Lelaki maut disambar buaya

KUCHING — Buaya mengganas lagi dengan terbaharu serangan berlaku di Asajaya, Samarahan dalam kejadian petang membabitkan seorang lelaki.

Lelaki tempatan berusia 41 tahun maut selepas disambar reptilia itu di Kampung Sampun Tebun, Asajaya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 petang.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, komander operasi mengesahkan insiden lelaki dewasa yang dilaporkan disambar buaya,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa, Gindek Julau ditemui di Sungai Sampun oleh abangnya sebelum ketibaan anggota bomba.

“Anggota bomba kemudian mengambil mayat mangsa menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

BH ONLINE