Israel hentam Beirut dengan serangan baharu ketika angka maut hujung minggu cecah 29

BEIRUT — Israel melancarkan beberapa gelombang serangan udara ke atas Beirut dan pinggir selatannya pada malam Ahad, berikutan serangan terdahulu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 66 yang lain di ibu negara Lubnan.

Tentera Israel berkata pesawat perangnya melakukan “serangan berasaskan perisikan ke atas pusat perintah Hizbullah” di pinggir selatan Beirut, menyasarkan kawasan termasuk Haret Hreik, Burj Barajneh, dan Hadath.

Stesen televisyen tempatan al-Jadeed melaporkan 12 serangan udara dalam masa setengah jam.

Rakaman dikongsi di media sosial menunjukkan awan asap hitam besar naik di atas pinggir bandar selatan Beirut berikutan serangan Ahad, yang berlaku selepas jurucakap tentera Israel Avichay Adraee memberi amaran kepada penduduk di media sosial supaya mengosongkan beberapa bangunan di kawasan itu.

Serangan itu susulan serangan maut pada Sabtu ke atas sebuah bangunan kediaman lapan tingkat di kawasan kejiranan Basta Fawka di Beirut. Sementara media Israel melaporkan serangan itu menyasarkan seorang pegawai terkemuka Hizbullah, ahli parlimen Lubnan dan anggota Hizbullah Amin Sherri menafikan mana-mana tokoh tentera atau parti awam berada di dalam bangunan itu.

Sebagai tindak balas kepada serangan udara, Hizbullah mengumumkan ia telah memusnahkan lima kereta kebal Merkava Israel di selatan Lubnan pada Ahad, menggunakan peluru berpandu.

Kumpulan itu juga mendakwa melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di utara Israel, termasuk Kerem ben Zimra dan Kfar Blum.

Sejak 23 September, tentera Israel meningkatkan serangan udaranya ke atas Lubnan dalam peningkatan konflik dengan Hizbullah.
Israel seterusnya memulakan operasi darat rentas sempadan utaranya ke Lubnan pada awal Oktober.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata pada Ahad serangan udara Israel membunuh 3,754 orang dan mencederakan 15,626 sejak konflik bermula pada 8 Okt 2023.

XINHUA