KUALA LUMPUR — YTL Power International Bhd (YTL Power) malam ini mengesahkan pihaknya ada menerima permohonan mendapatkan maklumat berhubung projek 1Bestarinet daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi kenyataan media, YTL Power Bhd, berkata permohonan SPRM itu dikemukakan kepada anak syarikatnya, YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms), baru-baru ini.
Justeru, katanya, YTL Comms sentiasa bekerjasama dengan SPRM bagi membantu siasatan kes itu, selain percaya ia akan diselesaikan sewajarnya.
“Kami merujuk pelbagai laporan berita dalam talian hari ini mengenai siasatan dijalankan SPRM ke atas YTL Comms berkaitan projek 1BestariNet.
“Kami mengesahkan ada menerima permohonan daripada SPRM baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat daripada YTL Comms berhubung projek berkenaan,” katanya.
Terdahulu, BH melaporkan, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011.
Difahamkan, siasatan itu bermula selepas SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL Comms di ibu negara, hari ini.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2019 disaran menjalankan penilaian holistik terhadap keberkesanan projek perkhidmatan 1BestariNet Fasa II berikutan pelaksanaannya sebelum ini disifatkan tidak menyeluruh.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada semua sekolah seliaan KPM.
Audit dijalankan pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan, sejumlah 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018, manakala hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru sudah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.
Sementara itu, YTL Power berkata, projek 1BestariNet itu dianugerahkan kepada YTL Comms secara tender terbuka selepas menewaskan persaingan membabitkan 19 syarikat, pada 2011.
“YTL Comms dipilih kerana tawarannya yang paling mematuhi teknikal dan paling kos efektif.
“Projek ini disahkan berjaya diselesaikan pada akhir tempoh kontrak pada 30 Jun 2019 oleh KPM,” katanya.
BH ONLINE