Tular video bapa bakar motosikal demi selamatkan anak daripada terus merempit

KUALA LUMPUR — Tular di laman sosial TikTok, sebuah video yang memaparkan tindakan nekad seorang bapa membakar motosikal anak lelakinya sehingga mengundang perhatian ramai.

Difahamkan, tindakan itu diambil selepas anaknya dikatakan tidak mendengar nasihat dan kerap keluar pada waktu malam.

Dia juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan perangai anaknya yang didakwa menjadi liar selepas memiliki motosikal.

Kisah tular itu dikongsikan menerusi akaun TikTok @kajolmarey01, di mana lelaki itu menunjukkan motosikal yang terbakar sambil memberi peringatan keras kepada anaknya dan juga golongan muda yang lain.

Dalam video yang meraih perhatian netizen, lelaki itu dengan tegas menyatakan bahawa tindakan membakar motosikal adalah akibat daripada anaknya yang dikatakan degil, sering keluar malam, menurut portal thevocket.com.

Selain itu, kedengaran juga lelaki itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sikap anaknya yang menjadi liar selepas adanya motosikal.

“Lebih baik aku bakar motosikal ini daripada kamu mati di jalan raya!” menurut lelaki itu sambil menunjukkan motosikal yang sedang terbakar.

Menerusi video itu juga, tindakan lelaki itu bukan hanya ditujukan kepada anaknya semata-mata, tetapi juga kepada golongan muda lain yang degil dan tidak mengendahkan nasihat ibu bapa.

Lelaki itu juga mengakui bahawa apa yang dilakukan itu kelihatan kasar, tetapi menegaskan bahawa ia adalah caranya untuk mendidik anaknya dengan harapan dapat menyelamatkan nyawa si anak.

Lelaki itu juga turut berkongsi bahawa dia lebih rela melihat anaknya kehilangan motosikal daripada menerima dua berita buruk yang paling ditakuti sebagai seorang ayah iaitu anaknya ditahan polis kerana kesalahan merempit atau lebih teruk, polis memaklumkan kepadanya mengenai kematian anaknya.

Melalui tindakan ini, dia juga mengingatkan golongan muda supaya sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa yang bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka.

Tindakan ini membuka ruang perbincangan yang hangat di kalangan netizen.

Ramai bersetuju dengan tindakan si bapa, sementara ada juga yang menganggap ia terlalu melampau.

BH ONLINE

Just Pic