PUTRAJAYA – Tiga bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9 yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah dibebaskan hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tiga individu termasuk bergelar Datuk itu dibebaskan selepas tempoh tahanan reman mereka berakhir hari ini.
“Ya (mereka dibebaskan hari ini), siasatan masih diteruskan,” katanya kepada BH.
BH sebelum ini melaporkan, dua individu bergelar Datuk antara empat bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9 yang ditahan SPRM untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran negara yang diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tiga daripada mereka direman tiga hari, manakala seorang lagi sudah dibebaskan Ahad lalu.
BH difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Selain itu, SPRM dilaporkan menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, dalam serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri ke-9 itu.
Sumber memberitahu New Straits Times (NST), wang berkenaan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.
Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.
Semalam, SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak dapat mendedahkan hasil penemuan, termasuk aset atau wang tunai yang dirampas dalam kes penahanan bekas pegawai kanan bekas Perdana Menteri ke-9 kerana siasatan masih di peringkat awal.
SPRM berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional.
BH ONLINE