Bakal pengantin maut, kereta bertembung lori

KOTA TINGGI – Seorang bakal pengantin perempuan maut, manakala dua adiknya cedera dalam nahas membabitkan Perodua Myvi dan sebuah lori di Kilometer 52 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, petang tadi.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa yang juga pemandu, Siti Nabila Rudin, 22, maut di lokasi kejadian, manakala dua adiknya mengalami cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada orang awam kira-kira jam 4 petang.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan Perodua Myvi dipandu mangsa bersama penumpang iaitu adik lelakinya berusia 14 tahun dan adik perempuannya berusia 22 tahun.

“Mangsa yang cedera parah di anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi itu cuba untuk memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan, sebelum merempuh sebuah lori jenis Hino,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata, difahamkan mangsa bersama dua adiknya dalam perjalanan pulang dari Kota Masai ke Tanah Merah, Kelantan.

“Mangsa dipercayai akan melangsungkan perkahwinan di Kelantan. Mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan prosedur siasatan.

“Mangsa yang cedera pula dirujuk ke hospital sama untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

BH ONLINE