BAGAN DATUK – Polis menerima tujuh laporan daripada pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Teluk Intan yang didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior dalam kejadian pada malam, 8 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, laporan polis diterima daripada tujuh pelajar membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat sekolah berkenaan yang mendakwa dibuli dua pelajar Tingkatan Lima hingga mengalami kecederaan bengkak di tangan dan sakit otot.
Katanya, siasatan awal mendapati dua pelajar Tingkatan Lima berkenaan mengarahkan seramai kira-kira 62 pelajar lelaki Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat sekolah itu melakukan 200 kali tekan tubi atas alasan ingin mendisiplinkan mereka.
“(Suspek) yang kita kenal pasti sekarang ini hanya dua pelajar Tingkatan Lima. Seramai 62 orang pelajar disuruh melakukan tekan tubi 200 kali itu namun bilangan laporan polis yang kita terima setakat kelmarin (Jumaat) hanya tujuh laporan.
“Kejadian buli ini bukanlah berbentuk pergaduhan, sebaliknya melalui siasatan setakat ini mendapati kemungkinan puncanya lebih kepada pelajar senior ingin mendisiplinkan pelajar-pelajar junior dengan cara yang salah,” katanya kepada media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini hari ini.
Katanya lagi, keterangan dari semua tujuh pelajar yang membuat laporan itu sudah diambil, manakala setakat ini polis masih menunggu perintah untuk siasat (OTI) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi membolehkan keterangan diambil pula daripada dua pelajar Tingkatan Lima yang melakukan buli itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dengan menambahkan pelajar yang menjadi mangsa buli berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.
BH ONLINE