Tiga beranak antara lima maut nahas babitkan 4 kenderaan

KLUANG – Lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk treler di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pasangan yang meninggal dunia itu ialah pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala anak perempuan, Mariam Nasarudin, 2, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, tiga lagi anak mangsa yang berusia sembilan, tujuh dan empat tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Katanya, turut maut dalam kemalangan itu ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang tiada lesen memandu dan penumpang hadapan, lelaki berumur 20 an akibat cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berdasarkan siasatan, pemandu treler berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur memaklumkan sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kanan kenderaan dipandunya pecah menyebabkannya hilang kawalan.

“Treler itu dikatakan bergesel dengan Toyota Camry yang berada di laluan sama sebelum kenderaan berkenaan memasuki laluan bertentangan dan melanggar Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.

“Kereta Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.

“Akibat perlanggaran berkenaan, kendreaan Honda Stepwagon Spada terbakar keseluruhan tetapi penumpang dan pemandu sempat dikeluarkan dari kenderaan sebelum api merebak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahrin berkata, pemandu treler itu turut cedera di kaki kanan dan pinggang dan mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Katanya, pemandu lelaki Toyota Camry berusia 38 tahun dan penumpang belakangnya, wanita berusia 25 tahun dan kanak kanak lelaki berusia dua tahun cedera juga turut mendapat rawatan di hospital sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BH ONLINE