MUKAH — Lelaki warga emas yang hilang selepas terjatuh ke sungai akibat perlanggaran dua perahu panjang di Batang Oya, Dalat pada Isnin lepas ditemukan lemas tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat, berkata mayat Dos Katiek, 81, ditemukan terapung oleh penduduk kampung dan dibawa ke Hospital Mukah.
“Pengecaman mayat Dos oleh keluarganya akan dilakukan apabila mayat sampai di Hospital Mukah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, Dos dilaporkan terjatuh ke sungai setelah perahu panjang yang dikendalikannya berlanggar dengan sebuah perahu panjang lain yang dikemudi seorang guru di lokasi antara Kampung Sua dan Kampung Klid di kawasan itu.
BH ONLINE–BERNAMA