Suri rumah warga Vietnam tak mengaku mabuk ketika pandu kereta, langgar mati pelajar

GEORGETOWN – Seorang wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jenayah 3 di sini hari ini, atas dua pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki dan mencederakan seorang lagi, bulan lalu.

Surirumah, Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memandu kereta Honda Jazz atas pengaruh minuman memabukkan hingga tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian mangsa, Thomas Ch’ng Kai Hen, 18, di Jalan Jelutong, kira-kira jam 9.48 malam pada 19 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun hingga 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 atau tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu dituduh atas kesalahan sama sehingga menyebabkan kecederaan seorang lagi mangsa, Ooi Qi Heng, 18, di lokasi serta waktu yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman tidak kurang tempoh tujuh atau maksimum 10 tahun dan denda minimum RM30,000 atau tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini, manakala tertuduh diwakili peguam bela, K Mahendran, selain turut dihadiri peguam pemerhati, Andy Ooi dan RSN Rayer sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Ketika prosiding, Darrshini memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan, selain memohon lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh adalah ibu kepada tiga orang anak berusia 16, 10 dan setahun serta ditanggung suami yang bekerja sebagai penjaja.

“Tertuduh yang tidak bekerja, ditanggung suaminya yang memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan sejak diberi jamin dia telah memastikan untuk mematuhi arahan polis dan hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.

Rayer kemudiannya meminta kebenaran mencelah dan memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan disebabkan status tertuduh sebagai warga asing, selain mengenakan syarat ketat sekiranya dibenarkan ikat jamin.

“Kes ini menarik perhatian kerana melibatkan kepentingan awam yang mana, pertuduhan pertama melibatkan mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia, manakala kes kedua, melibatkan kecederaan kepada mangsa yang juga berusia 18 tahun.

“Kedua-dua mangsa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kepentingan awam perlu diambil kira, kedua-dua mangsa adalah warga tempatan. Saya mohon agar jaminan tidak ditawarkan kerana tertuduh merupakan warga asing,” hujahnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan serta memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, Kai Hen yang sedang menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu seorang wanita dalam keadaan mabuk, ketika mangsa sedang berjalan kaki bersama dua lagi rakan di tepi Jalan Jelutong.

BH ONLINE