AYER KEROH — Anak lelaki dan menantu pengasas Al-Arqam, As’aari Muhammad didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba dan bersubahat menghina Islam dengan memiliki tiga penerbitan difatwakan haram oleh Mufti Melaka, pada September lalu.
Muhammad ‘Athoullah As’aari, 39 dan isteri, Ummu Habibah Raihan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad ‘Athoullah didapati memiliki buku berjudul Politik Islam Membawa Kasih Sayang dan Pendidikan Rasulullah serta satu bingkai bergambar As’aari.
Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (EKS) Negeri Melaka (1991) iaitu cuba menghina Islam dengan cara menghina fatwa dikeluarkan mufti melalui warta bertarikh 11 Ogos 1994 dan 2 Ogos 2007.
Ummu Habibah pula didapati bersubahat dengan kesalahan dilakukan Muhammad ‘Athoullah apabila menyimpan bahan penerbitan berkenaan dan didakwa mengikut Seksyen 37 EKS Negeri Melaka 1991 yang dibaca bersama Seksyen 63 enakmen sama.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, pada 21 September lalu jam 1.15 tengah hari.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 13 Februari 2025 dan membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM3,000 atau dengan dua penjamin masing-masing selepas dipohon Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin.
Terdahulu, pendakwaan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan 14 pertuduhan hari ini terhadap lapan orang yang disyaki (OYDS) iaitu tiga anak lelaki As’aari dan lima menantunya yang ditahan menerusi Op Global pada 21 September lalu.
Namun, seorang OYDS tidak hadir hari ini kerana sedang berpantang.
Mahkamah menangguhkan pertuduhan terhadap semua enam OYDS pada 13 Februari depan serta menetapkan jaminan sama.
Peguam Syarie, Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad mewakili semua tertuduh tidak membantah permohonan itu.
BH ONLINE