PUTRAJAYA — Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid mendakwa salah faham berkaitan memetik hadis lemah menjadi punca dirinya disingkirkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah seperti yang diumumkan Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman di aplikasi X, hari ini.
Menerima keputusan dengan reda, Ustaz Don bagaimanapun menafikan dia mengingkari arahan stesen penyiaran berkenaan apabila sekali lagi memetik hadis lemah ketika bersiaran di TV1, semalam seperti yang didakwa.
“Mereka hanya mendengar daripada satu pihak tanpa menyiasat hingga kenyataan saya dimanipulasi.
“Ketika bersiaran saya tidak sebut langsung mengenai hadis, tetapi saya memetik kitab ditulis oleh Imam An Nawawi Al Bunyan’ı berjudul Tanqihul Qaul Al Hadith yang menghuraikan (Syariah) kitab Lubab Al Hadith.
“Beliau orang Melayu (Nusantara) yang menjadi imam Masjidil Haram.
“Mana mungkin Imam menulis perkara salah dan kalau saya memetik kitab berkenaan maksudnya Imam ini juga melakukan kesilapan,” katanya pada sidang media tergempar di Smoked Kingdom by Don Daniyal, di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Ustaz Don berkata, tujuannya memetik kitab berkenaan kerana mahu menggalakkan masyarakat memuliakan guru.
“Saya gunakan perkataan ulama untuk memuliakan guru, berbeza daripada apa yang didakwa. Ini kerana saya beri motivasi kepada orang ramai untuk beramal.
“Kita timbulkan penghormatan kepada guru, sambut dengan selawat, tetapi manipulasi tercetus sebab hanya sekerat sahaja video dilihat, bukan keseluruhan program berdurasi lebih sejam itu,” jelasnya.
Tambahnya, agak mustahil untuknya mengulangi kesilapan sama kerana sudah diberi gadis panduan lebih awal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika mengadakan pertemuan, baru-baru ini.
“Saya baru sahaja dipanggil JAKIM dan sudah diberitahu mengenai garis panduan berceramah supaya pendakwah berhati-hati dalam memilih perkataan dan jangan letak sewenang-wenangnya pada Nabi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ustaz Don turut memaklumkan sepanjang 14 tahun menjadi penceramah, inilah kali pertama memberi penjelasan berhubung kontroversi membabitkan dirinya.
“Bukan kali pertama saya berhadapan situasi seumpama ini, tetapi inilah kali pertama saya membuat sidang media untuk menjawab spekulasi.
“Saya bukannya nak keruhkan keadaan, sebaliknya sebagai pendakwah saya perlu membersihkan nama yang sudah tercalar demi kerjaya,” ungkapnya.
Enggan kemelut berlarutan, Ustaz Don mahu terus berfikiran positif dengan memaafkan semua pihak.
“Saya memaafkan semua orang sebab malu saya kepada Imam Syafie. Sebab Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkannya dipenjara.
“Saya baru sedikit sahaja, direhatkan. Tidak ada terguris di hati kerana saya mengasihi semua umat Nabi Muhammad,” jelasnya.
Petang tadi, Suhaimi membuat pengumuman mengejutkan apabila program Salam Baitullah yang berbaki empat episod tidak lagi menggunakan khidmat Ustaz Don sebagai pengacara.
Ini susulan dakwaan mengatakan Ustaz Don berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda ke jalan Allah.
Sebelum ini, pengacara berusia 40 tahun itu direhatkan selama seminggu daripada program sama selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.
Program bual bicara terbitan RTM itu bersiaran setiap kali musim haji dan edisi kali ini bermula antara 2 hingga 17 Jun ini.
BH ONLINE