KPM perincikan elaun kos sara hidup Tingkatan Enam

KANGAR — Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperinci cadangan menyediakan elaun kos sara hidup pelajar dan Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, sebelum dibawa ke peringkat belanjawan negara melalui Kementerian Kewangan.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek, berkata langkah itu antara usaha penjenamaan semula pendidikan Tingkatan Enam, selain memastikan kualiti pendidikan itu diperluas dan dipertingkat.

“Antara inisiatif yang kita ingin beri tumpuan ialah melihat sudut elaun mereka, peranan dimainkan pentadbiran kolej Tingkatan Enam, untuk melihat peluang pendidikan bagi pelajar Tingkatan Enam ini diperluas,” katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Peringkat Kebangsaan 2024 yang turut dihadiri Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di sini hari ini.

BH ONLINE memetik Bernama