PUTRAJAYA – Tiga waran tangkap dikeluarkan kepada bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan untuk didakwa mengikut pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.
Loo dikatakan sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki, menyerah diri kepada polis pada Julai 2023, selepas lima tahun melarikan diri keluar negara.
Menurut Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Jenayah Kuala Lumpur, Nabilla Md Yusof, semua waran itu dikeluarkan dua Mahkamah Majistret pada 2018, di mana dua daripadanya dipohon pihak polis dan satu waran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Nabilla yang juga saksi pembelaan ke-16, berkata, bagaimanapun beliau tidak mengetahui sama ada waran tangkap itu sudah dikuatkuasakan atau sebaliknya.
“Saya tidak tahu sama ada waran berkenaan sudah dilaksanakan kerana tiada pembaharuan dokumen dikemukakan di mahkamah. Sebarang perkembangan perlu dikemas kini dalam fail mahkamah.
“Ini kerana, tugas saya hanya memproses permohonan waran tangkap dan menetapkan tarikh sebutan, sebarang arahan mahkamah saya tidak tahu kerana tidak berada dalam prosiding itu,” katanya.
Saksi itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada peringkat pemeriksaan utama.
Pada peringkat itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan meminta kepastian berkenaan hala tuju soalan pihak pembelaan membabitkan waran tangkap berkenaan.
Muhammad Shafee bagaimanapun menjelaskan, keterangan berkaitan waran tangkap itu penting kerana Loo adalah antara pihak yang didakwa bertanggungjawab dalam penyelewengan dana 1MDB.
Katanya, dokumen mahkamah berkenaan menunjukkan Loo menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram dan ia masih tergantung.
Hakim kemudian mengarahkan pembelaan memasukkan isu terbabit dalam hujahan mereka.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, saksi itu menjelaskan Loo tidak pernah didakwa di mahkamah atas apa jua kesalahan.
Katanya, pertuduhan yang dikepilkan bersama permohonan waran tangkap oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan SPRM hanyalah sekadar lampiran.
Nabilla turut bersetuju dengan soalan Ahmad Akram bahawa sama ada waran tangkap dilaksanakan atau sebaliknya, ia bukan tanggungjawab beliau untuk memastikannya.
Saksi juga bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pertuduhan terhadap Loo (seperti dilampirkan dalam waran tangkap), tidak pernah dibacakan di mahkamah.
Nabilla memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Najib yang membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia DevelopmentBerhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Loo dalam keterangannya tahun lalu, berkata beliau sudah berada di Bangkok, Thailand apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di mana kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib mengalami kekalahan.
Beliau berkata, beliau diarahkan oleh Jho Low untuk kekal di luar negara dan tidak kembali serta memberitahu, keadaan akan menjadi sangat buruk dan dirinya akan menjadi lebih teruk jika pulang ke tanah air.
Beliau yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan, berkata dia bimbang dengan apa yang akan berlaku terhadapnya dan jika ada sebarang tindak balas terhadap dirinya ekoran skandal 1MDB, jika terus tinggal di negara ini.
BH ONLINE