GAZA — Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Khamis, menurut sumber Palestin.
Pesawat Israel menyasarkan sebuah rumah di belakang Hospital Kamal Adwan di bandar Beit Lahia di utara Gaza, kata sumber tempatan dan saksi mata.
Serbuan itu membunuh tujuh orang dan mencederakan beberapa yang lain, kata jurucakap Pertahanan Awam Palestin di Gaza Mahmoud Basal kepada Xinhua.
Menurut Basal, Israel kemudian melancarkan satu lagi serangan udara pada satu perhimpunan rakyat Palestin di kejiranan Shuja’iyya, timur Kota Gaza, membunuh tiga dan mencederakan lima yang lain dengan pelbagai tahap kecederaan.
Sementara itu, paramedik memberitahu Xinhua, pekerja perubatan menemui dua mayat rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan dron Israel ke atas perhimpunan di Khirbet al-Adas, utara bandar Rafah, di selatan Gaza.
Tentera Israel masih belum mengulas mengenai serangan itu.
Israel telah melakukan serangan besar-besaran terhadap Hamas di Semenanjung Gaza untuk membalas serangan Hamas melalui sempadan selatan Israel pada 7 Okt 2023, di mana kira-kira 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 250 dijadikan tebusan.
Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Gaza meningkat kepada 44,580, kata pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan pada Khamis.
XINHUA