MELAKA – Ahli perniagaan yang juga pemimpin kanan sebuah parti politik ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan meminta suapan berhubung kontrak kerja penambakan laut antara 2021 hingga 2023.
Majistret Sharda Sheinha Mohamed Suleiman membenarkan perintah reman terhadap suspek yang juga pengarah sebuah syarikat berusia 61 tahun itu selama enam hari hingga Ahad ini.
Menurut sumber, suspek bergelar Datuk Seri itu didakwa menerima suapan termasuk dalam bentuk harta iaitu empat kenderaan mewah ketika menjawat jawatan Timbalan Speaker Dewan Negara sebelum ini bagi projek tambakan pasir berjumlah RM44 juta.
Katanya, suspek ditahan di pejabat SPRM Melaka jam 4.55 petang kelmarin.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Air Keroh jam 9 pagi menaiki kenderaan diiringi pegawai SPRM.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
BH ONLINE