Ustaz Don dakwa tuduhan petik hadis lemah sebagai tidak berasas

PUTRAJAYA — Ustaz Don Daniyal Don Biyajid mendakwa isu beliau memetik hadis lemah dalam ceramah seperti diperdebatkan netizen sebagai tuduhan tiada berasas dan tidak sepatutnya timbul.

Ustaz Don mendakwa perkara itu disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ketika beliau mengadakan pertemuan dengan pegawainya, baru-baru ini.

“Ketika saya berjumpa pegawai JAKIM, mereka menyatakan isu itu kecil sahaja dan menjadi lumrah dalam perbincangan ilmu.

“Kalau begitu, kenapa perlu babitkan banyak sangat pihak berkuasa. Bahkan, disebabkan perkara ini terlalu kecil, kebenaran itu berpihak pada saya apabila terus kembali bersiaran tanpa huraian.

“Biasalah, dalam disiplin ilmu, tajuknya tidak habis sebab berbeza. Ini adalah dua jalan yang tidak bertembung,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Mengenai dakwaan beliau tiada kepakaran bercakap mengenai hadis dan perlu kembali fokus kepada hukum tajwid yang menjadi bidangnya, Ustaz Don berkata, beliau mempunyai kelayakan akademik untuk berbuat demikian.

“Apa yang saya hairan, macam mana mereka (netizen) tahu subjek yang saya belajar sebab dalam diploma dan ijazah yang saya ambil terutama diploma, ada subjek hadis.

“Apabila saya jawab macam ini, bererti terbuktilah pembelajaran saya tidak ada masalah,” dakwanya.

Sehubungan itu, Ustaz Don berharap netizen lebih rasional dan perlu menyelidik kesahihan maklumat yang diperoleh sebelum menjatuhkan ‘hukuman’.

“Harapan saya, kepada semua netizen, seperti mana kita hendak makan, kita kena pilih. Kita tidak makan sebarangan.

“Kita tengok adakah makanan itu halal atau tidak, sedap atau tidak, elok atau tidak dan sesuai untuk Instagram (IG) atau tidak tempat itu.

“Begitulah juga dengan ilmu. Perhatikan siapa yang menyampaikan . Kena tengok juga latar belakang orang yang menyampaikan.

“Perkataan yang mereka selalu gunakan kepada saya, ‘spin’ (putar belit). Tetapi, sava tidak ‘spin’ apa-apa.

“Perkara itu dilakukan mereka (netizen). Jadi, netizen perlu buat pertimbangan sendiri,” dakwanya.

Semalam, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengumumkan program Salam Baitullah yang bakal berakhir, Isnin ini, tidak lagi menggunakan khidmat Ustaz Don sebagai pengacara.

Ini susulan kenyataan Ustaz Don dalam program itu di mana beliau didakwa berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada bersedekah 1,000 ekor kuda ke jalan Allah.

Sebelum ini, pengacara berusia 40 tahun itu direhatkan selama seminggu daripada program Salam Baitullah selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.

Program bual bicara terbitan RTM itu bersiaran setiap kali musim haji dan edisi kali ini bermula sejak 2 Jun lalu hingga Isnin ini.

BH ONLINE