PAPAR — Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta akibat kemalangan di Jalan Kampung Kawang, Kinarut, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian apabila kereta dinaiki bersama dua individu lagi hilang kawalan dipercayai akibat jalan licin.
Kenderaan Proton Persona itu kemudian terbabas dan mangsa terpelanting keluar, sebelum kereta masuk ke dalam parit kira-kira 50 meter dari jalan raya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.46 petang.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Persona didapati terbabas di parit dan terdapat seorang mangsa terpelanting keluar dari kenderaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, katanya, seorang mangsa cedera ringan telah dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas dan satu lagi mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa lelaki berusia 16 dan 39 tahun diberi rawatan awal, seterusnya dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut,” katanya.
BH ONLINE