MUAR – “Jaga diri baik-baik,” demikian pesanan seorang pengait sawit terhadap isterinya selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan amang seksual terhadap pelajar, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Sanif Hashim, 56, sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar berusia 14 tahun di sebuah gelanggang bola keranjang di Batu Pahat antara jam 5.48 hingga 6 petang, 21 Januari lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebaik dijatuhi hukuman itu, tertuduh dipeluk erat anak lelaki serta mencium isterinya sambil berlinangan air mata yang menyebabkan suasana menjadi hiba seketika.
Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian mangsa bersama dua adiknya ke gelanggang untuk bermain bola keranjang.
Namun, mangsa tidak mengikut serta dua adiknya sebaliknya hanya memerhati dari tempat duduk.
Ketika itu tertuduh berada tidak jauh darinya dengan lelaki itu mengajak mangsa berbual dengannya.
Tidak lama kemudian, tertuduh yang juga bapa kepada empat anak menghampiri serta duduk sebelah mangsa lalu melakukan perbuatan itu sebelum beredar.
Mangsa ketakutan lalu pulang ke rumah menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya.
Pada jam 8.30 malam, polis berjaya menahan tertuduh susulan laporan dibuat oleh mangsa pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain menjatuhkan hukuman itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman.
BH ONLINE