Tiada petunjuk baru operasi hari ketiga pencarian jasad Sabari

JITRA — Operasi pencarian Sabari Baharom, 62, di Sungai Padang Terap pada hari ketiga hari ini masih belum menunjukkan sebarang petunjuk.

Tinjauan di lokasi pencarian di sungai berkenaan berhampiran Jambatan Kampung Lubuk Batu mendapati pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan usaha mengesan mangsa sehingga jam 6 petang tadi.

Operasi dalam radius 13 kilometer itu membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam pada itu, isteri Sabari, Subhiah Roslina Shahibi, 57, yang turut berada di lokasi untuk mengikuti perkembangan suaminya dalam operasi itu sejak pagi tadi kelihatan tenang dan ditemani saudara mara serta kenalannya sehingga operasi ditangguhkan.

Subhiah Roslina berkata, pihak berkuasa memberitahu akan menghubunginya dari masa ke semasa untuk memaklumkan mengenai perkembangan terperinci mengenai operasi terbabit.

“Saya pun tak pasti operasi SAR ni sampai bila akan dilakukan.

“Polis cuma memaklumkan mereka akan hubungi saya nanti, mungkin mereka perlu mengadakan taklimat atau mesyuarat terlebih dahulu sebelum buat sebarang kesimpulan,” katanya.

Pencarian Sabari yang pesara pegawai kewangan FELCRA yang disyaki dicampak dalam keadaan tangan terikat dan mulut ditutup pita pelekat di Sungai Padang Terap dilakukan susulan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada Jumaat lalu.

Penahahan dua suspek itu dilakukan bagi membantu siasatan kes kehilangan pesara pegawai kewangan itu.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.

BH ONLINE

Just Pic