddin berkata, kementerian menjangkakan bilangan kes dan kerugian adalah lebih tinggi daripada statistik terbabit dengan mengambil kira golongan mangsa yang tidak membuat laporan kepada polis.

    Katanya, antara usaha dilaksanakan kementerian dan PDRM dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian, adalah melalui portal Semakmule 2.0 bagi membantu masyarakat menyemak status akaun bank, nombor telefon dan syarikat yang mungkin terbabit dengan penipuan.

    “Portal ini bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menyediakan maklumat yang tepat dan terkini mengenai akaun yang disyaki terbabit dengan penipuan.

    “Ia sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna dan mengurangkan insiden penipuan dalam talian,” katanya.

    Beliau berkata, berdasarkan rekod PDRM sehingga 21 Januari lalu, pangkalan data sistem Semak Mule 2.0 merekodkan sebanyak 33,453,578 jumlah pelawat.

    Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 238,006 akaun bank, 191,960 nombor telefon dan 7,291 nama syarikat

    direkodkan hasil daripada maklumat orang ramai serta mangsa penipuan.

    “Selain itu kita juga menjalinkan kerjasama dari aspek perkongsian maklumat dan risikan seperti Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) serta kerjasama melalui Memorandum Persefahaman Jenayah Rentas Sempadan dengan pelbagai negara.

    “Begitu juga kerjasama di peringkat ASEAN membabitkan PDRM dalam ASEAN-Singapore Cybersecurity Center of Excellence (ACCP) bagi mempelajari pengetahuan mengenai keselamatan siber dan pola terkini jenayah siber,” katanya.

    Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, PDRM melaksanakan sebanyak 10,406 aktiviti pencegahan antaranya pameran, ceramah, siaran media dan sembang santai secara berterusan di seluruh negara yang dilaksanakan secara bersasar dengan menumpukan sasaran mengikut umur, lokasi serta tahap pendidikan.

    BH ONLINE

  • Suspek lepas tembakan di pusat beli-belah ditembak mati di Pulau Ketam

    KUALA LUMPUR – Suspek kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di Shah Alam, pada 8 Februari lalu, maut ditembak di Pulau Ketam, dekat Klang Selatan, awal pagi tadi.

    Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditembak dalam satu operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi tadi.

    Setakat ini tidak dapat disahkan sama ada keberadaan suspek di pulau berkenaan kerana bersembunyi selepas diburu polis sejak kejadian tembak pada 8 Februari itu atau untuk melarikan diri ke luar negara.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek yang juga seorang penjenayah dikehendaki maut dalam satu kejadian tembak-menembak bersama polis ketika serbuan di Pulau ketam itu.

    “Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.

    “Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.

    “Semakan mendapati saspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun, selain dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini,” katanya melalui kenyataan.

    BH difahamkan mayat suspek akan dibawa ke jeti di Pelabuhan Klang selepas siasatan dan pemeriksaan oleh Unit Forensik Polis selesai dijalankan di lokasi.

    Berdasarkan maklumat, lokasi kedudukan suspek diperolehi berdasarkan siasatan dan risikan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sejak kejadian berlaku.

    Dalam kejadian jam 10 malam 8 Februari lalu, suspek dilapor melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli belah di Setia Alam, semasa berada di Aras P1.

    Mangsa yang cedera di punggung dan kakinya menyelamatkan diri, masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.

    Suspek kemudian melepaskan beberapa lagi tembakan dan terkena pada pintu kaca serta cermin tangga sebelum menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik seorang pengunjung dan memaksa lelaki itu membawanya menuju sebuah kawasan di Pandamaran, Klang dan memberhentikan keretanya.

    Suspek melepaskan mangsa dan melarikan diri.

    BH ONLINE