HARARE — Jabatan Perkhidmatan Meteorologi (MSD) Zimbabwe pada Jumaat mengumumkan negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap potensi kesan siklon tropika Chido, yang kini menjejaskan bahagian timur laut Madagascar dan dijangka membawa hujan ke beberapa kawasan di Zimbabwe mulai Ahad.
Walaupun menimbulkan ancaman besar kepada kawasan di sepanjang laluannya, taufan itu dijangka memberi impak berkurangan apabila sampai ke selatan Afrika, termasuk Zimbabwe, kata Ketua Peramalan MSD James Ngoma semasa sidang akhbar di Harare, ibu kota Zimbabwe.
“Kelajuan putaran akan berkurangan daripada 200 km/j kepada 50 km/j. Trajektori juga akan berubah apabila sampai ke Comoros. Ia boleh beralih ke selatan, utara atau barat,” katanya.
Ngoma menyatakan hujan dijangka bermula Ahad di wilayah Matabeleland Utara, Matabeleland Selatan, Masvingo, Midlands dan Harare, dengan hujan lebat di seluruh negara dijangkakan pada Isnin.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Perlindungan Awam menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya bersedia menghadapi kemungkinan pemindahan jika perlu.
Pada 2019, siklon tropika Idai menyebabkan kemusnahan meluas di Zimbabwe, dengan banjir menghanyutkan ramai orang dan merosakkan infrastruktur dengan teruk.
XINHUA