Wanita Jepun maut terjatuh dari tingkat 4 kondominium

SUBANG JAYA – Seorang wanita warga Jepun ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tingkat 4 sebuah kondominium di SS16, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pasukan peronda dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan menerusi talian MERS 999, pada 8.07 pagi.

“Anggota polis rondaan diarahkan menghala ke lokasi bagi mengesahkan maklumat itu dan memberikan bantuan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa adalah seorang wanita Jepun, berusia 50-an sudah meninggal dunia, dalam keadaan tertiarap di atas tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa seorang suri rumah dan sudah menetap di Malaysia sejak kira-kira 14 tahun lalu.

Katanya, siasatan awal pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah membabitkan insiden itu.

“Kes disiasat di bawah laporan mati mengejut (SDR) dan bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian mangsa.

“Keluarga mangsa sudah dimaklumkan berkenaan kejadian itu dan surat pelepasan jasad sedang dibuat kemudian diserahkan kepada suami mangsa,” katanya.

BH ONLINE

ad