TAWAU — Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dicabar untuk bertarung satu lawan satu di bilik Asrama 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, pada malam 21 Mac lalu.
Saksi pendakwaan ke-16 (PW16) itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Menurut saksi yang juga penghuni asrama kolej itu, tertuduh pertama mencabar Aizzat bertarung satu lawan satu dan mengarahkannya memilih siapa saja dalam kalangan mereka untuk bertarung di tengah bilik asrama berkenaan.
Katanya, tertuduh ke-11 kemudiannya tampil menawarkan diri dengan mengatakan “biar aku lawan dia” sebelum mereka berdua bergaduh di situ.
Nur Nisla: Semasa Aizzat dan tertuduh ke-11 bertumbuk, kamu nampak siapa tumbuk siapa?
PW16: Kedua-dua mereka bertumbuk.
Nur Nisla: Semasa kedua-kedua mereka (tertuduh ke-11 dan Aizzat) tengah bergaduh, yang lain buat apa?
PW16: Mereka diam-diam saja kelilingi Aizzat dan tertuduh ke-11.
Bagaimanapun saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam Kamarudin Mohmad Chinki bahawa Aizzat (si mati) juga ada menumbuk tertuduh ke-11 ketika pergaduhan itu.
Kamarudin: Kamu nampak si mati menumbuk tertuduh ke-11, boleh tunjuk?
Saksi kemudiannya melakukan demonstrasi bagaimana si mati menumbuk tertuduh ke-11.
Kamarudin: Saya katakan kepada kamu, si mati lebih kuat daripada tertuduh ke-11?
PW16: Tidak pasti
Kamarudin: Adakah kamu tahu, tertuduh ke-11 mengalami lebam di rusuk kiri?
PW16: Tidak tahu.
Saksi itu juga tidak setuju dengan cadangan peguam bahawa penyataan saksi yang dibuatnya dibantu oleh pihak polis.
Prosiding perbicaraan membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam pada 21 Mac hingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
BH ONLINE