Wanita bekas peguam dipenjara 2 tahun kerana pecah amanah wang pelanggan

KUALA LUMPUR — Seorang wanita bekas peguam dipenjara dua tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM24,600 milik pelanggannya sejak 2010 sehingga 2011.

Hakim, Azrul Darus, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Wan Jasmira Wan Ibrahim, 41, di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh hari ini,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga lima, Wan Jasmira didakwa sebagai seorang peguam di sebuah syarikat guaman (ketika itu) melakukan pecah amanah wang milik lima individu, di sebuah unit pejabat di Off Jalan Gombak, Setapak antara 7 Julai 2010hingga 26 Ogos 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif manakala peguam Azi Azlin Zulkifli mewakili tertuduh.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula Oktober 2023.

BH ONLINE

Just Pic