KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob mengakui, beliau kecewa dengan layanan oleh segelintir pemimpin UMNO yang menjauhinya ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kanan pada Mac 2020 sehingga Perdana Menteri pada Ogos 2021.
Ismail Sabri yang ketika itu Naib Presiden UMNO, berkata beliau tidak mendapat sokongan parti seperti yang diharapkan ketika menjawat jawatan itu walaupun tidak mempunyai masalah dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sentiasa mengangkat suara parti dalam kerajaan.
Mengakui berhadapan masalah sama sehingga kini, Ismail Sabri berkata, ketegangan dalam UMNO bermula ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kanan, yang disifatkan tidak dijangka ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pelantikan beberapa pemimpin UMNO dalam Kabinet oleh Muhyiddin membawa kepada kewujudan dua kem dalam UMNO, iaitu kem Putrajaya, merujuk kepada pemimpin UMNO dalam Kabinet dan kem PWTC,merujuk kepada kumpulan yang menyokong Ahmad Zahid.
“Gerakan untuk memecah-belahkan ini tidak pernah dari Putrajaya, walaupun ada dua kem, itu mereka yang cipta naratif. Kita tidak pernah.
“Dalam kalangan menteri, tidak pernah ada naratif berbeza dengan parti. Kita buat apa yag parti minta.
“Jika saya nak lawan parti, saya takkan peduli bila parti suruh saya bubar Parlimen. Saya bubar Parlimen kerana parti nak saya bubar. Saya orang parti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Ismail Sabri berkata, beliau dilantik sebagai Menteri Kanan ketika itu, berbanding Ahmad Zahid kerana Muhyiddin mengambil kira yang Presiden UMNO itu mempunyai kes di mahkamah, manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula bukan Ahli Parlimen.
“Itu saja sebabnya, tiada sebab lain,” katanya.
Susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, beliau berusaha menjaga hati Ahmad Zahid, termasuk tidak pernah turun di hadapan pintu masuk bangunan UMNO di Menara Dato Onn, sebaliknya terus naik melalui parkir di aras bawah tanah kerana tidak mahu Ahmad Zahid mendengar bunyi siren polis pengiringnya dan orang ramai melihat.
“Jika saya nak jumpa beliau, sebagai Perdana Menteri, saya boleh minta beliau datang ke pejabat tapi tidak. Saya pergi ke Yayasan Akal Budi di Country Heights dan ketika masuk ke kawasan itu, semua lampu polis dipadamkan.
“Polis duduk jauh dari pagar dan satu kereta saya saja yang masuk sebab saya nak jaga hari Presiden,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau kecewa kerana sehingga hari ini, selepas tiada jawatan tinggi dalam parti atau kerajaan, beliau masih ‘diganggu’ walaupun disifatkannya sedang berehat.
“Saya tidak usik siapa-siapa pun tapi mereka masih lagi hentam saya. Cukuplah… saya sudah diam, jangan kacau saya. Biar saya dengan kehidupan saya.
“Bagaimanapun, baru-baru ini, dalam mesyuarat bahagian, ada wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang rapat dengan Presiden, bantai saya dan Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein). Apa lagi anda nak? Anda sudah dapat jadi Presiden, tiada sesiapa pun mengacau, cukuplah,” katanya.
BH ONLINE