Cubaan culik budak perempuan di Hulu Selangor

HULU SELANGOR — Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menempuh detik menakutkan selepas hampir menjadi mangsa culik di Bukit Beruntung, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang menunggu van sekolah di bawah blok rumahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa jam 8.56 malam.

Beliau berkata, wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa.

“Siasatan awal mendapati, suspek seorang warga tempatan dipercayai bertindak melarikan mangsa namun gagal.

“Mangsa berjaya melarikan diri ke kedai berhampiran dan menjerit minta tolong. Saksi awam yang berada di lokasi kejadian kemudiannya menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata, suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri apabila saksi awam cuba menahannya.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak meninggalkan anak bersendirian ketika di luar rumah kerana mengundang peluang dan ruang kepada penjenayah,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641223.

BH ONLINE

Just Pic