ALOR GAJAH — Seorang tukang rumah maut dalam keadaan mengerikan apabila tangan dan kakinya putus selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Hantu, Rembia, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, pasangan terbabit, S R Muthusamy,67, maut di tempat kejadian, manakala isterinya, S Manomani, 57, meninggal ketika dalam rawatan di Hospital Alor Gajah (HAG).
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata ketika kejadian pasangan itu yang menaiki motosikal sedang dalam perjalanan dari arah Lendu menghala ke Alor Gajah untuk pulang ke rumah di Taman Wira Mas, Lubok China.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga dinaiki dua lelaki penuntut sebuah universiti awam memasuki laluan bertentangan di lokasi itu lalu bertembung motosikal pasangan terbabit.
“Pertembungan yang berlaku menyebabkan motosikal pasangan itu terputus dua.
“Akibat kemalangan, penunggang disahkan mati di lokasi akibat kecederaan pada kepala, kaki dan tangan, manakala isterinya yang juga pekerja kilang telur meninggal dunia di HAG ketika semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, pemandu kereta berusia 20 tahun itu cedera dan dirawat di Zon Hijau HAG, manakala penumpang berusia 22 tahun tidak cedera.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan ke Unit Forensik HAG untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
“Motosikal dan kereta itu ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dibawa ke menjalani pemeriksaan di Puspakom dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, video kemalangan berkenaan turut tular di media sosial sejak malam tadi apabila dikongsikan netizen.
Berdasarkan rakaman berdurasi 16 saat itu, jelas menunjukkan keadaan mayat penunggang motosikal dalam keadaan mengerikan apabila kaki kanan dan tangannya terputus.
BH ONLINE