UPM, UMS dan USM antara 5 agensi catat kerugian 3 tahun berturut-turut

KUALA LUMPUR – Tiga universiti awam (UA) antara lima agensi Persekutuan dilapor mengalami kerugian berturut-turut tertinggi sepanjang tiga tahun berturut-turut iaitu antara 2021 hingga 2023.

Tiga UA itu membabitkan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan dua lagi agensi yang turut mencatat kerugian sama adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Berdasarkan penjelasan disertakan, punca tiga UA terbabit mengalami kerugian terbabit disebabkan geran mengurus dan pendapatan janaan sendiri (yuran pelajar) tidak dapat menampung perbelanjaan operasi universiti.

Ia menyebabkan UMS mengalami kerugian RM141.41 juta pada 2023, meningkat berbanding RM89.31 juta pada 2021 dan RM89.47 juta pada 2022.

UPM pula merekodkan kerugian RM127.71 juta pada 2023 berbanding RM81 juta dan RM118.7 juta masing-masing pada 2022 dan 2021, manakala USM mencatatkan kerugian RM61.6 juta pada 2023, RM2.62 juta (2022) dan RM14.21 juta (2021).

Bagi PPUM pula, LKAN 1/2025 melaporkan pendapatan terdiri caj rawatan pesakit tidak dapat menampung perbelanjaan operasi menyebabkan ia mengalami kerugian RM61.3 juta pada 2023, selain RM50.94 juta (2022) dan RM33.44 juta (2021).

Sementara SWCorp merekodkan kerugian RM53.9 juta pada 2023, meningkat berbanding RM87.91 juta pada 2022 dan RM60.75 juta pada 2021, dengan peningkatan perbelanjaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dikenal pasti sebagai punca.

BH ONLINE

ad