Tarik balik saman, 1MDB diperintah bayar kos RM225,000 kepada Riza Shahriz

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini untuk membayar kos RM225,000 kepada anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikatnya.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu berikutan 1MDB pada 24 Februari lalu, menarik balik samannya terhadap Riza Shahriz.

Saman berkenaan berhubung dakwaan bahawa defendan (RIza Shahriz) menyalahgunakan AS$248 juta dana untuk membiayai produksi filem dan membeli pelbagai hartanah.

Pada prosiding lalu, Peguam Rabindra S Nathan, yang mewakili 1MDB dan tiga anak syarikatnya, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa beliau menerima arahan untuk menarik balik kes terbabit terhadap semua defendan.

Ia tidak dibantah peguam Riza Shahriz, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, susulan itu mahkamah memerintahkan kedua-dua belah pihak mengemukakan hujah mengenai kos dan menetapkan hari ini bagi keputusan.

Perbicaraan kes saman berkenaan bermula pada 16 Oktober tahun lalu dengan plaintif, 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memanggil tiga saksi termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan.

1MDB dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Riza Shahriz, Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Ltd pada Mei 2021 kerana didakwa menerima sekitar AS$248 juta dana yang disalahgunakan untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk membiayai sebuah filem dan membeli pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa Riza Shahriz menyalahgunakan dana mereka daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low atau bertindak dengan cuai dan tidak bertanggungjawab dengan gagal membuat pertanyaan yang relevan mengenai sumber dana terbabit.

Oleh itu, plaintif meminta pengisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab ke atas dana yang disalahgunakan itu, dan dengan itu mereka menuntut bayaran semula.

Dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 2021, defendan mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menghasilkan beberapa filem di Amerika Syarikat.

Pada 14 Mei 2020, Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

BH ONLINE

ad