MUAR — Pelajar sebuah madrasah di Batu Pahat menangis dalam kandang tertuduh sejurus mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual terhadap junior lelaki, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Aqmal Md Radzi, 18, menitiskan air mata ketika membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, dia dakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 12 tahun di sebuah madrasah dalam daerah Batu Pahat antara jam 3 hingga 4 pagi, November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, yang mebabitkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur dalam bilik bersama tiga lagi rakan sebelum tertuduh datang dan baring di sebelahnya.
Ketika itulah tertuduh melakukan perbuatan amang seksual sehingga menyebabkan mangsa terjaga dari tidur.
Selepas melakukan perbuatan itu, tertuduh meminta mangsa tidak menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapapun selain berjanji untuk belanja makan.
Mangsa ketakutan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada 12 Disember lalu.
Bertindak atas maklumat diterima, polis menahan tertuduh pada hari sama dan dia mengaku melakukan perbuatan itu terhadap mangsa.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu untuk sebutan kes bagi pembentangan laporan sosial oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan juga hukuman memandangkan tertuduh dikategorikan pesalah muda,
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 20 Januari depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
BH ONLINE