Isu pensijilan halal: Teresa tuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh selepas mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Surat tuntutan (LOD) kepada Muhamad Akmal dihantar Teresa menerusi firma Sankara Nair and Partners.

Selain tuntutan ganti rugi RM25 juta, Teresa turut menuntut segala kos dan perbelanjaan yang disebabkan isu ini.

Justeru, Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau diberi tempoh tujuh hari bekerja untuk memberikan maklum balas.

“Jika anak guam kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk kepada anda lagi,” kata notis itu.

Berdasarkan salinan LOD dikongsi kepada media, ia merujuk video melalui Tiktok dimuat naik melalui akaun @Drakmalsaleh pada 7 September lalu sebagai respon kepada kenyataan Teresa sehari sebelum itu berkait isu pensijilan halal.

Video itu sehingga tarikh LOD dihantar menerima 720,500 tontonan, dengan 75,000 tanda suka, 9,314 komen dan 8,784 perkongsian semula.

Just Pic