JOHOR BAHRU – Lelaki warga Singapura berusia 46 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga terbabas masuk ke sebuah restoran di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 malam, 5 Mac lalu, membabitkan sebuah kenderaan Suzuki.
Beliau berkata, pemandu Suzuki terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar dinding restoran, kerusi serta meja.
“Ketika cuba mengundurkan kenderaan keluar, dia kemudian melanggar Honda HR-V yang sedang diparkir di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Raub berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial mengenai kejadian itu kira-kira 2 petang tadi.
Beliau berkata, suspek ditahan dan diuji menggunakan alat pengesan alkohol.
“Ketika ujian kali kedua, dia enggan memberi kerjasama, menyebabkan polis membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk pengambilan sampel toksikologi bagi mengesan paras mabuk,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BH ONLINE