KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters mengakui terpesona dengan reka bentuk dan kemudahan yang terdapat di Masjid Negara di sini.
Perasaan kagum itu dizahirkan Peters yang juga Menteri Luar New Zealand selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit menjelajah masjid itu, mempelajari tentang sejarahnya, reka bentuk dan pelbagai program di Masjid Negara.
Beliau kemudian dibawa ke dewan solat utama sambil diberikan taklimat mengenai masjid itu oleh Attan Akmar, wakil Program Pemandu Pelancong Masjid dari Pusat Outreach Islam Sukarela Abim (IOAC) dan Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
“Peters kagum dengan Masjid Negara. Beliau turut berkongsi pengalamannya melawat banyak masjid di pelbagai negara, tetapi beliau menyatakan bahawa Masjid Negara terserlah dengan reka bentuk moden sambil mengekalkan ciri-ciri Islam,” kata Attan yang sudah berkhidmat sebagai sukarelawan dengan Program Pemandu Pelancong IOAC-Masjid Negara selama tiga tahun, hari ini.
Masjid Negara dibina antara 1963 dan 1965 dan mempunyai kapasiti untuk menampung 15,000 orang, dengan kedudukannya terletak antara 5.3 hektar taman yang indah.
Peters dan delegasinya tiba di negara ini Khami lalu, dengan Malaysia adalah destinasi kedua dalam lawatannya ke Asia Tenggara selepas Vietnam, menunjukkan dasar New Zealand yang mengutamakan kerjasama dengan rantau yang berkembang pesat ini.
BH ONLINE memetik BERNAMA