Warden sekolah GISBH rotan budak kena penjara 10 tahun

KLANG — Ekoran tindakan merotan dan menekan dada kanak-kanak seperti video yang tular sebelum ini, seorang warden sekolah agama milik GISB Holdings (GISBH) dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman ke atas Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas dia mengaku bersalah sebaik empat pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut keempat-empat pertuduhan itu, lelaki itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun menganiaya mereka dengan merotan dan menekan dada menggunakan lutut salah seorang mangsa yang mungkin menyebabkan kesemua mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua premis di Bukit Raja, Klang Utara, di sini pada Jun, Julai dan September 2024.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Barur Rahim turut dikenakan bon kelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM10,000 dengan seorang penjamin.

Jika gagal memasuki bon, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman bermula tarikh tertuduh ditangkap 11 September lalu dan dijalankan secara berasingan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika rayuan, Muhammad Barur Rahim yang bertugas sebagai penjaga di Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah kendalian kumpulan GISBH berkata dia telah insaf dan tekad serta berazam tidak akan ulangi kesalahan.

“Saya belum berkahwin namun menanggung ibu bapa saya, kalau boleh saya mohon hukuman diringankan,” katanya yang hanya menundukkan kepala sepanjang prosiding berlangsung.

Terdahulu tertuduh yang memakai baju-T merah diiringi polis, tiba di mahkamah jam 9.45 pagi.

Rabu lalu media melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pendakwaan terhadap suspek akan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 16 September lalu, polis memulakan siasatan berhubung rakaman video satu minit sembilan saat memaparkan beberapa kanak-kanak lelaki dipercayai didera. Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.

Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang diselamatkan sebelum ini yang dipisahkan dengan bapanya sejak 2021.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh menegaskan bagi menentukan hukuman, mahkamah perlu melihat pada fakta kes yang dikemukakan.

Kalmizah menyenaraikan lima faktor tertuduh patut dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Hukuman harus mempertimbangkan faktor kekerasan, kecederaan ke atas mangsa, faktor keadaan mangsa, faktor kepentingan awam, faktor mental mangsa kesan akibat kejadian yang berlaku.

“Tindakan tertuduh tidak berperikemanusiaan ke atas mangsa berdasarkan perlakuan tertuduh dalam melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Kalmizah turut memohon hukuman untuk semua empat pertuduhan dijalankan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Muhd Barur Rahim didakwa merotan mangsa sekitar Jun dan Julai 2024 di Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah, Bukit Raja Klang dengan menggunakan sebatang rotan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Mangsa pertama adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di rotan sebanyak lima kali kerana buang sampah merata-rata di sekolah tersebut.

Mangsa kedua, seorang budak lelaki 11 tahun dirotan enam kali, dan laporan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kesan lebam lama di ibu jari.

Tertuduh didakwa menindih dada mangsa ketiga, seorang budak lelaki 10 tahun sekitar Jun 2024 di sekolah sama dengan lututnya sehingga meninggalkan kesan lebam dada mangsa.

Mangsa ketiga turut dirotan sekitar September sebelum serbuan dilakukan. Laporan perubatan sahkan mangsa ada kesan lebam di dada dan kecederaan lama di jari.

BH sebelum ini melaporkan polis percaya lebih banyak penderaan yang berlaku terhadap penghuni rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH akan dapat dibongkar.

Sebelum ini Razarudin dilaporkan berkata, beberapa rakaman video berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang menghuni di rumah amal berkenaan kini dalam penelitian pihak polis.

Beliau mengulas beberapa rakaman video yang tular menunjukkan penderaan dialami dua kanak-kanak dipercayai penghuni rumah amal itu.

BH ONLINE

Just Pic