Tiada bukti langsung Najib arah dana 1MDB dipindahkan untuk kegunaan peribadi – Saksi

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tiada bukti langsung diperoleh pasukan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menunjukkan Datuk Seri Najib Razak mengarahkan dana syarikat pelaburan strategik negara itu dipindahkan untuk kegunaan peribadinya.

Bekas Pegawai Penyiasat 1MDB, Senior Asisten Komisioner R Rajagopal yang juga saksi ke-11 pembelaan, berkata beliau tidak mendapat bukti langsung bahawa Najib selaku pemegang saham tunggal 1MDB, mengarahkan Lembaga Pengarah untuk bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya.

Saksi itu berkata , tiada bukti sedemikian diterimanya sepanjang menjalankan siasatan skandal kewangan 1MDB, pada mana-mana peringkat hingga beliau bersara.

Beliau berkata, siasatan itu juga membabitkan sama ada keputusan yang diambil Lembaga Pengarah 1MDB dibuat dengan niat baik dan sama ada ia bertindak mengikut kepentingan 1MDB atau sama ada tadbir urus dilakukan dengan betul.

Rajagopal bagaimanapun menjelaskan bahawa berdasarkan Memorandum & Artikel (M&A), sebarang transaksi mesti diputuskan oleh Lembaga Pengarah dan diluluskan oleh pemegang saham.

“Bukti langsung yang menunjukkan Najib mengarahkan ke mana wang itu (disalurkan), saya tidak menjumpainya tetapi berdasarkan cara syarikat beroperasi, memorandum syarikat, kelulusan oleh Lembaga Pengarah, transaksi (aliran keluar wang) telah dilakukan,” katanya.

Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada sesi pemeriksaan semula.

Antara 2015 hingga 2018, Rajagopal menjalankan siasatan kes pecah amanah jenayah yang didakwa membabitkan Lembaga Pengarah serta pengurusan 1MDB, dan tidak menyiasat Najib.

Perbicaraan 1MDB hanya membabitkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Rajagopal berkata, laporan polis yang dibuat oleh bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkaitan dakwaan penyelewengan dana 1MDB pada 12 Disember 2014, tidak menyebut nama mana-mana individu termasuk Najib.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan itu hanya menyatakan kesangsiannya berhubung tadbir urus syarikat berkenaan.

“Setakat yang saya ingat, laporan polis itu tidak menyasarkan mana-mana individu, sebaliknya membangkitkan antara 11 dan 13 isu yang beliau mahu pihak berkuasa siasat,” katanya.

Rajagopal memberi keterangan pada prosiding bela diri Najib yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok.

BH ONLINE