Bayi maut, ibu bapa parah dalam kemalangan dua kenderaan di Kampung Paris

KINABATANGAN — Bayi lelaki maut manakala ibu bapanya parah dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kampung Paris 2, di sini, tengah malam tadi.

Kemalangan itu juga turut menyebabkan empat lagi parah dan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.38 tengah malam.

Katanya, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux bertembung dengan Proton X50.

“Terdapat enam mangsa tersepit dalam kereta Proton X50 dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa dan menyerahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang bayi di dalam kereta Proton X50 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat bayi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 4.15 pagi,” katanya.

BH ONLINE