TAWAU — Polis menahan tiga remaja lelaki selepas disyaki terbabit dalam kes rogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, berkata tiga suspek masing-masing berusia 12 hingga 14 tahun yang juga kenalan mangsa ditahan di sekitar daerah ini kira-kira jam 5.40 petang Jumaat lalu.
Beliau berkata, penahanan ketiga-tiga suspek dilakukan susulan laporan dibuat ibu mangsa mengenai kejadian rogol menimpa anak perempuannya yang berusia 12 tahun.
“Siasatan awal mendapati, kejadian rogol itu berlaku kira-kira jam 9 malam pada Khamis lalu di kawasan kebun berhampiran sebuah kampung dekat sini.
“Ketiga-tiga suspek yang tidak bersekolah adalah kenalan dan tinggal sekampung dengan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Champin berkata, dua suspek adalah pemegang sijil lahir, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Polis sudah mendapat perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Tawau dan semua suspek kini ditahan reman lima hari sehingga 2 Oktober ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
BH ONLINE