KOTA BELUD — Sekurang-kurangnya 10 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Abai, di sini, petang ini.
Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, semua rumah jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.43 petang.
Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dan dibantu Tuaran dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan 10 rumah dan ketika ini pasukan operasi masih giat menjalankan kerja-kerja pemadaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Tiada mangsa yang terbabit dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulambai dan Pangkalan Abai, Polis Diraja Malaysia serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
BH ONLINE